TAHNIAH rakyat Sabah kerana 10 daripada pimpinan politik dari negeri
ini terpilih menganggotai Kabinet Pusat. Terima kasih kerana kesetiaan
dan sokongan tidak berbelah bahagi anda kepada Barisan Nasional (BN)
membolehkan pemimpin bertuah ini membawa suara dan keluhan terus
kepada pendengaran Perdana Menteri.
Ingati balik apa matlamat menjadi wakil rakyat, sudah semestinya
untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada majikan, iaitu rakyat
yang memberikan mandat.
Jangka hayat mereka tidak lama, hanya sekadar satu penggal atau lebih
tepat lagi antara empat dan lima tahun sahaja. Selepas itu, nasib dan
masa hadapan mereka terserah sepenuhnya kepada rakyat. Jika pemimpin itu
amanah, maka akan diangkat kembali oleh rakyat tetapi jika berlaku
khianat pasti akan dilaknat oleh rakyat.
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah berakhir dan seperti semua
sedia maklum bahawa BN Sabah berjaya mengulangi tradisinya memerintah
negeri ini dengan majoriti dua pertiga, sekali gus sekali lagi
mengesahkan status eksklusifnya sebagai negeri simpanan tetap BN.
BN Sabah memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen dan 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Dalam memperkatakan mengenai kemenangan besar BN itu, barangkali
ramai yang terlupa dengan jumlah undi popular yang diperoleh BN dan
pembangkang di negeri ini, perbezaan antara kedua-duanya agak tipis
sebenarnya.
Diakui perkiraan undi popular tidak boleh dijadikan bukti kemenangan
mutlak bagi sebuah negara yang mengguna pakai sistem pilihan raya
Komanwel tetapi perlu diingat sekiranya ia terus dikesampingkan, tidak
mustahil dalam PRU-14 nanti kerajaan yang memerintah bukan lagi BN!.
Satu bedah siasat menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti punca
sebenar, jangan mengandaikan semuanya kerana terpengaruh dengan dakyah
dan tipu muslihat pembangkang semata-mata, tidak mustahil juga ia
berlaku kerana undi protes rakyat terhadap BN sendiri.
Mengimbas kembali keputusan PRU-13 lalu di Sabah, bagi 60 Dewan
Undangan Negeri (DUN), jumlah pengundi yang memilih BN ialah seramai
427,257 orang berbanding yang memilih pembangkang seramai 416,742,
perbezaan hanya 10,515 undi.
Sementara bagi 25 Parlimen, undi yang diperoleh BN ialah sebanyak
421,792 berbanding pembangkang hanya 365,833 undi dengan perbezaan
sebanyak 55,959 undi.
Perlu dingat, daripada 25 Parlimen dan 60 DUN itu, hanya dua kawasan
sahaja yang ditandingi satu lawan satu antara BN dan pembangkang iaitu
di Parlimen Sandakan dan DUN Tanjung Batu, baki kawasan lain keadaan
sebaliknya berlaku yang menyaksikan beberapa kawasan menghadapi
pertembungan sengit hingga tujuh penjuru.
Cuba bayangkan sekiranya dalam PRU-14 nanti, pembangkang sudah
insaf dan memilih untuk betul-betul berpakat iaitu setiap kerusi
ditandingi satu lawan satu, apa yang akan berlaku kepada BN sekiranya
mereka langsung tidak mengambil langkah proaktif dalam tempoh empat dan
lima tahun ini untuk menarik kembali sokongan rakyat yang beralih arah
kepada pembangkang itu.
Secara realitinya, banyak pihak hanya ingin mengetahui perkhabaran
yang enak-enak sahaja tetapi tidak salah sekiranya ditekadkan dalam
pemikiran mengenai perkara negatif kerana ia bukan memudaratkan tetapi
sebaliknya boleh menyiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan
yang bakal terjadi.
Malah secara positifnya akan memantapkan lagi persediaan bagi
mengelak sebarang kebarangkalian berlakunya keputusan negatif itu.
Akhirnya siapa yang akan untung?.
Kembali semula secara khusus kepada para YB Sabah termasuk yang
menjadi Menteri Pusat. Kini bukannya masa untuk bersenang-lenang - kerja
dan terus bekerja untuk rakyat (memetik ingatan yang selalu ditekankan
oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman).
Sila belek kembali fail-fail dan janji-janji lama yang belum
tertunai, surat-surat aduan yang dihantar oleh rakyat, adakah semuanya
sudah dilunaskan. Hasil pemerhatian dan pelbagai permasalahan yang
disuarakan kepada orang-orang surat khabar termasuk juga melalui laman
sosial, sebenarnya masih banyak yang perlu dikerjakan oleh para YB.
Ingat kembali janji-janji yang diucapkan sepanjang kempen PRU-13
lalu, jangan hanya janji tinggal janji. Perlu diingat, bukan sahaja
rakyat memantau tetapi malaikat pun turut mencatatnya, tanpa tertinggal
walau sebesar zarah sekalipun.
Mungkin alasan terlupa boleh diterima, kerana perkataan manusia itu
sendiri berasal daripada kata akar, nasiya - yang bermaksud lupa dalam
bahasa Arab. Namun setelah diberi peringatan, maka tidak lagi boleh
digunakan alasan retorik ini.
Percayalah, jawatan, kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan
oleh rakyat itu tidak akan terhenti setakat di atas muka bumi ini sahaja
tetapi sebaliknya ia tetap akan dipersoal dan diperhitungkan di akhirat
kelak.
Semuanya akan mengharungi hari pembalasan itu, tiada pengecualian
termasuk penulis dan manusia lain yang memegang status Hamba Allah.















