Oleh Warisan Tamar
Keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen P44 Permatang Pauh telah pun diketahui umum. DS Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat dengan sepasang baju melayu hitam. Kata sahabat saya, auranya tidak segah 10 tahun lalu. Kalau dulu katanya bila beliau melangkah saja masuk ke Dewan Rakyat, ia disegani malah ditunggu-tunggu bukan saja oleh kawan malah oleh pihak lawan (baca: sekarang kawan jadi lawan, lawan jadi kawan!) Malah suasana upacara angkat sumpah dan penglibatan beliau dalam perbahasan berkenaan Rang Undang-undang DNA juga dilihat biasa-biasa. Dilaporkan hanya lebih kurang 70 ahli Parlimen `menyambut’ beliau di dalam Dewan Rakyat.
Apapun, kembalinya DS Anwar ke Dewan Rakyat bukanlah sesuatu perkara yang boleh menyebabkan ekonomi Negara mencanak naik atau dengan automatisnya berbondong-bondong ahli Parlimen BN `melompat’ ke dalam Pakatan Rakyat secara tiba-tiba. Seperti kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar, diharapkan DS Anwar akan dapat menjalankan tugas dengan cemerlang sekaligus membawa manfaat kepada kemakmuran negara. Pada saya, malah semua pihak pun demikian iaitu kita menerima keputusan rakyat atau pengundi baru-baru ini. Cuma lagi jalankan tugas dengan sebaiknya. Kata TS Pandikar lagi, diharap DS Anwar dapat `mengawal’ ahli-ahli Parlimen dari PR tentunya dengan kapasiti DS Anwar sebagai Ketua Pembangkang.
WT- Kata Tun Mahathir pula, bukan Anwar yang menang tapi BN yang kalah. Pengundi mengundi Anwar kerana masih `marahkan’ BN/UMNO khususnya Pak Lah!. Rasanya tanggungjawab mencari sebab musabab kekalahan yang sudah disangka ini hendaklah lebih komprehensif. Kalaupun Pak Lah adalah satu faktor tapi saya yakin itu bukannya satu-satunya faktor…sok sek di sana sini khususnya di meja kedai kopi juga berkata ia disebabkan oleh orang BN/UMNO sendiri…hmmmm…`ribut’ di dalam rumahtangga sendiri kelihatan belum berkesudahan.
Semoga para pemimpin BN/UMNO benar-benar melihat jauh ke dalam kerana ia umpama satu mesej bahawa dalam tempoh 5/6 bulan ini tidak banyak kesan atas segala tindakan pemulihan yang telah dilakukan oleh BN/UMNO selepas tsunami politik PRU12 yang lalu. Di mana silapnya?
No comments:
Post a Comment