Saturday, June 21, 2008

BERAKHIRKAH KERAJAAN BARISAN NASIONAL?

Oleh Warisan Tamar
21 Jun 2008

PADA 8 Jun 2008 yang lalu, genaplah 100 hari pemerintahan atau pentadbiran kerajaan selepas PRU12 pada 8 Mac 2008 samada oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR). Sepertimana diketahui umum, BN berjaya mengekalkan tampuk kuasa pemerintahan diperingkat pusat dengan mendapat majoriti bukan 2/3 yang selama ini dinikmati dengan selesanya. Manakala PR (dahulunya Barisan Alternatif) selain menafikan majoriti 2/3 BN telah juga menawan empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan mengekalkan pemerintahan di Kelantan. Ini tidak mengambil kira kemenangan besar PR di Lembah Kelang / Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Senario politik Malaysia jelas mengalami perubahan yang agak drastik apabila berlakunya `rampasan’ kuasa daripada BN dinegeri-negeri tertentu. Meskipun BN berjaya mengekalkan pemerintahan peringkat pusat atau Putrajaya tetapi parti komponennya terutamanya yang berpusat di Semenanjung Malaysia bergelut dengan pelbagai krisis yang dikaitkan dengan `kelemahan’ kepimpinan parti. UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP menerima tamparan yang cukup hebat selepas PRU12. PR yang dianggap `underdog’ semasa PRU12 kini semakin galak untuk mematah dan menumpulkan taring BN.

Dalam pada BN tercari-cari formula ampuh untuk memulihkan kejutan yang diluahkan oleh pengundi pada PRU12, PR semakin mengukuhkan semangat dan mempertajamkan usaha untuk melakukan `rampasan paling dahsyat’ sebelum PRU13. BN dan PR masing-masing dengan keyakinan untuk mengekalkan dan mengambilalih `kuasa’ di Putrajaya. Apa pentingnya kuasa Putrajaya kepada BN dan PR? Mengapa tidak menanam hasrat menggunung untuk menawan negeri-negeri yang terlepas mahupun gagal dikuasai? Mengapa hanya hipotesis bahawa Parlimen sahaja akan berubah pola dihuru harakan? Dan mengapa tidak di kecohkan DUN-DUN seperti Perak, Terengganu, Sabah atau Kelantan yang akan berubah kedudukan pemerintahan?

Jika diberi pilihan sekalipun kepada kedua-duanya (BN dan PR) untuk memilih samada kuasa di negeri atau di Putrajaya, sudah tentu pilihan utama adalah PUTRAJAYA. Secara ringkasnya, Putrajaya teramat penting untuk dimiliki jika mahu mempunyai kuasa `mutlak’ pemerintahan negara kerana banyak kuasa di Putrajaya yang tiada di negeri-negeri. Tiada ummppphh kata orang kalaupun menang semua negeri tapi tewas di peringkat pusat.

Saya lebih berminat untuk berbicara tentang kemampuan BN untuk mengekalkan kuasa peringkat Pusat dan menerajui kepimpinan negara yang berpusat di Putrajaya. Apakah ancaman rampasan kuasa melalui lompatan emas wakil rakyat BN ke PR akan menjadi kenyataan sekaligus menamatkan kekuasaan BN menerajui tampuk pemerintahan negara semenjak merdeka lagi?


KEPIMPINAN DAN RAKYAT
Kekalahan BN pada PRU12 disebabkan oleh kelemahan pemimpin yang ada dan rakyat sudak muak dengan muka pemimpin yang sama serta tiada inovasi yang diharapkan oleh rakyat. Demikian kesimpulan umum yang boleh dibuat terhadap kritikan, cemuhan dan pendapat rakyat akar umbi negara terhadap BN. Pada saya bukan setakat UMNO diserang sakit jantung malah semua parti komponen BN yang berpusat di Semenanjung Malaysia juga menerima nasib serupa.

Oleh kerana pemimpin UMNO merupakan tulang belakang kepada kepimpinan negara maka kritikan dan desakan sebenarnya jelas lebih menyasarkan kepada mereka. Paling menyesakkan dada ialah desakan agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah (DS Abdullah) agar meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri dilontarkan tidak henti-henti sejak dari saat kekalahan BN/UMNO Mac lalu. Hinggakan sampai ke tahap biarlah siapa pun jadi PM asalkan bukan DS Abdullah. DS Abdullah dianggap `penyebab’ utama kepada kekalahan BN dan longlainya sokongan rakyat terhadap BN khususnya BN.

Namun, DS Abdullah `cekap’ bermain bunga silat dan pandai berdalih serta memberi alasan untuk kekal di kerusi empuk Perdana Menteri di Putrajaya. Alasan yang paling saya ingati adalah apabila beliau merasakan bahawa kemenangan selesa BN dan hanya kurang 8 kerusi untuk mendapat majoriti 2/3 maka ia bukanlah masalah besar atau penting sehingga perlu untuk terhegeh-hegeh melakukan peralihan kuasa serta mengundurkan diri. Kemudian timbullah beberapa titik hitam dan rentetan negatif yang kelihatan berterusan. DS Abdullah terus bersikap `Aiman tak kisah!’ dan `serba tak tahu’.

Adakah mesej akar umbi dan sentimen yang dimainkan dengan agak jayanya oleh PR tidak mengusik jiwa DS Abdullah bahawa kelemahan kepimpinan BN yang beliau terajui adalah antara faktor utama kekalahan BN? Atau beliau ada perancangan tersendiri yang tidak terfikir oleh pihak lain?

Kegagalan memahami perasaan dan kehendak rakyat tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh semata-mata. Apa yang ada di dalam tangan BN kini bukanlah sesuatu yang amat kuat untuk dipegang. Kalau pemimpin BN di Sabah yang tidak berhadapan masalah sokongan rakyat @ pengundi semasa PRU12 mula berkata bahawa daripada tinggal di dalam rumah banglo tapi duduk di dalam tandas, lebih baik berpindah ke rumah teres walaupun kecil tapi sendiri rasa selesa (tidaklah terasa tidur dalam tandas).

Apakah mesej yang diterima oleh kepimpinan BN terutamanya yang tinggal di dalam rumah banglo tapi mempunyai bilik yang besar, sofa empuk dan makanan yang enak? Kegagalan memahami dan mentafsirkan apa yang tersirat, akan membawa posibiliti yang tinggi kepada selesainya perjuangan pemimpin BN dalam menerajui tampuk pemerintahan pusat.

HUBUNGAN ANTARA PARTI KOMPONEN
Ayat lumrah dituturkan adalah parti komponen BN bersatu hati menyokong kepimpinan DS Abdullah sebagai teraju utama BN dan PM. Adakah ia ikhlas dan benar-benar mewakili perasaan serta kehendak rakyat atau ahli parti komponen berkenaan?

Benar soal keikhlasan adalah sesuatu yang subjektif kerana banyak putarbelitnya jika ia dipersoalkan. Namun yang jelas keikhlasan tersebut hadir kerana telah `dimaktubkan’ bahawa jika tidak ikhlas bererti tidak menyokong kepimpinan. Jika tidak menyokong maknanya tidak berkenan dengan kepimpinan. Lalu lebih jauh lagi adalah bererti parti komponen itu harus mengisytiharkan keluar dari BN. Rakyat beranggapan BN adalah sebuah parti `kumpulan pak angguk’ walaupun pada hakikatnya tidak mungkin sedemikian.

Mutakhir ini, parti komponen BN sudah mula bersuara di sana sini. Pelbagai pandangan, kiasan dan sebagainya dilontarkan khusus kepada kepimpinan BN. Antaranya beberapa parti komponen menyatakan pandangan bahawa sudah tiba masanya sistem satu parti BN diwujudkan. Bererti tiada lagi UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PBS dan lain-lain. Hanya ada parti tunggal BN. BN akan dikenali sebagai sebuah parti berbilang kaum dan bukan berasaskan perkauman. Tidak hairanlah ada parti selain UMNO mula mengorak langkah untuk membuka keahlian kepada bukan Cina. Rasanya UMNO telah berbuat demikian, samada sedar atau tidak UMNO juga disertai oleh ahli bukan Melayu iaitu bumiputera Islam dan bukan Islam dari Sabah. Apakah ia akan direalisasikan ke arah `melahirkan’ parti tunggal BN yang berbilang kaum, bangsa dan agama?

Hubungan antara parti komponen BN tidaklah retak tetapi sedang mengalami gegaran. Ia mungkin tidak sekuat mana tapi ia harus dihalusi jika tidak mahu ia menyebabkan keretakan serius dalam BN. Masing-masing kelihatan cuba keluar dari kepompong `pak angguk’ seperti didakwa ramai pihak dan juga kelihatan cuba `mendekati’ kehendak rakyat dan ahli parti masing-masing.

PARTI KOMPONEN BN DI BORNEO
Sabah dan Sarawak merupakan negeri-negeri dimana komponen BN menyumbang kepada kekalnya BN sebagai pemerintah di Putrajaya. Dengan modal tersebut, tidak hairanlah lahirnya suara-suara lantang dikalangan ahli Parlimen BN dari Sabah khususnya untuk menuntut `peruntukan’ yang lebih besar dan menarik dari Putrajaya. BN diperingkat pusat telah melakukan apa yang harus dilakukan walaupun ia dilihat oleh ramai pihak masih sedikit berbanding banyaknya `keperluan’ yang dituntut.

Pimpinan PR juga menyedari betapa `pentingnya’ kedua-dua negeri tersebut diberikan perhatian. Berbanding PR, BN sebenarnya telah melakukan atau memberi perhatian yang lebih kepada Sabah dan Sarawak. Suasana PRU12 di kedua-dua negeri tidak `sepanas’ di Semenanjung Malaysia bilamana serangan bertubi-tubi yang dilancarkan oleh PR terhadap BN.

Apabila ahli parlimen dari Sabah mula mengeluarkan taring, melemparkan tuntutan, ia ternyata menggamit pimpinan BN untuk lebih kerap turun ke Kota Kinabalu dan Kuching. Malah PR juga mula mengorak langkah lebih agresif. Sudah tentu, PR dengan `janji-janji manis’ mereka cuba memancing ikan-ikan yang `kelaparan’. Setakat ini, berdasarkan realiti semasa hanya SAPP yang condong untuk `memakan’ umpan PR. Yang lain, masih berselindung disebalik batu. PR pula amat yakin bahawa umpan mereka akan dimakan oleh ikan-ikan `emas’ dari Sabah dan Sarawak. Sejauh mana kebenaran dakwaan DS Anwar, bagi saya ia ada benarnya! Dalam politik segalanya berkemungkinan. Namun PR janganlah terlalu `over confident’. Silap haribulan, ikan-ikan emas PR di Semenanjung yang beralih arah!!!

Justeru, parti komponen BN di Sabah dan Sarawak amat besar maknanya kepada kekuatan BN pada saat ini (sekurang-kurangnya sehingga PRU13 akan datang). Menghamburkan janji dalam bentuk RM berbillion-billion nilainya bukanlah penyelesaian total kepada apa yang disuarakan oleh pemimpin dari Sabah dan Sarawak. Orang Sabah sebenarnya `rindu’ dengan kehadiran pemimpin dari Putrajaya. Semasa membawa UMNO ke Sabah, rasanya begitu ramai pemimpin UMNO malah komponen BN yang lain (di Semenanjung) berkampung dan berkelana di pelusuk kampong daif di negeri Sabah. Itu dulu!!!

ISU SEMASA
Kerajaan BN akhir-akhir ini memang dihimpit dengan pelbagai masalah. Ia `musibah’ yang datang dari dalam dan luar. Isu-isu besar yang mengusik hati rakyat seperti kenaikan harga minyak, isu kehakiman dan lain-lain perlu dikategorikan isu besar yang perlu ditangani oleh BN secara berhemah dan telus.

Isu harga minyak bukan mudah untuk dirungkaikan. Pemimpin BN harus mengemblengkan tenaga dan usaha untuk turun ke akar umbi bagi menjelaskan segala kemelut yang terhasil daripada tindakan paling tidak popular kerajaan BN iaitu menaikkan harga minyak. Menaikkan harga minyak juga telah menaikkan pelbagai barang dan perkhidmatan yang akhirnya tidak memuaskan hati rakyat.

BN sebenarnya masih kurang efektif dalam menyalurkan maklumat disebalik kenaikan harga minyak. Maksudnya, selain menteri dan pemimpin atasan, berapa keratkah pemimpin pertengahan atau akar umbi dikalangan parti komponen BN yang bergerak, berceramah dan sebagainya untuk menerangkan secara lebih effisien cerita disebalik kenaikan harga minyak. Sebab itulah, rakyat termasuk ahli-ahli parti komponen BN sendiri pun tidak bersetuju dan tidak berpuashati.

BN gagal mengerakkan tenaga dan melakar strategi yang ampuh untuk menangani isu-isu semasa. Kalau ahli parti sendiri pun tidak percaya dengan penjelasan pimpinan BN, bagaimana dengan ahli parti lawan dan rakyat akar umbi?

Apakah kegagalan ini juga disebabkan kelemahan kepimpinan BN sedia ada? Ini kerana itulah yang diluahkan oleh rakyat akar umbi malah ahli parti di bawah BN.

STRATEGI PR DAN KELICIKAN ANWAR IBRAHIM
Sekiranya telah tertulis disebalik yang tersirat bahawa BN kecundang akhirnya, daripada banyak faktor, strategi politik dan kelicikan DS Anwar juga memainkan peranan penting. Saya rasa pemimpin BN tidak lagi boleh memandang rendah kemampuan PR dan DS Anwar melakukan sesuatu yang dianggap mustahil oleh BN iaitu `merampas’ tampuk pemerintahan yang sebelumnya didominasi oleh BN.

Ada suara-suara `misteri’ mengatakan PR khususnya DS Anwar mendapat `green lane’ daripada pimpinan BN sendiri dalam melancarkan serangan terhadap BN. Kemudian dikatakan bahawa pimpinan BN juga berpecah dalam bersatu. Pemimpin peringkat atasan BN harus tunduk ke bawah bukan mendongak ke langit. Kalau setakat mendengar `akujanji’ antara pemimpin bahawa taat setia tidak terbelah dan terbahagi diberikan kepada DS Abdullah, saya rasa DS Anwar pun tersengih. Sebab itu perkara biasa dalam politik.

Kelicikan DS Anwar juga dilihat sukar dikawal dengan `kelembutan’ BN itu sendiri serta ketiadaan pelan dan strategi bertahan dan menyerang yang baik yang mampu diterjemahkan oleh BN. BN sendiri bergolak di dalam `tenang’ pada saat semua parti komponen BN kononnya `bersatu hati’ untuk DS Abdullah. Sebab itu juga DS Anwar semakin galak dengan tarikh-tarikh keramat beliau. Beliau sudah jadi macam nujum pak belalang apabila sentiasa menguar-uarkan `kejutan’ yang bakal berlaku. Terkini, katanya tunggu 16 September 2008!!!

Cuma saya tertanya sejak DS Anwar dibenarkan aktif berpolitik dalam sebulan dua ini, tidak pula saya mendengar atau melihat `keahlian’ beliau dalam PKR. Atau saya terlepas pandang? Atau memang sengaja tidak menjadi ahli PKR? Atau kelak masuk UMNO semula dengan alasan serupa dengan Ezam – saya tidak keluar UMNO tapi dipecat! DS Anwar kini semakin licik berbanding ketika berada di dalam gengaman Tun Mahathir.

AKHIRNYA….
Berdasarkan situasi semasa, BN memang sedang melalui onak duri yang menyakitkan. Serangan dan musibah datang dari setiap pelusuk penjuru. BN seperti kata seorang sahabat – BN sudah tidak dijiwai oleh ahli-ahlinya lagi. Pengerusi BN acap kali didengarkan dengan suara `keras’ dan didatangi mimpi `ngeri’ yang lantang memintanya turun dari tampuk kuasa. Ia menjadi satu fenomena abnormal dinegara kita bila seorang ketua sebuah parti yang besar, yang hanya 8 kerusi sahaja lagi untuk mencapai majoriti 2/3 di Parlimen tetapi didesak tidak sudah-sudah agar meletakkan jawatan. Kestabilan dan keselamatan negara haruslah dipertahankan bukan oleh orang lain tapi oleh kerajaan BN sebagai penguasa dan pemerintah negara kita yang tercinta.

BN harus ada pelan strategik yang lebih efektif dalam menyediakan pertahanan dan menyerang apabila sesuai. Kadangkala, pihak yang menyerang sentiasa lupa memperkemaskan benteng pertahanan mereka atau mereka leka dengan bayang-bayang `kemenangan’ yang diuar-uarkan oleh ketua mereka. Pada saat itulah waktu dan masa paling sesuai untuk BN melakukan serangan balas. Jika tidak lebih baik menyerah diri saja lah – habis cerita!

Apapun, saya meyakini bahawa kerajaan Barisan Nasional akan terus memegang tampuk pemerintahan negara. BN akan terus berkuasa dan menduduki Putrajaya. Hanya ada satu sebab sahaja jika sejarah ingin dicatatkan, fenomena abnormal direalisasikan dimana BN kecundang, perjuangan selesai dan berundur dari Putrajaya iaitu rebahnya BN adalah kerana perbuatan ahli-ahli BN sendiri termasuk pemimpin-pemimpinnya dan ia bukan disebabkan oleh kekuatan Pakatan Rakyat mahupun disebabkan oleh `kehebatan’ DS Anwar!

4 comments:

Letting the time pass me by said...

Jika ditinjau senario semasa, saya rasa UMNO sememangnya sudah tidak mampu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat...

Tindak-tanduk pentadbiran yang ade sekarang amat-amat bercanggah dengan kehendak rakyat... Minyak niak sehingga 40%? Apakah yang nak dibuktikan oleh PM dan BN? Kita adalah kerajaan dan boleh buat apa sahaja yang kita suka?

Saya bukanlah penyokong mana-mana parti politik, tetapi keadaan sekarang memang terlalu genting buat BN... dan saya bersetuju dengan saudara.. jika BN tumbang, ianya bukan disebabkan oleh kekuatan pakatan rakyat, tetapi ianya kerana tindak tanduk kerajaan BN sendiri....

Aku Anak Silaun said...

1 istimewa anwar ni ialah dia hebat dalam menarik sokongan orang dgn kelebihan pidato & retoriknya. Sbb tulah dia dapat mengekalkan momentum sokongan dengan menjadikan 16/9, sbg tarikh kerajaan baru PR. Tetapi tahukah kita, bahawa dia pun bhempas-pulas juga mengekalkan orang2nya. Khabarnya, di Perak mcm ramai yg mau kembali ke pangkal jalan.

Unknown said...

pendapat saudara pada keseluruhannya memang saya setuju. tetapi berkaitan dengan jentera penerangan kerajaan tentang kenaikan harga minyak, memang kerajaan sudah tidak boleh buat apa-apa sebabnya ialah rakyat memang sudah tidak percaya lagi kepada pemimpin BN selagi di kepalai DS Abdullah. memang beliau sudah kerap kali bohong. rakyat juga sudah tidak percaya lagi kepada pemimpin umno di peringkat atas mau pun di peringkat pertengahan. sebabnya semasa pru baru-baru ni, banyak daripada peruntukan pilihan raya tidak sampai ke bawah. tetapi disonglap oleh orang-orang ini, dan pekerja parti di peringkat bawahan dan rakyat memang tahu. lagi pun apa-apa maklumat berkaitan minyak dan ekonomi memang senang di perolehi dan senang untuk sampai kepada rakyat. zaman ini bukan lagi zaman batu yang rakyat senang dikelentong dan ditipu bontang!

AIDC said...

Layari http://anwaribrahimdotcom.blogspot.com