Tuesday, April 15, 2008

ROYALTI MINYAK 20% UNTUK SABAH?

Oleh Abd Aziz Taip
Warisan Tamar


Royalti minyak sebanyak 20% dijanjikan untuk Sabah & Sarawak. Itu janji yang dilaungkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa Perhimpunan Black 14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru 14 April 2008. Ini sudah tentu antara `pancingan' paling tekad Pakatan Rakyat khususnya kepada Ahli-ahli Parlimen (AP) BN dari Sabah dan Sarawak supaya `menyeberang' dan membolehkan kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat dapat ditubuhkan.


Walaupun saya beranggapan ini adalah salah satu dari warna warni politik apatah lagi di dalam suasana BN khususnya UMNO berada dalam keadaan `kecamuk' apabila kepimpinan Pak Lah makin hangat dipertikaikan dan dituntut supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Tentu sekali politik negara tidak akan `semeriah' kini jika tiada `letupan-letupan' yang menarik minat rakyat. Namun, saya sama sekali tidak menidakkan kemungkinan pertukaran pemerintahan kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri akan berlaku. Di dalam politik tiada yang mustahil. Politics is the art of the possible.


Sebagai bekas pelajar aliran sains politik, kita memahami `kemuncak' sesuatu acara politik adalah untuk mempunyai KUASA. Justeru, walaupun kemungkinan kejadian `lompat-melompat' di kalangan AP dari BN kelihatan tidak semudah sepertimana yang diyakini oleh Pakatan Rakyat dan laungan keyakinan DS Anwar Ibrahim malam tadi tetapi harus diingat politik Sabah umumnya juga mempunyai pengalaman dan sejarah besar dalam insiden `pertukaran' pemerintahan. Selagi matlamat politik adalah KUASA selagi itulah matlamat akan menghalalkan cara!


Saya berpendapat dalam pada BN khususnya UMNO bersungguh untuk memperbaiki kelemahan dan merungkai kekalutan, jangan dilupakan `gerakan' Pakatan Rakyat. BN Sabah pula terutamanya UMNO Sabah janganlah leka dan bongkak dengan kemenangan besar dalam PRU12 yang lalu. Sebagai ahli politik di Negeri Dibawah Bayu tersebut, mereka harus sedar dan memahami pengalaman dan sejarah politik di Sabah itu sendiri. Jika tidak, anda akan `ketinggalan keretapi'. Kerajaan BN Sabah harus ingat bahawa Sabah masih merupakan negeri termiskin di Malaysia pada ketika ini. Jangan ingat pembangunan kompleks-kompleks perniagaan mega di Kota Kinabalu akan menjadikan rakyat Sabah lupa bahawa mereka adalah di negeri yang termiskin. Rakyat Sabah pada saya unik sifat politiknya. Walaupun ramai pihak mengatakan mentaliti politik orang Sabah belum `advance' seperti di Semenanjung tapi dengan mentaliti politik itulah rakyat Sabah telah beberapa kali mengubah pemerintahan kerajaan Sabah,...diam jangan dianggap bodoh!


Bak kata sahabat saya` orang miskin tidak takut hidup susah sebab hidup seharian pun memang kais pagi makan pagi' Rakyat Sabah pada hemat saya amat berani dalam mencatur nasib politik negeri mereka. Justeru, saya rasa BN dan UMNO harus memandang serius janji royalti minyak 20% itu dan isu-isu disebaliknya. Tapi jika ingin mengabaikannya juga...pesan saya jangan lupa kepada sejarah politik Sabah. Sebagai renungan, tidak salah jika membaca artikel dan berita dari media alternatif dan bloggers lain yang berkait rapat dengan keyakinan dan usaha tekad Pakatan Rakyat dalam merealisasikan transformasi pemerintahan negara.


Perhatikan cerita ini (klik untuk membaca)...

Apakah harapan PR menumbangkan BN di Parlimen?
dan


... dan bukanlah niat saya supaya anda semua mempercayai bulat-bulat tapi janganlah kita memandang rendah kenyataan seperti itu...`Kekalahan' BN secara umumnya pada saya secara peribadi adalah disebabkan 1001 macam faktor dan satu daripadanya ialah `memandang rendah keupayaan Anwar Ibrahim dalam mendepani perjuangan pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat dulunya Barisan Alternatif)'.


WT- Fikir-fikirkanlah...

No comments: