Tuesday, October 12, 2010

Mengenali Masyarakat Bisaya Di Sabah: Bhgn VI


Warisan Tamar
Oktober 2010


Adat, budaya perkahwinan Bisaya semakin terhakis

[Banyak perkara dianggap menyusahkan, tempoh merisik tiga hari, keluarga lelaki perlu tinggal cuci kawah selepas majlis]

TEMPOH memberi kata putus selepas adat merisik dibuat menjadi petunjuk sama ada pihak perempuan sudi atau tidak menerima lelaki sebagai menantu. Jika dalam masa tiga hari keputusan dapat dibuat, tandanya mereka bersetuju tetapi jika sudah memasuki tempoh seminggu maka boleh dianggap lelaki itu tidak bernasib baik.

Itulah antara kebiasaan yang diamalkan dalam adat perkahwinan masyarakat Bisaya sejak dulu namun sudah semakin kurang diamalkan kini. Adat itu biasanya dilakukan sebagai satu peringkat awal sebelum peminangan secara rasmi dibuat dan perbincangan selanjutnya mengenai jumlah berian (hantaran) diputuskan.

Bisaya juga tidak banyak bezanya dengan orang Melayu dalam menentukan jumlah hantaran. Jika dulu, hantaran kahwin tidak sampai RM1,000 tetapi kini sesiapa yang mahu berkahwin dengan gadis Bisaya perlu menyediakan paling kurang pun RM6,000 dan ada yang boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Ketua Kampung Suasa, Kida Assan, 62, berkata sama seperti Melayu, nilai hantaran perkahwinan ditentukan berdasarkan beberapa faktor. Yang paling utama ialah taraf pendidikan dan kerjaya perempuan itu. Jika tidak bekerja, nilai hantarannya adalah kira-kira RM6,000.

“Soal rupa tak penting sangat. Kedudukan keluarga dan tahap pendidikan lebih utama. Perjanjian ketika bertunang mengikut keadaan. Biasanya hubungan itu diikat setahun. Ada yang lebih lama dan ada yang cepat tapi kebanyakan setahun.

“Wang hantaran biasanya perlu diserahkan semuanya sebulan sebelum majlis perkahwinan. Ketika bertunang, cukup dengan menyarung cincin dan bertukar dulang hantaran,” katanya.

Dalam konteks pakaian untuk majlis perkahwinan juga menampakkan semakin kurang orang Bisaya memakai pakaian tradisi mereka meskipun masih ada butik perkahwinan menyewakan pakaian itu selain menghias pelamin dengan adat lama.

Adat perkahwinan juga sudah semakin berubah. Dulu ada adat paling utama selepas majlis perkahwinan iaitu pasangan pengantin perlu tinggal selama tiga hari di rumah keluarga pihak perempuan sebelum ke rumah keluarga lelaki untuk tinggal pula di situ selama seminggu dan kemudian berpatah balik ke rumah perempuan untuk tiga hari lagi.

Pelamin juga tidak ada dalam adat Bisaya kerana dulu pengantin hanya bersanding di atas kotak kayu yang dihias cantik. Jika sekali pandang, konsep perkahwinan dalam masyarakat ini agak ringkas dan tidak banyak berbeza dengan orang Melayu, mungkin kerana mereka juga beragama Islam.

Paling unik dalam adat perkahwinan mereka ialah penggunaan gulungan rokok daun yang perlu diselit di mulut pasangan pengantin sepanjang tempoh bersanding dan kini, masih ada yang mengamalkan adat itu tetapi menggunakan rokok tembaga yang berukir cantik.

Bisaya juga mengamalkan sistem yang melindungi sesuatu ikatan perkahwinan dengan meletakkan syarat sekiranya berlaku perceraian yang berpunca daripada pihak wanita maka wang hantaran perlu dipulangkan sebanyak dua kali ganda. Namun jika lelaki yang meminta perceraian, wang hantaran dianggap hangus.

Kida berkata, perubahan dalam adat perkahwinan masyarakat Bisaya antara lain disebabkan berlaku perkahwinan campur dan perubahan zaman selain mengelakkan kos yang sangat tinggi jika kekal dengan cara lama.

“Adat lama memang tinggi belanjanya. Jika nak buat majlis dengan pakaian budaya Bisaya, kos sewanya mahal kerana banyak aksesori yang digunakan. Dulu, setiap kali kenduri kahwin, paling kurang pun tiga ekor kerbau ditumbangkan. Kerana itulah belanja dulu sebenarnya lebih tinggi.

“Sekarang, semuanya dipermudahkan. Sehari saja sudah selesai majlis. Dulu, tiga hari tiga malam pun belum selesai. Banyak adat yang perlu dipatuhi. Selepas tiga hari di rumah perempuan, seminggu di rumah lelaki, patah balik ke rumah perempuan dan bersanding lagi,” katanya.

Langkah bendul atau kataliban (berkahwin dengan adik sedangkan kakaknya belum berkahwin) dalam masyarakat Bisaya adalah sesuatu yang dianggap serius kerana sehingga hari ini, sekiranya berlaku sebegitu, pihak lelaki perlu membayar denda seperti sepersalinan pakaian kepada kakak pengantin perempuan. Namun, kini nilai denda itu digantikan dengan duit di mana pengantin lelaki perlu membayar RM100 untuk seorang kakak.

Gotong-royong dilakukan sepenuhnya dalam perkahwinan Bisaya. Lebih unik, beberapa hari sebelum kenduri kahwin keluarga pihak lelaki perlu hadir di rumah bakal pengantin perempuan untuk membantu kerja persiapan. Sekiranya tidak hadir, denda akan dikenakan seperti tidak dibenarkan naik ke rumah ketika majlis perkahwinan.

Menambah keunikan majlis perkahwinan dalam adat Bisaya ialah tetamu tidak boleh makan selagi pengantin lelaki belum sampai. Majlis jamuan biasanya bermula selepas majlis persandingan dan dilakukan secara berhidang. Namun, tidak banyak lagi orang Bisaya mengamalkan budaya ini.

“Banyak sebenarnya perkara yang dianggap menyusahkan dalam adat perkahwinan sebelum ini. Bayangkan, selama tiga hari di rumah pengantin perempuan, semua ahli keluarga lelaki perlu tinggal di situ juga.

Kerja cuci kawah dan mengemas sisa daging kerbau adalah kerja pengantin lelaki,” kata Kida.

Kini, adat dan budaya dalam perkahwinan Bisaya sudah semakin terhakis. Namun dengan adanya seorang pengusaha butik di Beaufort yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Jamilah, masih ada beberapa perkahwinan yang cuba mengembalikan konsep perkahwinan asal masyarakat itu.

Jamilah masih menyimpan hampir semua koleksi wajib aksesori yang perlu dipakai oleh pasangan pengantin supaya kelihatan benar-benar mengikuti adat Bisaya selain menyediakan pelamin seumpama konsep lama.

Dalam konteks kebudayaan, Bisaya sebenarnya cukup kaya dengan nilai dan khazanah seni budaya. Mungkin kerana mereka bukan sekadar dikenali dengan kehebatan dalam bertempur tetapi terkenal dengan sifat ketimuran sejati. Ia jelas dilihat kerana hampir setiap lokasi kampung penduduk Bisaya di Beaufort, akan ada satu jenis kebudayaan yang dimainkan secara aktif sama ada oleh orang tua atau generasi muda dengan nafas dan irama baru.

Mereka ada banyak lagu rakyat yang masih dinyanyikan sebahagian orang Bisaya seperti ‘badaup’ yang dianggap paling popular menjadi irama dalam pesta menuai padi serta ketika mendodoi anak. Ia dinyanyikan wanita dan kini, masih ada kumpulan badaup bergerak aktif dalam masyarakat itu.

Penulis berkesempatan melihat persembahan badaup dan kulintangan, iaitu alat muzik yang digunakan ketika ‘bagandang’ membabitkan beberapa jenis alat muzik seperti gong dan caklempong. Di Beaufort, ada beberapa kumpulan bergerak aktif seperti di Suasa yang membabitkan dua kumpulan iaitu kanak-kanak dan wanita. Di sini, kami dihiburkan irama bagandang baru yang menerima suntikan melodi lagu moden oleh kumpulan kanak-kanak.

Selain muzik, Bisaya terkenal dengan pelbagai jenis permainan tradisi. Ia biasanya aktif dihidupkan kembali setiap kali tiba musim hari keramaian seperti ketika menyambut Adau Janang Gayuh pada 15 Julai setiap tahun. Permainan seperti pulas jari (mitompulas), gusti kaki (mibinti) dan gusti tangan (miambit) menonjolkan imej kekuatan masyarakat itu sejak dulu.


 

4 comments:

Cik NuAi said...

saya sedang menyiapkan assignment mngenai kaum bisaya.sekarang tengah mencari lirik lagu rakyat kaum ini, tapi malangnya sampai sekarang saya tidak menjumpai lirik tersebut.carian hanya dibuat di internet kerana assignmet ini berbentuk esei.mohon bantuan jika tuan mempunyai sebarang maklumat mengenai lagu rakyau kaum bisaya.terima kasih.

Unknown said...

assalamualaikum. sya mau tanya bha ni, mana mau cari butik yang ada menyewakan baju bisaya tu?

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

salam admin,
sy sedang buat kajian tentang motif yang terdapat pada perhiasan aksesori perkahwinan Bisaya. boleh sy dapatkan number telefon kak jamilah ?