Wednesday, October 13, 2010

Mengenali Masyarakat Bisaya Di Sabah: Bhgn VII

Warisan Tamar
Oktober 2010

 Industri pembuatan sagu ekonomi tradisi masyarakat Bisaya

[Perkembangan positif dalam bidang pendidikan mengubah taraf hidup, kebergantungan terhadap aktiviti pertanian di Padas Damit]

PERTANIAN menjadi kemahiran utama dan penyumbang terbesar dalam menggerakkan ekonomi masyarakat Bisaya terutama di sekitar Beaufort, ditambah dengan keadaan serta struktur geografi yang sesuai membolehkan pelbagai aktiviti bertani dapat dijalankan. Sepanjang perjalanan merentasi lokasi perkampungan di sekitar Beaufort menyerlahkan industri itu, boleh dikatakan kiri dan kanan jalan dipenuhi tumbuhan menghijau berselang seli dengan sebuah rumah besar (banglo). Ada tanaman kelapa sawit dan hamparan sawah padi menghiasi pemandangan.

Mungkin tanah lembap di Beaufort memudahkan aktiviti pertanian. Sumber air mudah kerana ada sungai merentasi hampir setiap kampung merancakkan aktiviti pertanian. Ada juga tekanan dialami penduduk kerana Beaufort adalah kawasan paling kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat dan ada ketikanya hampir mengancam nyawa penduduk.

Selain padi dan kelapa sawit, perusahaan sagu paling penting dalam masyarakat itu kerana sagu menjadi makanan utama mereka, termasuk untuk makan tengah hari, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia lebih penting daripada nasi.

Kebergantungan terhadap sagu sebagai makanan rutin membolehkan industri pembuatan sagu terus berkembang pesat dengan perubahan terhadap kaedah memproses daripada cara tradisional kepada penggunaan mesin canggih yang dapat menghasilkan lebih banyak sagu untuk memenuhi permintaan bukan sekadar di Beaufort, malah di seluruh Sabah.

Kami sempat melawat ke kilang sagu di Kuala Balik, Padas Damit serta menemui pengusahanya, Matrik Tumboh, untuk mengetahui bagaimana perusahaan itu dijalankan, selain potensinya untuk meneruskan ekonomi tradisi masyarakat Bisaya.

Sagu dihasilkan daripada batang rumbia yang setiap batang sebesar sepemeluk mampu menghasilkan antara lima hingga enam karung seberat 25 kilogram. Daripada batang sagu, hanya isinya diambil setiap kali dimasukkan ke dalam mesin, manakala hampasnya diberi kepada penternak kambing.

Prosesnya menggunakan mesin nampak lebih mudah kerana selepas memasuki mesin, ia terus menjadi serbuk sagu dan sedia untuk dipasarkan. Sagu dari Beaufort sudah terkenal dan mendapat permintaan dari banyak lokasi sekitar Sabah terutama Kudat, Tuaran dan Lahad Datu.

“Sagu sebenarnya menjadi makanan utama masyarakat ini sejak zaman penjajah dan ia mampu membekalkan sumber makanan ketika berdepan dengan kemelut peperangan. Ketika itu, semua orang Bisaya dan sebilangan kecil masyarakat Tionghua yang ada di Beaufort bergantung kepada sagu.

“Ia sekali gus menjadikan sagu begitu penting dalam hidup kami. Padi tak penting. Ia hanya makanan kedua. Sagu adalah makanan utama,” kata Matrik.

Melihat kepada perusahaan sagu di Kuala Balik, jelas ia diusahakan secara besar-besaran di situ membabitkan kaedah lama dan tradisional. Masih ada sebahagian kecil penduduk menggunakan cara tradisional tanpa bantuan mesin. Semua menggunakan tenaga manusia bermula daripada proses mengambil air sehinggalah menumbuk dan memijak sagu sehingga hancur.

Bercerita mengenai kedudukan ekonomi masyarakat Bisaya, kebanyakan mereka hidup sederhana, malah ada yang mewah dengan rumah besar, selesa serta mempunyai perniagaan yang stabil seperti dapat dilihat di kebanyakan rumah sekitar Suasa.

Pemilikan tanah pertanian yang besar untuk mengusahakan kelapa sawit membolehkan mereka hidup lebih selesa, selain berkedudukan tidak begitu jauh dari Beaufort, membolehkan aktiviti perniagaan dan pemasaran produk pertanian dijalankan dengan mudah.

Ada juga giat menjalankan aktiviti kraf tangan untuk dipasarkan di sekitar Sabah kerana sumber untuk bahan mentah membuat kraf tangan begitu mudah diperoleh di sekeliling mereka.

Menyentuh soal pendidikan, masyarakat Bisaya diakui sudah menunjukkan perkembangan memberangsangkan terutama dengan kemasukan lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan perkembangan itu mula pesat sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Ia disahkan guru daripada masyarakat itu yang kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gadong, Tukiman Ratin, 42, yang berkata berbanding dulu, pelajar sekarang lebih keinginan belajar disebabkan kemudahan infrastruktur lebih baik, selain motivasi tinggi melihat sudah ramai dalam kalangan mereka berjaya membina kerjaya dalam pelbagai bidang.

“Dulu, belajar cukuplah sekadar tahu membaca dan menulis. Nak ke sekolah pun bukan dekat. Tak ada jalan raya. Dari Suasa ke Gadong perlu naik bot menyebabkan tak ramai mampu ke sekolah. Sekarang tidak lagi, semuanya sudah dapat ke sekolah dengan selesa.

“Mungkin juga kerana dulu, kegiatan ekonomi masyarakat ini pun tidak begitu berkembang. Ramai juga yang hidup kais pagi makan pagi. Berbeza dengan sekarang mereka lebih stabil dan mampu hidup selesa. Perubahan dalam pendidikan dan taraf hidup agak ketara dalam lima tahun kebelakangan ini. Selepas tahun 2000, persaingan dalam bidang pendidikan semakin rancak.

“Pelajar Bisaya lebih cenderung dan cemerlang dalam subjek berasaskan kemanusiaan seperti Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu. Pendek kata, mereka lebih suka kepada subjek yang memerlukan pembacaan berbanding angka. Masih ramai yang lemah dalam Matematik,” kata Tukiman.

Kini, boleh dikatakan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan sekiranya ada dalam kalangan masyarakat itu sudah berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah pertama dan kedoktoran, selain terbukti sudah ada daripada mereka berjaya menempa nama dalam pelbagai bidang termasuk politik.

Kebetulannya, meskipun Beaufort sudah maju dengan pelbagai kemudahan, kebanyakan perkampungan Bisaya masih jauh di pedalaman, sekali gus menyebabkan pelajar tidak banyak mendatangkan masalah sosial.

Tukiman yang sudah lebih 15 tahun berkhidmat di situ melihat perkembangan positif dalam bidang pendidikan itu akan mengubah cara hidup dan kebergantungan ekonomi masyarakat Bisaya pada masa akan datang kerana setakat ini semakin tiada waris mahu meneruskan aktiviti bertani.

Malah, kepesatan dalam bidang pendidikan yang turut dikuasai wanita Bisaya bakal mewarnai struktur masyarakat itu sendiri yang selama ini terkenal dengan kaedah menjaga anak perempuan.

Namun, selepas kejayaan demi kejayaan dalam bidang pendidikan, nampak jelas wanita Bisaya juga boleh mengorak langkah lebih jauh melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Bersambung....


No comments: