Friday, June 20, 2008

LAPOR JIKA SEKOLAH PERLU NAIK TARAF

BH Online
20 Jun 2008


ALOR STAR:
Kerajaan negeri perlu melaporkan kepada Kementerian Pelajaran sekiranya terdapat sekolah yang perlu dinaik taraf di negeri masing-masing, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata kementerian tidak keberatan untuk menerima apa-apa laporan berkaitan hal tersebut kerana keselamatan dan keselesaan di sekolah amat penting.

“Kita mempunyai Jawatankuasa Keselamatan, Kesihatan dan Keceriaan Sekolah (3K) yang bertanggungjawab untuk menguruskan perkara seperti ini.

“Keselamatan pelajar serta warga pendidik di sekolah menjadi keutamaan dan kita perlu bendung apa juga bencana dari awal,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebakaran yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Suka Menanti di sini, awal pagi semalam, yang difahamkan berusia lebih 20 tahun dan perlu dinaik taraf.

“Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dan bekerjasama untuk melaporkan segala yang berlaku kerana terdapat kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara di bawah seliaan kementerian,” katanya.

Mengenai sekolah di negeri pembangkang, Hishammuddin berkata mereka juga perlu prihatin dan melaporkan kepada kementerian sekiranya ada sebarang masalah.

WT- Kerajaan negeri terutamanya Sabah harus merebut peluang ini untuk menaik taraf majoriti sekolah-sekolah di Sabah yang semakin usang dan perlu `diceriakan'. YB-YB jangan asyik berpolitik tapi masalah sekolah tidak dipedulikan.

No comments: