Saturday, April 25, 2009

MT UMNO: ADA WOW FACTOR ATAU TIDAK

Warisan Tamar
25 April 2009, Sabtu (AM)

PM DS NAJIB telah pun mengumumkan perlantikan `para pegawai kanan’ bagi membantu beliau melaksanakan tugas-tugas di dalam parti (UMNO). Seperti kata beliau bahawa beliau tidak dapat memuaskan hati semua orang dengan perlantikannya yakni selepas banyak suara-suara yang `mempersoalkan’ perlantikan barisan kabinetnya yang lepas, demikian juga suara-suara yang `mempertikaikan’ perlantikan individu tertentu dalam pimpinan UMNO.

Persoalannya, adakah dengan melantik semua muka baru seperti Ketua Penerangan (YB Tuan Hj Ahmad Maslan – MP Pontian) atau membawa masuk YB Senator Datuk Jamil Khir dan YB Senator Datuk Raja Nong Chik ke dalam Majlis Tertinggi UMNO adalah satu indicator tepat sebagai langkah pembaharuan dalam pimpinan atasan UMNO?

Atau dengan melantik `semula’ pemimpin yang kalah dalam pemilihan UMNO serta mendapat persepsi politik negatif meluas seperti YB DS Rafidah dan YAB Ketua Menteri Melaka, DS Mohd Ali Rustam adalah dilihat sebagai langkah pembaharuan UMNO yang akan `gagal’?

Saya memahami hakikat bahawa UMNO masih merupakan sebuah parti yang menjadi perhatian ramai. Secara umumnya diberi perhatian yang cukup `terperinci’ oleh rakyat Malaysia tidak kira mereka adalah ahli UMNO, rakyat biasa tanpa parti mahupun ahli parti siasah pembangkang, para peniaga kecil-kecilan dan korporat besar serta oleh kumpulan NGO. Oleh sebab itu setiap inci pergerakan dan tindakan UMNO khususnya oleh DS Najib akan dilihat dari pelbagai sudut implikasi positif dan negatif.

Sesiapa juga yang biasa terlibat dengan persekitaran pengurusan dan pentadbiran dimana mereka mempunyai kuasa melantik dan menentukan hala tuju sesebuah organisasi sudah pasti akan berhadapan dengan dilemma dalam menentukan anggota pasukan yang terbaik. Sebagai contoh mudah difahami, Alex Ferguson (Pengurus Manchester United) juga mempunyai dilemma dalam menentukan barisan pemain terbaik untuk menghadapi sesuatu perlawanan. Ada beberapa perkiraan, terpaksa dilakukan. Lazimnya, komen memuji hanya akan hadir selepas memperolehi keputusan yang positif dalam sesuatu perlawanan. Namun jika gagal dalam perlawanan, maka beliau juga akan dikritik kerana kesilapan penentuan barisan pemainnya.

Demikianlah juga dilemma DS Najib. Tepat atau tidak pemilihan dan perlantikan barisan kepimpinan dalam MT UMNO akan diukur selepas satu tempoh masa dan selepas sesuatu pilihanraya khususnya PRU13 kelak. Risiko? Dalam membuat apa jua keputusan elemen risiko adalah salah satu cabaran yang perlu berani diambil oleh seseorang ketua. Dare to take risk is also dare to take challenge!

Saya juga mempunyai pendapat bahawa ada muka-muka yang dilantik malah yang menang dalam pemilihan UMNO yang lepas tidak secocok dengan `kehendak’ hati saya sebagai ahli UMNO dan golongan muda. Perkiraan saya mungkin mudah dan boleh dipertikaikan tetapi ia juga hak peribadi saya. Pemimpin yang mempunyai persepsi buruk di kalangan masyarakat tidak seharusnya di bawa masuk ke dalam MT UMNO. Ini kerana mereka akan juga membawa beban politik kepada UMNO dan ahli-ahli UMNO sudah pasti akan mendapat tempias beban tersebut.

Namun untuk berlaku `adil’, saya juga mengalu-alukan langkah DS Najib tidak melantik semula beberapa pemimpin yang sudah terlalu banyak dibebani dengan persepsi buruk politik dan realitinya memang tidak diterima oleh rakyat. Saya percaya DS Najib sudah amat bersedia dan mampu untuk menangani persepsi yang akan terus berlegar-legar di dalam pemikiran rakyat bilamana masih membawa beberapa nama yang sering `dipertikaikan’ oleh masyarakat.

Justeru, saya sangat bersetuju bahawa DS Najib tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Saya berharap mereka yang telah terpilih dan dilantik didalam MT UMNO hendaklah juga mentransformasikan pemikiran dan cara kerja termasuk pembawaan diri di dalam masyarakat agar seiring dengan apa yang ingin dicetuskan oleh Satu Malaysia DS Najib dan Wow! Factor TS Muhyiddin…

Salam Transformasi...

No comments: