Tuesday, October 12, 2010

Mengenali Masyarakat Bisaya Di Sabah : Bhgn IV

Warisan Tamar
Oktober 2010


Ayam putih senjata Dang Insum tentang penjajah

[Serikandi Bisaya miliki kesaktian dipilih ketuai penentangan terhadap British yang mahu menguasai Padas Damit]

BISAYA dan Padas Damit mempunyai hubungan sangat rapat kerana di situlah kehebatan masyarakatnya terserlah dalam usaha menentang penjajahan British. Di Padas Damit juga pelbagai cerita misteri mengenai perjuangan orang Bisaya menjadi bualan sehingga kini. Nama seperti Dang Insum Temenggong Gaja dan Pengiran Shahbandar Hassan paling ketara dalam kebanyakan cerita kebangkitan masyarakat itu menentang penjajah. Ia bukan cerita dongeng kerana banyak tinggalan sejarah mengaitkan mereka dengan cerita itu.

Ketua Kampung Padas Damit, Said Masi, mempunyai koleksi dan tinggalan sejarah yang dikatakan milik Dang Insum, selain watikah yang mengesahkan Padas Damit diserahkan kepada masyarakat Bisaya. Cerita mengenai pahlawan wanita itu juga masih kuat dalam ingatan Said.

Dang Insum, cucu Datuk Laksamana Idris Datu Orang Kaya Setia, dikatakan wanita hebat yang mempunyai kesaktian sehingga menimbulkan masalah kepada tentera British untuk menakluk Padas Damit. Kehebatannya menyebabkan beliau dipilih mengetuai perisai hadapan menentang North Bornoe Chartered Company pada 1888 hingga 1889 dengan sokongan Pengiran Shahbandar.

Ketika itu, Pengiran Shahbandar ialah pemerintah tunggal yang diamanahkan Sultan Brunei, sekali gus memegang ‘hak tulen’ terhadap wilayah Padas Damit.

Kawasan takluknya merangkumi sepanjang tebing Sungai Padas hingga ke Kampung Bengkalakak dan ke timur Jimpangah. Namun, semuanya menjadi huru-hara apabila North Bornoe Chartered Company memasuki kawasan itu dan enggan mengiktiraf Pengiran sebagai pemerintah. Lebih buruk, mereka menghasut orang tempatan untuk menentang Pengiran dengan mendakwa menjadi hamba di bawah pemerintahannya.

Pada permulaannya, Kompeni membuat penawaran untuk mengambil alih pemerintahan Pengiran dengan mengajukan undang-undang baru yang bakal dilaksanakan jika hasrat mereka dipersetujui. Namun, perbincangan antara Pengiran dengan orang kampung mencetuskan rasa kurang senang penduduk terutama mengenai syarat yang diminta. Dalam undang-undang itu kompeni mengenakan cukai kepala, cukai tanah, mengukur tanah untuk dibuat geran, menjadikan Padas Damit wilayah Labuan, memperkenalkan undang-undang wilayah baru, pemansuhan kuasa Pengiran serta semua pembesar di bawahnya.

Dikhabarkan kebanyakan kampung lain bersetuju menerima tawaran kompeni, tetapi penduduk Padas Damit enggan patuh, malah mengisytiharkan perang sebagai tanda membantah. Mereka menyerang penduduk yang belot dan setia kepada kompeni. Tindakan itu menimbulkan kemarahan dan membimbangkan kompeni.

“Orang Bisaya di Padas Damit tidak bersetuju dengan keadaan itu dan nekad untuk menentang. Pengiran mengarahkan mereka membina kubu sedalam 10 kaki. Kemudian, satu mesyuarat diadakan untuk memilih siapa paling layak memimpin barisan hadapan.

“Semua sepakat memilih Dang Insum yang dikatakan paling handal dan berilmu tinggi dengan dibantu pemuda, Mat Jagar Datu Salleh. Kesaktiannya terletak pada ayam putih yang memberi isyarat dengan berkokok kuat setiap kali musuh menyerang.

“Ayam putih itu dianggap senjata utama Dang Insum. Setiap serangan musuh pasti ia mudah dipatahkan Bisaya kerana sudah bersedia selepas mendapat isyarat daripada ayam itu. Strategi Dang Insum juga hebat. Mereka buat beberapa sampan daripada batang rumbia di seberang sungai sebagai umpan.

“Apabila tentera kompeni gunakan sampan untuk menyeberang dan cuba menaiki tebing yang dibina tinggi, semua mereka akan dipancung. Tak sempat nak masuk kota pun. Ada yang lemas di tengah sungai kerana sampan itu pecah,” cerita Said.

Detik kekalahan pasukan tentera Bisaya di Kota Makarang bermula apabila ada di kalangan mereka belot. Ia terjadi apabila Mat Jagar meninggalkan kubu untuk bertemu Pengiran Shahbandar, meninggalkan Dang Insum sendirian mengetuai orang Bisaya. Seorang lelaki di kalangan mereka berpura-pura sakit dan tidak bersama Mat Jagar bertemu Pengiran. Ketika menyedari semua orang leka, dia membunuh ayam putih itu, sekali gus menghilangkan kuasa ajaib Dang Insum.

Kebetulan, rombongan Mat Jagar turut disertai kebanyakan lelaki yang handal. Di Kota Makarang, hanya ada wanita dan kanak-kanak. Ia membuka peluang tentera kompeni membuat serangan mengejut tanpa disedari Dang Insum kerana tiada lagi isyarat kokokan ayam. Hampir sehari suntuk pertarungan itu berlangsung sebelum Dang Insum tewas yang menyaksikan ramai wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa. Dikhabarkan 20 orang tua dan kanak-kanak dicencang di dalam kubu. Manakala 60 tentera kompeni turut maut.

Selepas perang Padas Damit reda, Gabenor Labuan memanggil wakil Bisaya untuk berbincang kerana tidak mahu pertumpahan darah lebih banyak. James Brooke sebagai pemerintah British di Sarawak kuga tidak mengiktiraf kemenangan kompeni kerana tentera British hanya membawa balik bendera putih, simbol tentera Bisaya dari kubu, sedangkan James Brooke mahu melihat tawanan hidup. Ia dianggap sebagai pemberontakan dan bukan kemenangan mutlak mereka.

Perbincangan antara mereka akhirnya mencapai kata putus untuk berdamai. Itupun selepas Pengiran tumpas dalam serangan di tengah laut yang membuka jalan kepada British untuk menjajah dan undang-undang khas di Padas Damit.

Bersambung....



No comments: