Monday, April 27, 2009

KOTA KINABALU PULA DIANCAM BANJIR

28 April 2009, Selasa (AM)

WT- Dr Rosalam juga telah memberi penjelasan tentang banjir di Beaufort sebelum ini. Saya harap walaupun kurang yakin Dewan Bandaraya KK (DBKK) akan mengambil berat komen oleh ahli akademik tentang cabaran dan hakikat ini. Saya menjangkakan pihak DBKK atau mereka yang berkenaan akan menjawab dengan jawapan cukup standard. Misalnya menjelaskan bahawa DBKK khususnya sudah memantau perkara ini dengan serius dan peruntukan jutaan RM telah disediakan seperti untuk membersihkan sistem perparitan serta melaksanakan sistem aliran air yang lebih berkesan. Namun, saya harap segala persepsi negatif saya tidak betul. Realitinya, lihatlah parit dan longkang di bandaraya Kota Kinabalu!

KOTA KINABALU 27 April - Banjir kilat akan menjadi perkara rutin di bandar raya Kota Kinabalu dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi sekiranya tiada tindakan proaktif dilakukan bagi mengatasi masalah itu.
Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Rosalam Sarbatly berkata, adalah tidak mustahil Kota Kinabalu akan menerima nasib yang sama seperti Kuala Lumpur yang kerap dilanda banjir kilat.

"Meskipun Kota Kinabalu terletak berhampiran dengan laut adalah tidak mustahil ia akan menerima banjir kilat rutin seperti Kuala Lumpur.

"Ini kerana pembangunan terus naik dengan pesat tetapi sistem perparitan tidak dirancang dengan betul selain kawasan tadahan yang semakin kurang.

"Jadi apabila hujan lebat ia seolah-olah menyiram air di atas lantai berbanding menyiram air di atas karpet sebelum ini,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, selain tidak mencukupi, sistem perparitan sedia ada juga sering tersumbat.

Katanya, tindakan kontraktor binaan yang tidak memberikan keutamaan kepada pembinaan longkang dan kawasan bagi menyalurkan sisa kumbahan binaan menyebabkan banjir kilat mudah berlaku di sini.

"Bila buat pembangunan dulu akan sebabkan pasir dan lumpur selepas pembinaan mengalir masuk ke dalam longkang dan sungai menyebabkan sungai semakin cetek dan risiko banjir meningkat," katanya.

Dalam pada itu, Rosalam berkata, meskipun mengakui faktor perubahan cuaca dijadikan alasan penyumbang kepada banjir kilat, tetapi masih ada jalan penyelesaian bagi menangani masalah tersebut.

"Kita tahu kita tidak boleh mengubah perubahan cuaca yang berlaku tetapi kita mesti bersedia, maksudnya bila tahu kenaikan taburan hujan, kita sediakan langkah awal pencegahan seperti menyediakan longkang yang mencukupi," jelasnya.

Sementara itu, katanya, antara usaha yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu ialah memastikan jumlah dan luas longkang yang ada mencukupi berdasarkan taburan hujan.

Tambahnya, longkang dan sungai sedia ada juga perlu sentiasa dibersihkan selain semua kontraktor wajib beretika dengan mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan, tidak hanya mengutamakan keuntungan.

No comments: