Sunday, October 17, 2010

TANYA SAMA ITU HUD HUD



` Tanya Sama Itu Hud-hud '



Pada suatu hari bermasyhadatlah sekelian burung-burung di rimba membincangkan nasib dan keadaan mereka. Mereka merasa kecewa melihatkan kekacauan di masyarakat mergastua yang tidak mempunyai pemimpin. Walhal tiada suatu kaum pun yang di bawah langit yang teratur masyarakatnya kalau tidak mempunyai raja.


Maka dalam satu perhimpunan bersama rakyat, warga mergastua bermusyawarah tentang melantik ketua mereka. Akhirnya sekelian hadirin bersetuju memilih Sang Belatuk untuk menjadi imam mereka. Menurut sang-sang burung, Sang Belatuk dipilih kerana beliau mempunyai pengalaman yang paling luas di kalangan mereka. Ini kerana Sang Belatuk pernah berkhidmat dibawah kerajaan Nabi Sulaiman a.s. sebagai peninjau kerajaan Puteri Balqis; dan juga pernah bersama Nabi Nuh a.s. semasa ditugaskan untuk mencari daratan (kampong baru) selepas peristiwa banjir besar itu.


Pada mulanya Sang Belatuk agak keberatan untuk menerima perlantikan tersebut, maka bangunlah akan beliau lalu berucap; Aku telah mengalami pertukaran hari dan masa dan aku telah mengenal kebiasaan manusia. Aku telah berusaha sekuat tenaga untuk mencari kebenaran. Aku pernah berteman dengan Nabi Sulaiman a.s. Lembah yang rendah telah kuturuni, yang tinggi telah kudaki, yang hampir telah kudatangi dan yang jauh telah kukunjungi.


Dalam perjalanan sejauh itu, aku telah mengetahui bahawasanya kita pada hakikatnya ada mempunyai raja, tetapi aku tidak berupaya pergi sendirian mengunjungi baginda. Kalau sekiranya kita semua berkerjasama tolong-menolong, akan sampailah kita semua ke mahligai baginda. Nama raja kita ialah SIMURAQ. Tempat bersemayam baginda adalah di sebalik bukit bernama Qaf. Tempat itu dekat dengan kita tetapi kita yang jauh daripadanya.


Dia terlindung di dalam pagar larangan kebesarannya, dan dikelilingi oleh beratus-ratus dinding. Tiada sanggup untuk mulut menerangkan sifatnya

Pada mulanya Maharaja SIMURAQ itu terbang pada malam dinihari, dalam kegelapan lautan China. Akan jatuhlah sehelai bulu sayapnya maka tercenganglah dan gegap gempitalah seluruh isi alam melihatkan keindahan warna bulu itu. Tidakkah saudara-saudara mendengar suatu hadis; "Tuntutlah olehmu ilmu sekalipun ke negeri China". Kalau tidaklah menjelma sehelai bulu itu ke alam ini, tidaklah semua burung akan ada di dunia ini.



Mendengarkan akan panjang lebar isi kandung ucaptama oleh Sang Belatuk itu, maka semua burung pun terbitlah suatu perasaan rindu hendak menghadap Maharaja SIMURAQ.


Mesyuarat diteruskan dengan Sang Belatuk menerangkan secara panjang lebar betapa peri sulitnya dan bahayanya perjalanan menuju ke mahligai itu. Mendengar akan betapa sangat sulit dan banyak rintangannya XPDC itu, banyaklah di antara burung-burung itu merasa lemah semangat dan tidak sanggup untuk pergi.


Berkata Sang Kenari; "Aku adalah Imamul Asyikin, imamnya seluruh orang yang rindu dendam. Segala hati ingin mendengar nyanyianku. Maka bagaimanakah aku akan sanggup berpisah dengan kembang-kembang mekarku?".


Berkata Sang Kakaktua; "Ambillah ikhtibar daripada nasibku. Seluruh insan terpedaya oleh warna bulu SIMURAQ itu, lalu badan diriku telah mereka kurung. Maka penuhlah hidupku dengan kerinduan, rawan dan kesedihan hati. Pada hal terbang dibawah kipasan sayap SIMURAQ itu saja pun, aku tidak sanggup".


Berkata Sang Merak; "Dulu aku hidup bersama Nabi Adam a.s. di dalam syurga, tetapi akhirnya aku pun sama terusir dari sana. Keinginan aku ialah untuk pulang ke asal tempat diamku itu. Kerana itu tidaklah ada keinginan aku hendak mengembara mencari Maharaja SIMURAQ".


Berkata pula Sang Itik; Aku telah biasa hidup di dalam kesucian dan biasa berenang di dalam air. Tiada lain yang aku rindukan lagi. Aku tidak sanggup keluar dari dalam air dan tidak biasa hidup di tempat yang kering".


Berkata pula Sang Rajawali; Aku sudah biasa hidup di pergunungan. Di sanalah duduk-ku. Bagaimana aku akan sanggup meninggalkan sejauh itu".


Berkata pula Sang Jelatek; "Aku hanya seekor burung yang kecil dan lemah. Bagaimana akan sanggup makhluk sekecil aku mengembara sejauh itu?".


Akhir sekali berkata lah pula Sang Helang; "Saudara-saudara sudaah tahu bagaimana kedudukan aku disisi raja-raja. Makatidaklah sanggup aku meninggalkan tempat semulia itu".


Setelah mendengar segala luahan rasa mereka itu maka berkatalah pula Sang Belatuk; "Aku tidak akan lalai menyampaikan nasihat aku kepada saudara semua. Tujuan aku adalah suci. Apakah sebabnya saudaraku semua mencari dalih kerana kebiasaan hidup!? Dan saudara tinggalkan cita-cita yang suci murni kerana diikat kesenangan? Azam yang kuat dan hati yang teguh dan sabar akan memudahkan segala kesulitan dan mendekatkan segala yang jauh'.


Kemudian bertanyalah seekor dari burung-burung itu; "Dengan cara apakah dan jalan manakah akan kita sampai ke tempat yang jauh dan sulit itu? Dengan alat perkakas apakah kita akan sampai ke sana menghadap maharaja yang maha agong itu?".


Maka tercetuslah berbagai lagi pertanyaan.


Berkata Sang Belatuk; "Apakah ertinya segala pertanyaan ini? Apakah ertinya kelemahan semangat ini? Mengapa mundur melangkah untuk mengatasi kesulitan? Bersiap-siaplah dengan alat bekalan iaitu hikmah yang tinggi, azam yang kuat dan tabah hati.


Sesungguhnya kecintaan itu akan mengubah yang pahit menjadi manis, tanah menjadi emas, yang keruh menjadi jernih, yang sakit menjadi sembuh, penjara menjadi taman, kekasaran menjadi kasih sayang, kecintaanlah yang melunakkan besi, mencairkan batu, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan kepadanya...
(Jalaluddin Rumi)


Adapun perhubungan di antara segala burung dengan Maharaja SIMURAQ sudahlah nyata dan jelas seperti matahari di belakang awan, telah jatuh ke bumi beribu-ribu cahaya dari celah-celah awan itu. Kamu semuanya, wahai saudara-saudaraku adalah cahaya dari Maharaja SIMURAQ itu. Kamulah! Jika kerinduan itu benar-benar timbul dari hati yang tulus, akan mudahlah bagi orang-orang yang asyik melalui jalan bagaiman sulit sekalipun. Segala pagar akan dapat dilewati kerana ingin bertemu dengan kekasihnya".


Setelah mengemukakan beberapa perbandingan dan contoh dan juga kisah seorang alim bernama Syeikh Syanaan. Oleh kerana asyiknya, Syeikh Syanaan telah terkeluar dari agamanya, walaupun dinasihatkan oleh murid-muridnya tetapi tidak dipedulikan. Tetapi kemudiannya dia pun insaf dan bertaubat serta diberi keampunan oleh tuhan kerana punca kesesatan adalah kerana keasyikannya itu.


Bercerita panjanglah Sang Belatuk tentang hal itu. Sehingga timbul kembali perasaan kerinduan sekelian mergastua itu hendak berjumpa dengan Maharaja SIMURAQ.


Maka akhirnya putuslah permuafakatan untuk mereka semuanya meneruskan XPDC mencari Maharaja SIMURAQ. Satu kafilah mesti disusun dan seorang ketua mesti dipilih. Sang Belatuk menjadi pemimpin pilihan dan diletakkan di atas kepalanya mahkota kebesaran. Majulah Sang Belatuk ke hadapan dan terbanglah mereka beramai-ramai untuk menuju tujuan.


Lama penerbangan yang jauh itu, tiada juga kelihatan tanah yang dituju. Maka bertanyalah seekor burung; "Mengapa perjalanan ini menjadi sepi, semakin lengang dan menakutkan, wahai peminpin kami?".


Sang Belatuk, raja mergastua menjawab; Memang banyak manusia tidak berani melalui jalan ini kerana takut. Tidak kah saudara-saudara pernah mendengar kisah Syeikh Abu Yazid yang keluar ke tengah padang di malam hari, di waktu bulan di kala semua orang sedang nyenyak tidur? Maka tertariklah dia olah keindahan malam yang sunyi itu. Merasa hairanlah beliau, mengapa tiada orang yang berani merempuh jalan ini, sehingga sepi sahaja? Pada halnya, ianya sebegini indah?".


Kemudian terdengarlah beliau suatu suara; Maharaja tidak memberi izin kepada semua orang untuk melalui jalan ini. Kebesaran kami kadang-kadang membuat hanya sedikit orang yang mengharapkan kurnia kami dari pintu kami."


Expidisi itu disambung semula dan kemudian kelihatanlah suatu jalan tetapi tujuannya tidak kelihatan. Terasalah sakit akibat penderitaan yang tiada ubatnya. Di waktu itu berhembuslah angin 'kekayaan/kebesaran' dan merendahlah langit ke bumi. Kelihatanlah padang pasir Sahara yang tandus. Padang itu tidak sanggup menerima kedatangan 'Merah Langit', bagaimanakah akan sanggup menerima burung bumi?


Maka berkatalah seekor burung; "Wahai Sang Belatuk, raja kami, engkau telah membawa kami terbang tinggi dan sememangnya engkau telah biasa terbang jauh. Tetapi sekarang dan akhir ini, banyaklah yang terasa di hati kami. Berhentilah sebentar dan naik ke mimbar, berilah fatwa untuk menghilangkan beberapa keraguan yang telah timbul sepanjang perjalanan yang sulit ini."


Permintaan itu dipersetujui oleh Sang Belatuk dan mereka berhenti sebentar. Tetapi sebelum dia memberikan nasihat, Sang Kenari telah terlebih dahulu naik ke mimbar. Beliau menyanyi dengan merdunya. Mendengarkan suara merdu itu, hilanglah segala kepayahan dan keraguan tadi. Seluruh burung pun bernyanyi mengikutkan rentak nyanyian Sang Kenari.


Selepas itu, perjalanan mereka pun disambung semula lagi.


Di pertengahan perjalanan, bertanyalah seekor burung; "Wahai tuan Belatuk, imam kamil, aku hairan mengapakah tuan lebih utama daripada kami? Mengapa pula martabat kita berbeza-beza?"


Sang Belatuk pun menjawab; "Keutamaan aku ini adalah anugerah kurniaan daripada maharaja kita sendiri. Inilah kekuasaan besar anugerah baginda yang diberikan kerana limpah kurnia pandangan baginda semata-mata. Kelebihan ini tidak dicapai semata-mata kerana taat. Walhal Si Iblis laknatullah itu dahulunya pun seorang yang taat. Sungguhpun begitu, bukanlah aku memandang soal taat sebagai satu perkara yang kecil.


Tetapi janganlah itu yang dipandang penting dan jangan meminta upah. Kerjakanlah segala perintah dengan patuh dan jangan mengharapkan apa-apa balasan. Harapan kepada balasan itulah yang menjatuhkan harga kepatuhan. Itulah sebabnya maka Nabi Sulaiman as telah menjatuhkan pandangannya ke atas diriku."


Banyaklah lagi persoalan yang dibangkitkan. Kesemua soalan dijawap olah Sang Belatuk dengan bijaksana dan saksama. Soalan yang seterusnya begini bunyinya; " Apakah hadiah yang layak kita persembahkan kepada maharaja yang akan kita kunjungi itu?"


Sang Belatuk menjawab; "Di hadapan kita terbentang tujuh lurah. Tetapi lebar setiap lurah, tidak kita ketahui. Sebab belum ada orang yang kembali dari sana yang dapat mengkhabarkan berapa luasnya. Tujuh lurah itu ialah Lurah Keinginan (thalab), Lurah Kerinduan (Isyq), Lurah Makrifat, Lurah Kepuasan (Istighna), Lurah Tauhid, Lurah Kagum (Hairan), Lurah Fakir dan Lurah Fana.


Setiap lurah itu diterangkan oleh Sang Belatuk sifatnya dan segala macam isinya. Sampai semasa menerangkan lurah yang ketujuh iaitu Lurah Fana, dia berkata; "Wahai saudaraku semua. Inilah lurah yang dahsyat, kelu lidah kerana tidak dapat menerangkannya. Tuli telinga dan habislah daya. Ribuan bayangan hilang semuanya kerana cahaya matahari. Apabila ombak lautan telah bergelora, bagaimana lagi akan tinggal sebarang garis dipermukaan air? Tetapi sesiapa yang hilang dirinya di dalam lurah ini, sampailah dia ke dalam ketenteraman yang abadi."


Lalu dihikayatkan pula satu kisah;


"Pada suatu malam berkumpullah Sang Rama-Rama di dalam keadaan gelap gelita. Mereka berhimpun mengelilingi sebatang lilin yang sedang menyala. Masing-masing dari mereka ingin mendapat cahaya lilin itu. Maka dipilihlah seekor rama-rama supaya terbang menuju ke lilin yang terbakar terlebih dahulu untuk meninjau dan mengetahui sifatnya. Si rama-rama tadi pun terbang pulang dan mengkhabarkan kepada teman-temannya. Maka berkatalah seekor dari rama-rama yang lebih berpengalaman; "Kalau begitu engkau belum kenal lagi kepada lilin."


Lalu diutuskan pula seekor lagi untuk kerja meninjau itu. Rama-rama ke-2 itu pun pergi menghampiri lilin itu dan didekatinya sampai terasa olehnya panas api. Dia pun pulang mengkhabarkan penglihatan dan perasaannya. Sang Rama-rama yang lebih berpengalaman tadi pun berkata; "Yang engkau ceritakan itu tidaklah lebih dari apa yang diceritakan oleh temanmu tadi."


Maka terbanglah seekor lagi, rama-rama. Si rama-rama ke-3 ini pula terbang menari-nari di dalam kegembiraan dan kerinduan. Dia pergi ke lilin itu, dilihatnya, dihampirinya, lalu dihempaskan dirinya kepada lilin yang terbakar maka hangus terbakarlah seluruh badannya. Dalam keadaan terbakar itulah, dia pulang kepada teman-teman yang mengutuskannya itu. Ketika itu berkatalah Sang Rama-Rama yang tua tadi; "Hanya engkau saja yang tahu apa ertinya lilin."


Kerana tidaklah kita mengenal orang yang kita cintai itu melainkan dengan mengfanakan diri kepadanya.


Mendengar kisah Sang Belatuk itu, maka seluruh burung-burung pun merasa takut. Semuanya merasakan tidak mungkin akan sampai dalam perjalanan sejauh ini. Maka ada burung-burung yang mati dipertengahan perjalanan kerana rasa putus asa. Yang tinggal, meneruskan juga perjalanan dengan menempuh pelbagai rintangan dan merbahaya yang mengakibatkan banyak yang gugur mati. Mati kehausan di puncak bukit atau mati kerana kepayahan. Setengahnya pula, tercengang-cengang melihat ganjilnya jalan yang dilalui, lalu berhenti dan tidak sanggup meneruskan perjalanan lagi. Setelah bertemu olehnya apa yang merintang di hatinya, maka timbullah perasaan malas untuk meneruskan perjalanan. Pada mergastua yang lain pula, lain pula bentuk kesulitan dan halangannya.


Dari beribu-ribu banyaknya anggota kafilah itu, sebahagian besarnya telah binasa. Hanya tiga puluh ekor sahaja yang dapat meneruskan perjalanan tersebut (Tiga puluh dalam bahasa Parsi bermaksud - SIMURAQ)


Beribu yang pergi hanya tiga puluh ekor yang sampai. Sesudah menempuh berbagai gelora dan kesulitan, hampir-hampir binasa kerana sulitnya.




*Nota : Hud-hud juga adalah nama lain bagi Sang Belatuk


Apakah yang mereka dapat setelah sampai pada tempat yang dituju?


Mereka mendapati perkara-perkara yang tidak dapat diceritakan dengan mulut, penuh kehairanan dan termanggu akal fikiran melihatkannya.


Memancarlah kilat kebesaran, terbakarlah ratusan alam, beribu-ribu matahari dan bintang-bintang dalam sekelip mata.


Dalam keadaan setengah kebingungan, mereka berkata; “Wahai payahnya perjalanan kita ini. Di sinilah kita melihat ratusan falak hanya laksana butir-butir pasir kecil belaka. Apakah ertinya wujud kita dan apa ertinya Adam kita dihadapan Hadrat ini?”


Manusia itu ditimpa kehinaan di manapun mereka berada, kecuali yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.
(Surah Ali Imran ayat 112)

Dengan penuh perasaan kagum, mengeluh dan kepayahan, mereka menunggu. Tiba-tiba keluarlah Hajib, pengawal Istana Kebesaran itu lalu menegur; “Hai orang-orang yang penuh kebingungan. Dari mana asal-usul kamu? Apakah maksud datang ke mari? Siapa nama kamu? Dari siapa kamu mendengar tentang tempat ini, sehingga kamu tertarik untuk hadir ke mari? Siapakah yang menyatakan kepada kamu yang sejemput bulu kecil dan tulang serupa kamu ini sanggup terbang sejauh ini?”


Burung-burung itu berkata; “Kami datang ke mari kerana hendak menjunjung tinggi raja kami SIMURAQ. Lama sudah perjalanan kami ini. Dahulunya kafilah kami ini beribu-ribu banyaknya, tetapi yang sampai hanyalah tiga puluh sahaja dari kami. Kami datang dri tempat yang sangat jauh, dan berhadap agar diberi izin untuk menghadap hadrat kami dan sudi memandang kami”.


Hajib berkata; “Hai orang-orang yang bingung! Apakah keadaan kamu? Apakah ertinya Wujud kamu dan apakah erti Adam kamu di hadapan Hadrat Maharaja yang Mutlak dan Baqa? Ribuan alam ini tidaklah setimbal sehelai rambut di hadapan pintu ini. Pulang sahajalah akan kamu, dan kembalilah wahai orang-orang yang sengsara.”


Burung-burung terus merayu; “Walau apapun kehinaan yang kami perolehi di muka pintu ini adalah kemuliaan bagi kami. Kami akan tinggal di sini selama-lamanya, sampai kami hangus terbakar, laksana Sang Rama-rama di hadapan api tadi. Kami tidak akan berputus-asa dari Rahmat Maharaja.”


Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang sentiasa berusaha membaiki amalannya.
(Surah An Ankabut ayat 69)


Mendengarkan pertelingkahan di antara Sang-sang burung tadi dengan Hajib itu, maka tiba-tiba muncullah Hajibur Rahmat. Diperintahkannya mereka berdiri, lalu dibukakannyalah akan kelambu hijab penutup itu, satu demi satu, yang beratus-ratus banyaknya hingga tak terkata. Maka termancarlah sinar dan terbentanglah sifat Tajalli dan dipersilakan sang-sang burung itu duduk dekat Hadrat Rubuiyah.


Setiap seekor burung diberikan sepucuk surat. Bila mana mereka terbaca sahaja segala amal-amal yang telah mereka kerjakan. Maka pengsanlah kesemuanya kerana malu akibat wajah itu tidak tertentang. Maka terhapuslah segala yang tertulis itu dan lupa semuanya, sehingga burung-burung itu tidak ingat apa-apa lagi. Itulah Fana!


Maka memancarlah Matahari Kehampiran. Terbakarlah segala nyawa. Demi kelihatanlah oleh mereka akan SIMURAQ itu, kelihatanlah oleh mereka tiga puluh ekor burung (Simuraq), kelihatan SIMURAQ.


Apabila mereka melihat diri mereka sendiri dan melihat pula kepada SIMURAQ itu, kelihatanlah kedua-duanya satu adanya. Mereka hairan tercengang, lalu mereka bertanya; “Apakah rahsianya jadi begini?” Maka datanglah jawapan; “Hadrat ini adalah kaca. Siapa yang datang ke mari tidak lah melihat selain dirinya sendiri. Tuan datang tiga puluh (Simuraq), tentu yang akan tuan lihat ialah SIMURAQ (tiga puluh). Betapa penglihatan dapat melihat kami” Bagaimana mata langit dapat mengukur bintang Suria?


Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (pelita), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya (Timur) dan bukan sahaja semasa turunnya (Barat); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya, memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api;(sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda):cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(Surah An-Nuur ayat 35)

 

Perkara ini bukanlah sebagaimana yang kami lihat dan sebagaimana yang kamu ketahui. Bukan jua sebagaimana yang kamu katakan atau yang kamu pernah dengar.


Tetapi kamu telah keluar dari dalam dirimu sendiri. Sekarang tahulah kamu bahawa tempat yang sebenarnya ialah di sini.”


Maka hilang lenyaplah mereka semuanya. Hilanglah sinaran segala cahaya kembali ke dalam matahari.


Demi berlalu ratus-ribuan tahun, iaitu kurun-kurun yang tidak diikat oleh perhitungan zaman dan tempat, kembalilah sang-sang burung itu kepada dirinya. Demi setelah mereka kembali kepada dirinya dari selain dirinya, maka kembalilah mereka ke dalam alam baqa sesudah fana.


Wahai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau redha dan diredhai (di sisi Tuhanmu)!
(Surah Al-Fajr ayat 27-28)


kisah dipetik dari
MASYHADAT MERGASTUA (Manthiq al-Thayr)
oleh Syeikh Fariduddin Attar

No comments: