Wednesday, October 13, 2010

Mengenali Masyarakat Bisaya Di Sabah: Bhgn VIII

Warisan Tamar
Oktober 2010

Ramai wanita pandai hasil kraf tangan, kuat amal awet muda

SEIRING peredaran zaman, ketika ini amat sukar untuk menemui mereka yang masih mempunyai darah Bisaya tanpa campuran masyarakat lain dan kebanyakan mereka hanya ada di kawasan pedalaman, jauh dari Beaufort.

Kebanyakan orang Bisaya di sekitar Beaufort termasuk di Padas Damit dan Suasa mempunyai campuran darah dengan masyarakat lain sekali gus mengurangkan ciri-ciri asli yang ada pada wajah tulen orang Bisaya iaitu wajah seperti Cina sepenuhnya.

Kebanyakan yang ditemui di beberapa kampung masyarakat itu tidaklah seperti gambaran orang Bisaya yang digambarkan sebelum ini. Jika adapun, ketika menemu bual beberapa wanita di Suasa, ada seorang saja wanita daripada sembilan yang hadir mempersembahkan permainan kulintangan mempunyai wajah mirip orang Cina dan dikatakan tidak ramai sepertinya masih ada di kampung itu.

Wanita Bisaya pula sangat aktif dalam aktiviti masyarakat termasuk menubuhkan pasukan kulintangan seperti yang ada di Suasa. Dikatakan, mereka juga aktif dalam membantu ekonomi rumah tangga dengan meringankan beban suami di kebun, malah ada yang masih sedia ke laut untuk menangkap ikan.

Cuma, mungkin kerana mereka (wanita) lebih gemar melakukan aktiviti di rumah atau bersama suami di kebun, agak sukar menemui wanita Bisaya berlegar di kampung. Boleh dikatakan sepanjang kami di Beaufort, jarang sekali kelibat mereka kelihatan, kecuali jika adapun sedang bekerja.

“Kami bukan pemalu, tetapi wanita Bisaya memang tidak merayau sembarangan. Kami buat kerja di rumah dan bantu suami di ladang. Tak ada pula larangan wanita Bisaya untuk keluar merayau di luar, tetapi memang kami jarang begitu.

“Ramai sebenarnya wanita Bisaya pandai menganyam hasil kraf tangan. Boleh dikatakan hampir semuanya pandai. Dalam kerja di laut pula, wanita Bisaya ini terkenal dengan kemahiran menjala, tetapi bukan semua tahu mengenai perkara ini,” kata seorang wanita Bisaya di Suasa, Siti Saadiah Matjiah, 42.

Beberapa tradisi orang Bisaya sebenarnya sudah semakin terhakis kerana enggan dituruti orang muda seperti mengunyah sirih yang dikatakan menjadi kebiasaan wajib mereka sejak dulu. Malah, cara pemakaian wanita dulu turut tidak digemari gadis muda, termasuk pemakaian batik dan baju kurung Kedah.

“Berkemban? Semua wanita di Bisaya (warga tua) gemar dan tak kisah berkemban di rumah. Sama juga dengan orang Melayu, tapi saya tak suka, malah kebanyakan gadis seusia saya tak pandai pun berkemban. Rasa tak selesa. Pemakaian lilitan kain di kepala juga kami tak pandai,” kata seorang gadis Bisaya, Suriyati Syamsul, 22.

Memang tak dinafikan, sukar sebenarnya untuk membezakan orang Bisaya dengan Melayu jika dinilai dari segi cara pemakaian, raut wajah dan kebiasaan lain. Malah, ada juga ketikanya mereka tak ubah pula seperti Melayu Minang di Negeri Sembilan.

Bercakap mengenai ilmu kebatinan seperti diceritakan dalam sebelum ini, wanita Bisaya juga sebenarnya hebat dengan amalan ilmu dalaman termasuk mengamalkan petua awet muda yang berbentuk bacaan dan amalan.

“Wanita Bisaya kuat amalkan ilmu dalaman dan cara mengamalkan awet muda juga berbentuk bacaan, bukan makan herba seperti kebanyakan wanita lain,” kata seorang lagi wanita Bisaya, Guati Samai, 49.


No comments: