Warisan Tamar
Oktober, 2010
(Artikel Berita Minggu)
(Artikel Berita Minggu)
'Terima Islam seawal kurun 13'
ETNIK Bisaya sudah wujud di Kepulauan Borneo sejak ribuan tahun lalu dan menjadi antara suku kaum digeruni dan dihormati oleh suku kaum Asli lain di Sabah.
Mereka juga dipercayai antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Ketua Bisaya yang pertama ialah Awang Alak Betatar atau Sultan Mohammad Shah. Hubungan perdagangan yang dijalin dengan pedagang dari tanah Arab menjadi antara faktor etnik ini cepat memeluk Islam berbanding etnik lain di kepulauan Borneo.
Jika dilihat dari segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan seharian mereka. Etnik Bisaya memiliki minat dalam bidang pertanian dan ia kini menjadi sumber utama pendapatan mereka.
Masyarakat ini walaupun dipercayai ada kaitan dengan suku Visaya di Filipina, Bisaya hanya ada di Sabah dan Sarawak. Visaya di Filipina dipercayai berasal dari Borneo dan penghijrahan beramai-ramai mereka ke sana adalah disebabkan pelbagai faktor, termasuk politik.
Bisaya terkenal dengan budaya unik yang diamalkan sejak sekian lama, terutama dalam hal makanan tradisi dan kesenian. Antaranya, makanan tradisi yang paling digemari mereka ialah sagu yang diambil dari batang rumbia.
Lagu rakyat pula dipertahankan iaitu badaup yang dinyanyikan beramai-ramai ketika menuai padi, kebiasaannya oleh wanita dalam masyarakat itu. Selain badaup, ada juga nyanyian lain iaitu Oh Aki-aki dan King-king Batudan, iaitu rangkaian pantun kanak-kanak untuk mendodoi anak.
Banyak lagi kebudayaan masyarakat yang dipimpin oleh Janang Gayuh, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, termasuk tarian dan muzik tradisi, namun ia dikatakan semakin sukar dilihat akibat arus kemodenan yang semakin menghimpit mereka, selain penghijrahan belia ke lokasi yang lebih membangun terutama di bandar.
Bukan sukar untuk mengenali dan berjumpa orang Bisaya di Beaufort kerana mereka seolah-olah ada identiti tersendiri. Paling ketara ialah raut wajah mereka seperti kacukan Cina dan Melayu. Jika berkunjung ke kampung Padas Damit, Karukan dan Kelias, boleh dikatakan semuanya orang Bisaya.
Meskipun semua kampung itu berada dalam daerah sama, lokasinya agak jauh di antara satu sama lain, malah ada yang memakan masa sehingga dua jam perjalanan. Ini sekali gus menunjukkan masyarakat itu memonopoli hampir segenap lokasi di Beaufort.
Difahamkan, perkampungan di Padas Damit menjadi satu lokasi utama perkembangan masyarakat Bisaya di Beaufort dan mempunyai banyak tinggalan sejarah, terutama ketika pertempuran masyarakat itu dengan tentera British pada suatu ketika dulu. Ia sekali gus menjadikan Padas Damit sebagai lokasi wajib dikunjungi sekiranya mahu mengenali lebih dekat mengenai Bisaya.
Dari Kota Kinabalu, perjalanan ke Beaufort hanya memakan masa lebih dua jam, sama ada menaiki bas atau teksi yang boleh didapati dengan mudah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Menjejakkan kaki ke pekan Beaufort saja sudah cukup untuk bertemu orang Bisaya tetapi ia tidak memadai kerana sejarah dan misteri masyarakat itu tersimpan di ceruk pedalaman daerah itu.
Bersambung....
No comments:
Post a Comment