Wednesday, June 11, 2008

www.sakabangsa.blogspot.com

Dipetik daripada www.pemudaumno.org.my

Pemuda UMNO menerusi Sekretariat Perhubungan Media hari ini melancarkan blog tersendiri bagi mendapatkan pandangan serta cadangan untuk memastikan UMNO terus mendapat tempat di hati orang-orang Melayu khususnya golongan muda.

Blog tersebut yang dilancarkan oleh Pengerusi Sekretariat Perhubungan Media, Datuk Sazmi Miah akan menerima segala pandangan sehingga 20 Julai ini sebelum ianya dianalisa dan diambil kira untuk diketengahkan kepada pucuk pimpinan pergerakan tersebut.

Berucap sebelum pelancaran berkenaan, beliau berkata sokongan terhadap UMNO yang merosot pada pilihan raya umum lalu memerlukan suntikan baru agar menjelang pilihan raya umum akan datang parti tersebut terus mendapat mandat yang cukup besar.

"Menerusi blog ini, kita bukan sahaja akan melihat segala cadangan yang dikemukakan, malah akan turut melihat sebarang kritikan khususnya kritikan membina terhadap UMNO dalam usaha memperkuatkan lagi parti terbabit.

"Justeru kita mintalah mereka yang mempunyai padangan agar melayari blog kita di www.sakabangsa.blogspot.com.

"Kita berharap melalui medium berteknologi terkini ini, ianya akan dapat melahirkan interaksi secara positif bukan sahaja dengan rakyat, malah terhadap semua media", katanya.

Pada majlis yang dianjurkan khas untuk para media termasuk media alternatif, para wartawan dan bloggers yang hadir diberi peluang untuk mengutarakan pendapat mereka akan persepsi terhadap UMNO dan Pemuda UMNO.

Sazmi seterusnya menjelaskan pergerakan itu sedar bahawa media memainkan peranan amat besar untuk mempengaruhi cara rakyat berfikir dan pendekatan baru ialah berinteraksi secara positif dengan semua melalui media.

"Ini merupakan permulaan perubahan yang akan dilakukan secara berterusan. Poll juga akan dianjurkan untuk mendapatkan maklumat dan senario yang lebih jelas agar maklumat ini akan dimajukan kepada Kepimpinan Pemuda UMNO.

"Kita juga akan memuatkan makluman dan input dari Kepimpinan Pemuda UMNO di dalam blog berkenaan untuk tatapan umum", ujarnya.

WT- Gunakanlah blog pemuda UMNO ini sebagai platform untuk berkongsi isi hati. Bagi, pemuda UMNO ambillah peluang ini untuk meluahkan suara dari peringkat akar umbi. Apa juga pandangan mahupun kritikan, hargailah usaha yang dilakukan oleh pemuda UMNO. Selamat berdiskusi!

No comments: