Tuesday, April 8, 2008

SABOTAJ UMNO DILAKUKAN SECARA BERKUMPULAN


Oleh Bernama
Selasa, 08 April 2008

SUNGAI SIPUT: Semua 24 Bahagian Umno di Perak telah diminta mengemukakan laporan siasatan mengenai perbuatan sabotaj oleh anggota parti pada pilihan raya umum lepas kepada Jawatankuasa Disiplin Umno supaya tindakan segera dapat diambil.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata semua bahagian telah diminta mengemukakan laporan siasatan itu terus kepada jawatankuasa berkenaan dengan salinan kepada badan perhubungan Umno negeri.

Beliau berkata laporan perlu dikemukakan dengan bukti yang kukuh supaya tindakan dapat diambil.
Dalam kenyataan pertamanya kepada media di sini sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) di Perak pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, bekas Menteri Besar itu berkata laporan awal mendapati kebanyakan perbuatan sabotaj dilakukan secara berkumpulan sama ada mereka tidak keluar mengundi atau memberi undi kepada calon lawan.

Katanya, sabotaj bukan sahaja dilakukan terhadap calon Umno tetapi juga calon BN daripada parti komponen lain menyebabkan kerusi-kerusi selamat di Perak mengalami kekalahan.

"Sabotaj banyak dilakukan berkumpulan...contoh di kerusi yang ditandingi calon MIC seperti di (Dewan Undangan Negeri) Behrang yang merupakan kerusi majoriti pengundi Melayu dan mereka mahu kerusi itu ditandingi calon Umno," katanya pada sidang akhbar selepas perjumpaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhd Taib dengan Kemas Perak di sini.

Tajol Rosli berkata gerakan yang dijalankan oleh kumpulan anggota Umno di Behrang itu hanya bertujuan memberi isyarat supaya kerusi itu diberikan kepada calon Umno tetapi gelombangnya terlalu kuat hingga membawa kepada kekalahan.

Beliau berkata sabotaj di Perak dilakukan oleh anggota Umno secara beramai-ramai dan bukan secara bersendirian dan gerakan sabotaj seperti itu memang sukar untuk diambil tindakan.

BN yang menguasai 52 daripada 59 kerusi DUN Perak sebelum ini hanya menang 28 kerusi pada pilihan raya lepas manakala DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang 31 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata perbuatan sabotaj menjadi punca kekalahan BN di Perak dan Kedah.

Semua bahagian Umno di Perak sedang mengenal pasti anggotanya yang didapati terang-terangan melakukan sabotaj seperti berkempen untuk parti lawan, menjadi wakil calon atau meraih undi untuk parti lawan dari rumah ke rumah.

Sementara itu, Muhammad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata laporan mengenai perbuatan sabotaj mesti dibuat secara bertulis dan mesti lengkap dengan segala butiran dan bahan bukti seperti keterangan saksi dan gambar.

"Laporan sabotaj itu mesti jelas, mesti ada nama, lokasi, gambar dan saksi kerana kalau hanya cakap mulut sahaja tidak ada sebarang tindakan boleh diambil oleh jawatankuasa disiplin,'' katanya.

Beliau berkata masalah sabotaj itu telah menjadi pengajaran kepada semua anggota Umno kerana telah kehilangan beberapa negeri pada pilihan raya umum lepas.

"Perak dan Kedah sepatutnya masih berada di tangan BN jika tidak berlaku sabotaj," katanya.


WT- Berita ini pastinya berkaitan dgn beberapa kenyataan oleh TPM Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa ahli UMNO yang terlibat boleh dipecat sekiranya didapati bersalah dan kenyataan PM Pak Lah bahawa pemimpin `gelapkan' wang punca UMNO tewas. Yang dinantikan ialah siapakah gerangan ahli UMNO itu? Seorang, dua orang atau beratus orang atau ribuan orang? Tindakan tegas harus diambil oleh pimpinan UMNO sebagai tanda tiada kompromi kepada yang terlibat tapi jangan sampai ada yang teraniaya dan tindakan disiplin berpilih-pilih. Doa orang teraniaya itu juga berbisa! Renungkan - Lebih baik melepaskan 9 orang pesalah daripada menjatuhkan hukum kepada seorang yang tidak bersalah.

No comments: