Oleh Warisan Tamar
4 Jun 2008 (Rabu)
Petikan berita daripada Utusan Online
Putrajaya 4 Jun - Harga petrol dinaikkan RM0.78 seliter kepada RM2.70 seliter berkuat kuasa mulai esok.Ia merupakan kenaikan harga hampir 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sekarang.Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pada sidang akhbar di sini hari ini. Harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.50 seliter daripada RM1.58 sekarang. Bagaimanapun, untuk mengurangkan beban rakyat, Abdullah berkata, kerajaan akan memperkenalkan rebat tunai bahan api dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian sebagai satu bentuk subsidi minyak. Perdana Menteri juga mengumumkan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ditentukan secara progresif berdasarkan kegunaan.
Selepas diumumkan, rakyat Malaysia yang mempunyai kenderaan yang menggunakan petrol atau diesel berbondong-bondong beratur panjang di stesen-stesen minyak untuk mengisi minyak. Kalau beberapa hari sebelum ini, rakyat asing yang dilihat kelam kabut menyerbu stesen minyak, kali ini rakyat Malaysia sendiri yang menjadi huru-hara.
Tentu kecoh jika sipemandu tiba selepas seminit jam 12 tengahmalam ini di stesen minyak. Kerana kelewatan sesaat sebelum (secara rasmi kenaikan harga minyak) jam 12 tengahmalam bermakna anda akan `merasmikan’ harga minyak yang baru. Semasa dalam perjalanan balik ke rumah petang ini, semua stesen minyak penuh dan saya percaya tidak mustahil akan ada stesen minyak yang akan kehabisan stok menjelang 12 tghmalam kerana permintaan yang amat luar biasa.
Dalam tulisan saya sebelum ini, MINYAK NAIK, SIAPA YANG TERBAKAR? Saya bersetuju dengan kajian menyeluruh subsidi minyak dan kenaikan harga minyak serta mengalu-alukan usaha kerajaan kearah itu. Tetapi tidak bermakna saya juga bersetuju jika pengumuman kenaikan harga minyak secara tiba-tiba. Walaupun sudah ada kecenderungan kearah itu dan ia dilihat tidak dapat dibendung lagi.
Saya tidak bersetuju dengan cara mengumumkan kenaikan harga minyak. Kerap kali ia diumumkan secara mendadak dan tiba-tiba (iaitu hanya beberapa jam sebelum harga baru dikuatkuasakan). Saya sedih kerana rakyat sering kali dikejutkan dengan sesuatu berita yang amat pahit dan tempoh diberi terlalu singkat.
Sahabat saya yang membaca tulisan saya sebelum ini berkaitan minyak menimbulkan isu ketelusan dalam soal subsidi dan kenaikan harga minyak. Saya memahami isu ketelusan yang diperkatakan. Malah saya berterimakasih kepada komen sahabat pembaca tulisan saya bahawa isu subsidi minyak dikecohkan sedangkan banyak lagi ketirisan dan `penyelewengan’ terutama membabitkan projek yang mengkayakan segelintir pihak tidak ditangani oleh pihak pemerintah. Saya bersetuju dengan kedua-dua pendapat yang dikongsi bersama saya.
Pada saya, berkait dengan isu ketelusan (ketelusan boleh diinterpretasikan dalam pelbagai perkara dalam konteks yang amat luas) mengapa pemerintah / kerajaan tidak berani mengumumkan kenaikan harga untuk satu tempoh yang lebih awal. Misalnya mengumumkan cadangan untuk menaikkan harga minyak pada 15 Jun 2008 iaitu dua minggu lebih awal. Dan dalam tempoh itu, suara rakyat di bawah malah pandangan para cerdik pandai berkaitan dapat dicerna bersama. Pendapat dan cadangan malah kritikan rakyat akan dapat didengari dan kerajaan boleh menggunakan tempoh masa yang ada untuk menerangkan dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan. Kerajaan perlu lebih telus dalam menyatakan sesuatu dan melayani pendapat rakyat walaupun pahit untuk diterima. Kerajaan juga perlu lebih berani berhadapan dengan rintihan rakyat.
Kesan relatif kenaikan harga minyak juga dibimbangi akan mendorong kepada beberapa tindakan menaikkan harga oleh para peniaga. Semuanya dengan alasan harga minyak sudah naik. Mungkin ayam yang disembelih hari ini dan dijual esok (5 Jun 2008) juga akan menikmati harga yang lebih baik dari hari ini atau barang yang lain. Kenaikan harga minyak sudah mula `membakar’ emosi dan `menipiskan’ dompet rakyat.
Secebis harapan yang tinggal adalah mengharapkan pelaksanaan mekanisme pemberian subsidi harga minyak seperti yang dinyatakan oleh PM akan diaplikasikan secemerlang mungkin. Penerangan yang lebih dedikasi dan jelas diperlukan dengan segera agar rakyat tahu dan yang penting dapat menerima gelombang perubahan besar harga minyak berkuatkuasa 5 Jun 2008 ini. Jika tidak, dibimbangi kenaikan harga minyak akan terus-terusan membakar emosi dan menaikkan amarah rakyat.
Secara peribadi, saya tidak menjangkakan begitu pantas kenaikan harga minyak dilaksanakan. Ramai yang menjangkakan PM hanya akan menumpukan kepada pengumuman tentang bagaimana mekanisme subsidi harga minyak akan diaplikasikan. Namun, kata orang hampehhhh.
WT- TNB pun tumpang sekaki dengan pengumuman tariff progresif.
No comments:
Post a Comment