Sunday, June 1, 2008

HADIAH UNTUK ORANG SABAH

Dipetik daripada mSTAR Online
Jun 1, 2008 ( Ahad)


KOTA KINABALU: Penantian 17 tahun oleh para pemimpin kerajaan negeri Sabah bagi pemansuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) berakhir hari ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan berita gembira itu.

Dengan pemansuhan itu yang berkuat kuasa serta-merta, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah akan menguruskan peruntukan khas Perdana Menteri dan memantau pelaksanaan projek-projek persekutuan.

Sepintas Insentif Diumum:

Pemansuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS)
Ekoran pemansuhan JPPS, peruntukan bagi 11 kementerian disalurkan terus kepada agensi-agensi masing-masing di Sabah
Pengisian jawatan Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah
Bilangan Pusat Tahanan Sementara di Sabah ditambah dua menjadi lima buah
Tambahan RM1 bilion daripada peruntukan khas Perdana Menteri untuk pembangunan
Menubuhkan Kumpulan Fokus (Focus Group) untuk menghapuskan kemiskinan tegar
Mengguna Formula Agihan Baru untuk peruntukan-peruntukan pembangunan masa depan


Abdullah, yang mengadakan perjumpaan dengan pemimpin kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan di sini, turut mengumumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Tanpa Izin yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan ditubuhkan bagi membincang dan menyelesaikan masalah pendatang asing ke Sabah.Jawatankuasa Kabinet ini, yang akan turut dianggotai beberapa pemimpin Sabah, akan mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu, terutamanya pemegang dokumen IMM13 iaitu dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pelarian Filipina untuk membolehkan mereka berada di Sabah, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM1 bilion daripada peruntukan khas Perdana Menteri untuk diagihkan mengikut keperluan pembangunan di Sabah.Beliau juga umumkan pelantikan anak Sabah, Datuk Profesor Kamaruzaman Ampong sebagai Naib Canselor baru Universiti Malaysia Sabah berkuat kuasa 18 Jun.

Beliau juga mengumumkan bahawa sebuah setesen jana kuasa elektrik berkapasiti 300 MW akan dibina di Kimanis, Papar melalui kerjasama antara Petronas dan Yayasan Sabah. Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di sini pada 7 April lepas, telah sebulat suara mencadangkan supaya JPPS dimansuhkan dan operasinya diletakkan terus di bawah pengawasan kerajaan negeri.JPPS ditubuhkan pada Januari 1991 di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika Sabah diperintah kerajaan pembangkang daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).PBS keluar daripada BN pada Julai 1990 tetapi menyertai semula parti itu pada 23 Januari 2002.

Penubuhan JPPS bertujuan merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan projek pembangunan kerajaan persekutuan di Sabah.Pada sidang akhbar hari ini, Abdullah menjelaskan bahawa pemansuhan JPPS dibuat setelah beliau menimbangkan permintaan Kerajaan Sabah berhubung perkara itu.Dengan pemansuhan itu, Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Sabah diwujudkan dengan peranan dan fungsi yang sama dengan SDO di negerinegeri lain di negara ini."Berikutan ini pegawai dan kakitangan JPPS, yang kira-kira 70 peratus daripada mereka adalah anak tempatan, dipindahkan ke pejabat-pejabat daerah dengan emolumennya ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.69 juta, " katanya.

Ibu Pejabat JPPS mempunyai empat bahagian iaitu bahagian pentadbiran dan kewangan, bahagian perancangan, bahagian penyelarasan dan pelaksanaan serta bahagian teknikal.Selain daripada ibu pejabat di Kota Kinabau, JPPS juga mempunyai pejabat cawangan iaitu di Kudat, Sandakan, Tawau, Kota Belud dan Beaufort serta sebuah pejabat kecil Keningau yang terletak di bawah pentadbiran pejabat cawangan Beaufort.Bagi tempoh 1996 hingga 1999, JPPS menerima peruntukan berjumlah RM770.83 juta daripada beberapa kementerian dan Jabatan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Sabah.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Sabah diberi peruntukan berjumlah RM20.1 bilion untuk melaksanakan pelbagai pembangunan infrastruktur dan pembangunan sosial, termasuk pembasmian kemiskinan tegar di negeri ini menjelang tahun 2010.Sepatutnya peruntukan ini akan disalurkan melalui JPPS.Perdana Menteri berkata, selaras dengan pemansuhan JPPS dan peningkatan peranan pejabat-pejabat daerah di Sabah itu, pegawai daerah dan penolong pegawai daerah akan diberi latihan pengurusan tambahan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperkasakan pejabat-pejabat berkenaan.

Mengenai pendatang tanpa izin, Abdullah berkata, penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi itu adalah perlu kerana ia merupakan suatu masalah besar dan tidak mudah untuk diselesaikan.Sebelum ini, pemimpin politik tempatan termasuk parti pembangkang telah menyuarakan kebimbangan mengenai masalah pendatang tanpa izin dan ratarata mereka mahu kerajaan persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat punca masalah itu dan seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik.

Pendatang tanpa izin
Isu pendatang tanpa izin juga dijadikan bahan kempen utama parti pembangkang dalam pilihan raya umum yang lepas.Rabu lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, proses menangkap pendatang tanpa izin adalah berterusan dan tahun lepas sahaja, seramai 26,332 tangkapan dibuat dan 18,707 orang dihantar pulang.Bagi tahun ini, sehingga bulan Mac sahaja, 5,256 pendatang ditahan dan 4,089 daripada mereka sudah dihantar pulang semula ke negara asal.Beliau menganggarkan seramai 440,000 pendatang asing berada di Sabah dengan 230,000 daripadanya adalah pekerja asing, 80,000 pelarian Filipina dan 130,000 pendatang tanpa izin.
Berkaitan dengan masalah pendatang tanpa izin di Sabah, Majlis Keselamatan Negara telah menambah bilangan Pusat Tahanan Sementara di Sabah daripada tiga kepada lima iaitu tambahan di Papar dan Sandakan.

Tambahan peruntukan
Abdullah menjelaskan bahawa peruntukan tambahan RM1 bilion untuk Sabah diluluskan oleh Jemaah Menteri bagi merancakkan lagi pembangunan luar bandar dengan projek-projek infrastruktur bagi kawasan-kawasan Parlimen.Beliau berkata, pelan induk bagi pembangunan industri hiliran petroleum dan petrokimia juga akan disediakan untuk Sabah.Perdana Menteri turut mengingatkan Kerajaan Sabah supaya segera meluluskan projek-projek pembangunan pertanian berskala besar khususnya yang berkaitan dengan dasar cukup makanan serta projek-projek bagi sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Ditanya mengenai harapan beliau terhadap pemansuhan JPPS, beliau berkata: "Saya berharap dengan perubahan ini, apa yang dihasratkan oleh rakyat Sabah untuk mendapatkan saluran kewangan dapat memberi manfaat kepada mereka."Saya juga berharap pejabat-pejabat daerah akan meningkatkan kecekapan masing-masing," katanya merujuk kepada peranan tambahan beban tugas yang bakal dipikul pejabat berkenaan apabila peruntukan kewangan bagi projek pembangunan disalurkan melaluinya.Menurut kenyataan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) JPM, satu panel telah diwujudkan dalam usaha memperkemaskan fungsi yang dikatakan bertindih antara agensi persekutuan dan negeri.Panel ini dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Persekutuan Sabah.

ICU juga menjelaskan bahawa Focus Group kemiskinan yang ditubuhkan oleh kerajaan dalam usaha menghapuskan kemiskinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan akan memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan di Sabah dan Sarawak. Bancian keluarga miskin tegar dan miskin di Sabah dan Sarawak dijangka siap pada Jun 2008.Bagi memastikan pengagihan peruntukan yang seimbang pula, kerajaan melalui ICU akan menggunakan formula agihan baru iaitu jumlah penduduk (wajaran 35 peratus), keluasan negeri/daerah (wajaran 35 peratus) dan tahap pembangunan sesebuah negeri/ kadar kemiskinan (wajaran 30 peratus).Formula agihan ini akan digunakan untuk peruntukanperuntukan pembangunan yang akan dikeluarkan selepas ini, kata ICU.

WT- Ternyata kelantangan beberapa YB dari Sabah di Parlimen baru-baru ini bolehlah dianggap sebagai satu titik tolak baru kepada perhatian yang lebih serius oleh kerajaan pusat kepada negeri Sabah. Rakyat Sabah bukan mahu mencari publisiti murahan tapi inginkan kesaksamaan agihan kekayaan negara dan menikmati pembangunan yang lebih serius. Agenda pembangunan yang dilaungkan di Malaysia Barat kadangkala tidak kesampaian di Malaysia Timur. Orang kata macam cium bau sahaja!!! Semoga insentif ini tidak sekadar insentif yang diumumkan hanya kerana ianya sudah tercatat di atas kertas ucapan PM. Tindakan harus bersepadu dengan janji-janji yang dilontarkan.

1 comment:

Unknown said...

Penantian 17 tahun oleh para pemimpin kerajaan negeri Sabah bagi pemansuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) berakhir hari ini [Jun 1, 2008 ( Ahad)] apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan berita gembira itu. Sememangnya itu adalah berita paling gembira buat para pemimpin negeri sabah. Bagaimana pula keadaannya dengan pegawai dan kakitangan JPPS, yang kira-kira 70 peratus daripada mereka adalah anak tempatan sabah.? Sungguhpun pegawai dan kakitangan tadi akan dipindahkan ke pejabat-pejabat daerah dengan emolumennya ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.69 juta. Apa yang saya maklum, emolumen yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.69 juta hanyalah untuk tempoh 2 tahun. Bagaimana dengan emolumen selepas tempoh 2 tahun itu.? Adakah saya tersalah tafsir.? Adakah emolumen yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.69 juta itu untuk menampung sepanjang perkhidmatan pegawai dan kakitangan JPPS yang kira-kira 70 peratus itu di pejabat-pejabat daerah.? Perkara ini adalh tidak jelas dan mengelrukan. Saya berpendapat adalah lebih baik dan wajar jika semua pegawai dan kakitangan KADER (terutamanya pegawai dan kakitangan sektor Teknikal) dipindahkan balik ke Jabatan asal mereka iaitu ke Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan biarlah KKR sendiri yang menentukan pertukaran atau penempatan baru pegawai dan kakitangan terbabit. kaedah ini lagi medah dilaksanakan kerana penjawat awan terikat dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan tatatertib) 1993 dan (Pindaan) 2002.