Tuesday, October 19, 2010

Perhimpunan Agung UMNO ke 61: Meniti Arus Transformasi

Warisan Tamar
19 Oktober 2010,Selasa


Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ke 61 sudah dibuka tirainya. Esok sayap-sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan mengadakan persidangan masing-masing sebelum kemuncak persidangan sekaligus tirai dilabuh pada 23 Oktober nanti.

Saya percaya bukan setakat ahli-ahli UMNO malah majoriti jika tidak semua sekali rakyat Malaysia juga tertumpu kepada perjalanan PAU ini. Dan sudah tentu juga PAU ini akan menggamit perhatian pihak pembangkang. Justeru, UMNO harus inklusif dan tidak bersifat eksklusif. UMNO dilaung-laungkan agar melakukan perubahan dan transformasi. Sejak keputusan PRU12 2008 yang kurang memberangsangkan, UMNO sebenarnya dihimpit, disiku malah dilabel sebagai sebuah parti `useless' dan parti orang-orang `arrogant'. 

Mungkin skrip sejarah dan realiti pada masa tersebut akan berbeza sama sekali jika keputusan PRU12 itu mengekalkan majoriti 2/3 kerajaan Barisan Nasional di Parlimen. Jelas bahawa kehilangan majoriti 2/3 itulah yang dijadikan kayu ukur dan diinterpretasikan sebagai petanda UMNO lemah dan semakin lemah. Akhirnya pelbagai pihak melaksanakan bermacam kajian, diskusi, andaian, hipotesis, forum, retreat dan sebagainya tentang apakah nasib UMNO pada PRU13 kelak?

Sebenarnya pada saya UMNO telah diheret dan `diajak' menjerumuskan diri ke dalam dilemma. Dilemma untuk membuktikan parti masih relevan, masih jitu dalam memperjuangkan untung nasib agama, bangsa dan negara. Demikian juga dilemma untuk mengekalkan kuasa dalam tampuk kerajaan. 

Menjelang Mac 2011 nanti, akan genaplah tiga tahun selepas PRU12. Bermakna sudah 60% tempoh wajib sesebuah kerajaan memegang tampuk sebelum PRU13 diadakan. Umum tahu bahawa kebiasaannya tempoh berkenaan tidak akan dipenuhi 100%. Jika tempoh tersebut mengambil kira bahawa kelaziman membubarkan kerajaan adalah selepas melalui 70%-80% tempoh pemerintahan maka UMNO dan BN harus sudah berada ditahap jauh bersedia untuk mengorak langkah transformasi yang lebih laju dan jauh. 

Mungkin juga perpaduan dalam BN malah perpaduan di dalam UMNO masih menjadi tanda tanya. Namun saya percaya, ia tidaklah seteruk apa yang sedang berlaku dikalangan parti pembangkang. Bukan mudah mewujudkan perpaduan dalam komposisi yang berbeza dari banyak aspek termasuk golongan sasar perjuangan masing-masing yang berbeza. Pada saya, transformasi harus dipacu sebaik mungkin dan semaksima yang mampu. Saya percaya gesaan untuk mewujudkan model politik baru perlu diperhalusi dan dilakukan sebaiknya.

Dalam pada itu juga, saya bersetuju sistem kuota dalam pengagihan kerusi pilihanraya juga harus ditransformasikan. Sudah muncul golongan menganggap mereka adalah `wira-wirawati' sedangkan mereka diangkat menjadi YB kerana kuota tersebut dan menang atas ihsan kuasa majoriti pihak lain. Yang menariknya `wira-wirawati' ini mempersoalkan kuota untuk golongan tertentu sedangkan mereka juga `hidup' dan selamat dari tsunami politik PRU12 kerana dasar kuota yang diperlekehkan oleh mereka sendiri.

Akhir kalam, saya bimbang terlalu banyak impian dan harapan transformasi dicanangkan akan menemui kesukaran dan kegagalan  apabila akar umbi menerima `mesej' yang salah. Dimana ia bukan lagi mesej transformasi yang dicanangkan tetapi bertukar menjadi  mesej `trans-for-basi'! Amat malang jika kita memiliki kerangka pemikiran yang hebat tapi akhirnya gagal direalisasikan. Mungkinkah wujud manusia berwatak si Kitol dalam UMNO? Atau gunting dalam lipatan? Atau api dalam sekam? Siapa pula `trojan horse' didalam pasukan? 

Selamat bersidang & Salam Transformasi....

1 comment:

Mohd said...

Pada Pemilihan UMNO nanti pd 2011:
1. Jangan pilih ahli2 korporat yg keparat sbg pemimpin2 UMNO di peringkat Cawangan2 dan Bahagian2. Mereka inilah yg merosakkan kredibiliti UMNO sbg parti yg meperjuangkan aspirasi kaum Melayu. Ahli2 korporat ini hanya melihat kepentingan dan peluang utk mengisi saku-saku mereka sahaja. Mereka terus mengampu dan membodek orang2 atas utk dapat habuan spt projek2 dan tender2 Kerajaan yg boleh diberikan oleh UMNO.
2. Pilihlah pemimpin dari kaum guru contohnya supaya UMNO jadi gemilang spt tahun-tahun 50-an dan 60-an dahulu. Pilihlah orang2 yg sanggup dgn ikhlas membela kepentingan kaum Melayu, bukan sekadar mengampu dan membodek orang di atas spt yg berlaku sekarang!
3. Ahli2 UMNO pula ubahlah sikap dpd meminta2 habuan dan duit dpd Ketua2 Cawangan dan Ketua2 Bahagian setiap kali nak diadakan mesyuarat atau aktiviti.
4. Kalau dibiarkan UMNO tidak mengubah pemimpin2 yg sedia ada sekarang, sudah pastilah UMNO akan kalah teruk di PRU13 nanti!
5. Kalau tak percaya, tunggu saja dan lihat kalau panjang umur.