Sunday, August 3, 2008

PERSIDANGAN UMNO 2008: PEMILIHAN PARTI, MAMPUKAH PERPECAHAN DIELAKKAN?

Oleh: Warisan Tamar
3 Ogos 2008, Ahad

Kehangatan persekitaran politik negara belum reda sejak PRU12 yang lepas. Sukar diduga bila ia akan benar-benar tenang dan senyap sekurang-kurangnya untuk seketika. Tapi bak kata orang politik, kalau senyap mereka tiada kerja pulak! Itu persepsi saja sebab jika terlalu berpolitik tanpa sempadan maka apa kualiti kerja yang terhasil. Kalau soal peribadi pun mahu sedaya mungkin diheret menjadi isu politik, mentang-mentang sebagai seorang ahli politik maka susahlah...bukan orang politik yang susah tapi rakyat jua yang semakin menyampah kerana bukan masalah rakyat yang diutama tetapi masalah sesetengah individu politik. Tinggal lebih kurang 20 hari lagi mesyuarat dan pemilihan peringkat cawangan UMNO seluruh negara kemudian dalam kemeriahan bulan Syawal nanti akan banyak majlis raya dan buka puasa di bulan Ramadan kerana mesyuarat dan pemilihan peringkat Bahagian UMNO bakal bermula.

Bahang mesyuarat dan pemilihan UMNO semakin dirasai. Bagi yang sudah melepasi kuota pencalonan untuk bertanding di peringkat bahagian sudah tentu menarik nafas lega dan tersenyum panjang. Sambil mula mengatur strategi dan perancangan untuk memenangi jawatan yang ditandingi. Tetapi bagi yang belum atau mungkin hampir gagal untuk melepasi kuota, sudah tentu merasa `kecewa’ kerana hasrat tidak kesampaian. Menariknya, di Johor sebuah negeri kubu kuat UMNO beberapa pertarungan khususnya untuk memperolehi pencalonan amatlah sengit malah mencapai tahap hangat maksima. Di bahagian UMNO Kota Tinggi misalnya, penyandang Ketua Bahagian UMNO - YB Datuk Seri Syed Hamid Albar bakal ditentang oleh seorang ahli UMNO biasa. Mengejutkan apabila seorang Menteri penuh dalam Kabinet juga tidak mendapat laluan selesa untuk mempertahankan jawatan. Malah dalam kes Kota Tinggi, sudah sampai ke tahap saman menyaman....memang panas!

Demokrasi membenarkan sesiapa saja yang layak untuk bertanding biarpun ia cuma ahli biasa. Yang penting mendapat sokongan. Hatta Presiden UMNO pun tidak berhak untuk menafikan hak sesiapa pun ahli UMNO untuk menentangnya. Tetapi saya melihat lebih jauh, sepertimana kebimbangan ramai pemimpin malah ramai ahli UMNO itu sendiri bahawa kehangatan dan keghairahan pemilihan kali ini dikhuatiri bukan setakat membawa kepada perpecahan yang menakutkan malah bakal digunakan sebaiknya oleh pihak lawan.

Kita lihat di Johor, sebuah negeri yang bukan setakat menjadi kubu kuat BN/UMNO sekian lama tetapi juga sebuah negeri dimana telah `melahirkan dan menghimpunkan’ ramai pemimpin di dalam UMNO dan juga di dalam barisan Kabinet. Bagaimanapun jelas belum kelihatan kesepaduan antara mereka. Saya melihat ini berlaku kerana faktor selesa yang dialami selama ini. Maksudnya, keyakinan bahawa UMNO tidak berpecah dan pihak lawan tidak akan mampu mengambil kesempatan dari kecamuk pemilihan yang panas di negeri selatan Semenanjung itu. Ketidaksepaduan antara satu sama lain ini jugalah menyebabkan tiada pemimpin dari Johor yang akan menduduki dua kerusi tertinggi dalam parti dan pemerintahan negara yakni sejak pada zaman Tun Musa Hitam. Mungkin bila terlalu ramai pemimpin yang diangkat terutamanya untuk menduduki barisan Kabinet maka sikap tidak mahu kalah antara satu sama lain akan timbul dan tidak akan juga `menghalalkan’ sebarang kompromi.

Saya membangkitkan perkara ini untuk menzahirkan kebimbangan bahawa perpecahan bukan bermula dari kalangan ahli biasa UMNO tetapi dikalangan pemimpin itu sendiri yang kelak membawa juga kepada berpecahnya ahli-ahli UMNO. Dalam pada UMNO masih `mamai’ dan goyah akibat penangan PRU12, UMNO sebenarnya tidak mampu untuk berhadapan dengan sebarang masalah dalaman parti sekurang-kurangnya sehingga PRU13. Nasib baik pihak lawan juga sebenarnya sedang dilanda pelbagai badai dan berkocak. Jika tidak, saya percaya senario politik kini bukanlah milik BN/UMNO lagi. Seperti kata parti komponen BN yang lain, kuat UMNO maka kuatlah BN. Kalau sudah UMNO kena `check mate’ maka BN pun akan terus goyah dan rapuh serapuh-rapuhnya.

Pada saat ini, UMNO di negeri Sabah mungkin boleh dijadikan contoh (baca: mustahil dijadikan contoh kerana UMNO Sabah dianggap terlalu muda dalam sejarah UMNO). Kalaupun tidak sepenuhnya tetapi mereka nampaknya lebih tenang berhadapan dengan proses pemilihan UMNO ini. Saya percaya keputusan baik semasa PRU12 adalah antara faktor ketenangan buat masa ini. Tetapi saya juga tidak ingin melangkaui waktu. Pandangan terhadap suasana pemilihan UMNO di Sabah ini adalah berasaskan situasi semasa. Bagi saya disebabkan faktor geografi, kejutan pihak lawan terhadap BN/UMNO di Semenanjung tidak begitu terasa di Borneo terutamanya Sabah. Sebab itu arus keinginan mengubah kepimpinan atasan parti dan kerajaan tidak begitu terasa keperluannya buat masa ini. UMNO Sabah lebih bersikap sederhana dan berhati-hati dalam melakukan langkah berikutnya. Bukan menafikan badai perubahan dalam kepimpinan UMNO Sabah tetapi rasanya ia lebih terkawal berbanding UMNO di Semenanjung yang lebih senior dan veteran dalam sejarah UMNO. Cuma apabila dua pemimpin utama UMNO Sabah iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri (Ketua Menteri – YAB Datuk Seri Musa Aman) dan Timbalannya (Menteri KekWa – YB Datuk Seri Shafie Apdal) dicanangkan untuk bertanding ke dalam lubuk pertandingan jawatan Naib Presiden UMNO, saya rasa akan ada pembentukan `puak’ jika bahagian-bahagian UMNO di Sabah tidak mengambil sikap kompromi dan gagal mengekalkan kesepaduan dalam memberikan pencalonan. Sebaiknya biarlah hanya salah seorang yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden itu. Lagipun senarai calon berminat untuk `merempuh’ pertandingan jawatan tersebut pun sudah semakin berjela panjang. Setakat ini tiada yang mengumumkan penarikan balik hasrat bertanding.

Janganlah dijadikan alasan utama bahawa demokrasi telah menghalalkan segala bentuk pertandingan maka kita tidak kisah terhadap apa yang akan berlaku kesan daripada pertandingan yang amat panas. Tetapi harus juga difikirkan dengan baik dari segi perpaduan parti dan keutuhannya. Saya kerap mengungkapkan bahawa bukan sahaja pemimpin dalam UMNO atau BN malah pihak lawan juga sering kali terlupa atau buat-buat lupa untuk menunaikan tanggungjawab sosial mereka dalam mengekalkan perpaduan dikalangan rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO.

Dalam konteks UMNO, misalnya apabila berlaku pertembungan antara dua atau lebih pemimpin untuk sesuatu jawatan atau isu maka penyokong dan pengikut mereka juga akan turut serta bertempur. Pertempuran antara kedua-dua (atau lebih) ahli atau pengikut a.k.a penyokong pemimpin tadi akan berpanjangan tanpa kesudahan selagi bos mereka (pemimpin) tidak menamatkannya dan selagi pemimpin yang satu lagi terus-terusan `memboikot’ ahli/penyokong di pihak lawan. Meskipun kedua pemimpin yang berlawan tadi masih boleh berSMS, minum teh tarik bersama malah `tolong-menolong’ antara satu sama lain tetapi mereka acap kali lupa atau buat-buat lupa untuk menyatukan semula para penyokong mereka agar bersatu dan melupakan pertempuran serta mengisytiharkan ianya sudah selesai. Maka para penyokong yang berlainan bos tadi akan berterusan `bertempur’ dan sentiasa saling berprasangka buruk antara satu sama lain. Hinggakan apabila menerima SMS dari penyokong lawan – ucapan selamat berpuasa pun nanti ditafsirkan dengan pelbagai prasangka buruk! Ahli atau penyokong tadi akan terus-terusan dicop sebagai penyokong tegar kepada pemimpin X. Maka secara tidak langsung wujudlah `kelompok pembangkang’ dalam parti sendiri. Bagi saya ini bukan sahaja akan memburukkan parti tetapi juga perpaduan dikalangan rakyat negara ini.

Pada saya senario perpecahan ini berlaku dalam realiti politik tanahair. Cuma selama ini mungkin ianya lebih terkawal. Apakah jaminan bahawa dalam keadaan UMNO itu belum benar-benar kuat akibat pukulan PRU12 lalu, pemilihan UMNO kali ini tidak akan membawa musibah kepada perpaduan ahli-ahlinya? Apakah pemimpin yang bertanding tadi mampu menyatukan semula kedua-dua penyokong-penyokong mereka supaya kembali seperti sedia kala iaitu sebagai ahli UMNO dan terus diberi layanan samarata oleh pemimpin yang menang? Atau para penyokong tadi dibiarkan terus-terusan bermasam muka dan berprasangka serta terus mencari kelemahan/keburukan pemimpin lawan bos mereka? Jangan terkejut jika `budaya’ dan `kepakaran’ menggunakan peralatan canggih elektronik sepertimana berlaku ke atas para pemimpin MCA bakal terjadi kepada pemimpin UMNO pula! Awas jangan cari pasal bos.....kalau aksi terlampau yang dirakam, maka tamatkanlah riwayat politik bos...jangan cari pasal mengheret isu ke Mahkamah Antarabangsa pula!!!

Akhir kalam, jika pimpinan UMNO terbuka dan memandang lebih jauh maka ambil kiralah impak pemilihan ini kepada perpaduan ahli-ahli parti. Mungkin pemimpin yang menang `diwajibkan’ agar bertindak lebih proaktif dalam menyatukan semua ahli tidak kira mereka menyokong siapa saja semasa pemilihan UMNO ini. Janganlah disenaraihitamkan cawangan atau bahagian yang tidak mencalonkan atau menyokong pemimpin yang menang kelak. Jika pemimpin UMNO sanggup bermuhasabah dan menyedari bahawa realitinya perpecahan dalam UMNO itu amat pahit rasanya daripada kemanisan kemenangan jika ditakdirkan menang di Permatang Pauh sekalipun!

Apalah ertinya jika berjaya menumbangkan pemimpin retorik di Permatang Pauh jika UMNO kelak menjadi porak poranda dan berpecah belah. Fikir-fikirkanlah...

No comments: