Tuesday, June 3, 2008

APA KATA KHAIRY A.K.A KJ?

Oleh Khairy Jamaluddin
Selasa, 03 Jun 2008

SEJAK kebelakangan ini terdapat banyak berita tentang keahlian UMNO. Ada yang memohon menjadi ahli dan ada juga yang tidak mahu lagi menjadi ahli. Dalam semua kes terkini, individu-individu terbabit pernah menjadi pemimpin UMNO sama ada pada peringkat tertinggi mahupun di peringkat akar umbi.

Yang pasti, UMNO semakin menjadi rumah persinggahan yang boleh dikeluar masuk sesuka hati. Ada yang keluar hari ini dengan meletakkan pelbagai syarat sebelum kembali. Ada yang masuk semula kerana sudah yakin dengan perubahan yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri dalam perkara-perkara tertentu seperti pemulihan sistem kehakiman negara dan rombakan kepada Badan Pencegah Rasuah setelah begitu lama berada dalam parti pembangkang dan mengutuk segala tindakan UMNO.

Apa yang pasti, kita tidak boleh memaksa mana-mana pihak menyertai UMNO. Mereka perlu masuk secara sukarela atas kesedaran bahawa perjuangan demi agama, bangsa dan negara masih lagi merupakan gagasan politik yang paling relevan di Malaysia.Pada masa yang sama, kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak keluar dari UMNO. Kita boleh memujuk mereka untuk berfikir semula, tetapi jika mereka tidak lagi mempunyai komitmen kepada perjuangan UMNO, mereka akan tetap dengan pendirian mereka.

Bagi saya, keahlian UMNO tidak boleh bersyarat. Kita tidak boleh kata kita hanya mahu menjadi ahli UMNO jika pemimpin tertentu menjadi Presiden parti. Ini langsung membelakangkan institusi kepimpinan parti, menafikan proses demokrasi dalaman dan menghina slogan UMNO iaitu "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat". Parti kita ada proses pemilihan tersendiri. Kalau tak suka kepada pemimpin proses ini perlu diguna untuk mencapai perubahan. Bukannya dengan tindakan keluar parti yang boleh menganggu kestabilan UMNO dan menguntungkan pembangkang.

Ada juga yang kata proses pemilihan parti tidak demokratik kerana ada "kuota" kelayakan bagi pencalonan jadi tidak ada pilihan lain dari keluar parti. Tanya dulu, bilakah sebenarnya UMNO memperkenalkan sistem "kuota" pencalonan ini? Apa sebabnya? Kita mesti jawab soalan-soalan ini terdahulu sebelum membuat apa-apa tuduhan. Jangan kita buta sejarah.

Kepada mereka yang ingin "kembali ke pangkal jalan" saya ucapkan selamat kembali. Jangan sia-siakan peluang kedua menjadi ahli parti keramat ini. Buktikan kesetiaan dan keikhlasan anda kepada UMNO tanpa memikirkan apa-apa jawatan. Masih ramai yang bersyak wasangka terhadap tindakan anda. Ada yang kata tindakan ini ibarat hadiah kuda Trojan yang diguna oleh tentera Sparta untuk menewaskan Kerajaan Troy. Hadiah kuda ini akan masuk UMNO dan menunggu masa sesuai untuk membuka pintu kepada mantan towkay mereka untuk kembali.

Ada juga yang berspekulasi bahawa kuda hadiah ini adalah kerja saya yang berpakat dengan Saudara Ezam Mohd Nor dengan "grand design" tertentu. Saya ingin menyatakan bahawa saya langsung tidak terlibat dengan permohonan Saudara Ezam untuk menjadi ahli UMNO semula. Walaupun saya kenal beliau, saya tidak mainkan pernanan malah tidak tahu menahu tentang "kemasukan" semula beliau dalam UMNO. Tapi bagi sesetengah pihak, tidak ada perkara yang saya tidak tahu di Malaysia dan semua kejadian adalah kerja saya. Kalau ada hujan petir atau ribut taufan, itu pun dikatakan kerja KJ!

Saya faham penafian saya ini tidak cukup untuk memuaskan kaki spekulasi (penyangak) politik. Pada mereka, siasah tanahair lebih menarik jika benar saya adalah "mastermind" dan Saudara Ezam merupakan hadiah kuda yang akan membawa Dato' Seri Anwar Ibrahim masuk semula dalam UMNO. Inilah senario yang dicanang oleh mereka yang menangguk di air keroh dengan tujuan untuk mencetuskan kekecohan dalam parti. Inilah yang menjadi senario idaman mereka supaya perasaan syak mereka terhadap saya yang sering dikaitkan dengan Dato' Seri Anwar dapat disahkan.

Malang sekali mereka tidak mengenali saya. Bagi saya, Dato' Seri Anwar sudah tersimpang jauh dari perjuangan kebangsaan yang tulen. Beliau tidak akan dapat apa-apa sokongan malah simpati dari saya. Jika kemasukkan Saudara Ezam bertujuan untuk memenuhi strategi hadiah kuda Trojan, saya adalah orang pertama yang akan membakar kuda tersebut.Prinsip saya dalam politik adalah mudah. Jangan lompat parti. Jangan bakar jambatan lepas itu berpantun membina jambatan baru. Jangan meletakkan syarat kepada keahlian parti, lebih-lebih lagi UMNO. Sebab sekali kita lompat, selama-lamanya kita akan dipandang serong seolah-olah seekor hadiah kuda.

WT- Trojan Horse & Bom Tangan dari pandangan Sdr KJ!
Update: Pembaca juga boleh membaca tulisan asal Sdr KJ di laman web beliau (Tajuk : Selamat Pergi, Selamat Kembali @ 1 Jun 2008)

1 comment:

Junaidi Blog said...

anak kampung amat bersetuju dengan pandangan KJ , apa kalanya kelembutan sudah tidak bererti lagi , UMNO perlu tegas untuk membuat keputusan dan tindakan . budaya keluar masuk parti semacam menjadi -jadi apatahlagi ianya digunakan untuk ugutan memperolehi pelbagi kepentingan tersembunyi. Namun anak Kampung yakin Jika Tuahan masih mahukan UMNO sebagai Tunggak Pimpinan Umat Melayu , Biar hanya tingal 10 orang sekalipun UMNO akan tetap diterima oleh Rakyat ...