Tuesday, October 12, 2010

Mengenali Masyarakat Bisaya Di Sabah: Bhgn III

Warisan Tamar
Oktober 2010

Bisaya asal daripada kecantikan legenda Tatanak

DANG Insum bukan saja terkenal handal dalam peperangan serta mempunyai kesaktian tetapi juga sangat ayu sehingga dikatakan menjadi punca wujudnya nama Bisaya, nama baru yang diberikan Sultan Brunei selepas sekian lama masyarakat itu dikenali sebagai Tatanak.

Menurut Ketua Kampung Padas Damit, Said Masi, sebelum nama Bisaya muncul, kebanyakan orang Bisaya tidak beragama. Ia berlaku sebelum zaman kemasukan Pengiran Shahbandar Hassan sebagai wakil Sultan Brunei di sekitar daerah Beaufort. Nama Bisaya muncul dalam pertandingan ratu cantik yang dianjurkan kerajaan Brunei dan bagi menghormati jemputan sultannya, Pengiran menghantar rombongan masyarakat Tatanak untuk menonton pertandingan itu.

Mewakili masyarakat itu untuk bertanding ialah Dang Insum yang dipilih sebulat suara oleh penduduk Padas Damit kerana kecantikannya dikatakan tiada tolok bandingnya di wilayah jajahan Brunei itu.

Nyata kecantikannya sukar digugat sesiapa termasuk warga Brunei, sekali gus membolehkan Dang Insum memenangi pertandingan berkenaan.

Kecantikan Dang Insum itu juga berjaya menarik perhatian Sultan Brunei sehingga berkali-kali baginda menyebut: “Bisai, bisai, bisai” yang membawa maksud cantik.

Pujian berkali-kali Sultan Brunei itu kedengaran di telinga orang Tatanak lain sehingga bermain di bibir mereka tetapi disebut Bisaya. Ia sekali gus menukar nama suku itu menjadi Bisaya yang kekal hingga hari ini.

“Sebenarnya Dang Insum membawa maksud seorang yang sangat cantik. Oleh kerana itulah dikatakan Bisaya memang berasal daripada Padas Damit.

“Tidak dari negeri lain seperti kata sesetengah orang bahawa masyarakat kami bermula di Filipina kerana di sana ada Visaya tetapi sebenarnya di sana mungkin juga mereka yang berasal dari sini. Mereka bukan Islam.

“Bisaya memang wujud sejak dulu di sepanjang Sungai Padas Damit. Ini kampung asal kami sebelum ada yang berhijrah keluar.

“Malah, ramai mengakui nama Bisaya juga muncul disebabkan sejarah di wilayah ini. Dang Insum memang orang sini,” katanya lagi.

Kini, semua penduduk di Padas Damit berketurunan Bisaya. Penghijrahan keluar dari Beaufort mewujudkan lebih banyak perkampungan baru masyarakat Bisaya iaitu di Labuan, Keningau, Tenom, Tawau, Kudat dan malah hampir semua daerah di Sabah ada orang Bisaya.

Masyarakat Bisaya di Limbang dan Filipina mempunyai budaya serta agama berbeza kerana mereka menganut Kristian.

Keadaan ini menguatkan hujah bahawa memang wujud perbezaan antara Bisaya dan Visaya.

Budaya Bisaya di Limbang dikatakan lebih dekat dengan masyarakat Iban. Budaya Bisaya di Sabah pula tidak jauh berbeza dengan masyarakat Melayu di Semenanjung.

Bersambung....

No comments: