Tuesday, February 3, 2009

BERUK DAPAT BUNGA, KATAK KOMODITI BARU




03 Febuari 2008, Selasa

TERKINI: MB Perak, Kera-jaan PR dikhabarkan sedang dalam usaha mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN dan kera-jaan PR. Percaturan terbaik untuk memulihkan imej beruk-beruk dan katak...Kita nantikan apa yang akan berlaku seterusnya!


DALAM kalendar bolasepak Liga Inggeris atau EPL, bulan Januari merupakan bulan yang dikenali sebagai transfer window month dimana liga bolasepak terkenal dan amat popular di Malaysia itu akan berada di pertengahan liga atau musim. Lazimnya beberapa pasukan akan menggunakan kesempatan semasa transfer window ini dibuka untuk melakukan jualan dan belian pemain. Misalnya Arsenal yang telah mengesahkan membeli penyerang berpotensi dari Rusia (Arshavin) untuk mengukuhkan jentera serangan mereka. Malah ada juga pasukan yang melakukan penjualan dan pembelian dari posisi pertahanan, tengah dan penjaga gol. Pentingnya bulan Januari bagi kebanyakan pasukan EPL adalah bagi memastikan segala strategi mereka untuk menjuarai EPL ataupun untuk kekal bersaing di dalam EPL pada musim depan mencapai kejayaan.

Saya bukanlah ingin bercerita panjang tentang transfer window month untuk EPL. Tetapi sekadar mengaitkan senario EPL itu dengan suasana politik dan kedudukan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di bumi Perak Darul Ridzuan. Keadaan tidak stabil sedemikian sebenarnya pernah dialami oleh kerajaan negeri Sabah di tahun 90an di bawah teraju Parti Bersatu Sabah dimana akhirnya runtuh bilamana beberapa orang wakil rakyatnya berpaling tadah menyertai BN. Suasana ketidakstabilan ini berlaku bilamana pihak kerajaan yang memerintah hanya mempunyai majoriti tipis. Hal sedemikian juga hangat diperkatakan apabila PR begitu galak dan bernafsu untuk melangkah masuk ke Putrajaya pada 16 September 2008 kononnya seramai 31 orang Ahli Parlimen BN akan berpaling tadah. Akhirnya mereka terpaksa terus membohongi rakyat khususnya kepada penyokong taksub mereka bahawa akan ada tarikh lain dimana mitos 16 Sept yang dicipta mereka pasti akan berlaku. Ini semua wujud apabila pihak yang memerintah tidak mempunyai majoriti 2/3 dan kerap menjadi mangsa persepsi dan pelbagai agenda politik yang tidak berkesudahan.

PR pada saya amat pandai memainkan isu dan mengajak rakyat mempercayai sesuatu perkara yang kebanyakannya langsung tidak diterima akal. Methodologinya mudah, cipta satu cerita dan usung ke hulu ke hilir. Apabila canang dipukul berkali-kali, posibiliti untuk isu tersebut melekat dihati rakyat amatlah tinggi. Ia adalah pembohongan yang dilakukan berulang kali dan akhirnya diterima sebagai satu kebenaran. Terbaru, DS Najib dituduh menawarkan RM50 juta…RM50 juta bukan RM50 untuk membeli YB-YB dari PR. Saya pasti isu ini akan dicanang ke sana ke mari. Golongan ini sentiasa merasakan bahawa mereka adalah maksum dari melakukan dosa dan fitnah. Mereka kononnya dibenarkan tuhan untuk mencarut, memfitnah malah melemparkan kata nista kepada orang lain. Sedangkan orang lain atau lawan mereka adalah orang yang sentiasa berdosa dan tidak ada pintu taubat disisi tuhan.

Bilamana ADUN Bota (UMNO) melompat katak ke dalam karung PR, dengan senyum sumbing dan penuh keyakinan pemimpin PR berkata ini adalah proses demokrasi tulen. YB Katak tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi ADUN yang diwakili dan YB Katak juga berhak untuk terus menjadi wakil rakyat. Inilah wajah pemimpin yang seharusnya dijadikan bahan gelak ketawa beramai-ramai sebab hari ini cakap lain esoknya bila YB-YB mereka `hilang’ maka mereka mula menjadi sasau. Hukum karma, hari ini anda dajalkan orang lain esok hari pasti akan tiba masanya anda pula akan menerima musibah akibat kedajalan anda! Saya pasti mereka mula merasa tidak sihat semenjak beberapa hari ini. Umpama orang kata mandi tak basah, makan tak kenyang, kencing tak lawas, tidur tak nyenyak dan sebagainya. Gelak ketawa meraikan kehadiran YB Katak pasti terencat apabila sang beruk membawa berita bahawa YB-YB dalam karung mereka telah `menghilangkan diri’ dan lantas mereka yang takut kuasa hilang ditangan (kereta Camry pun belum cecah 5000km, belum puas pakai) pun mengatur pelan bodoh dan hampas. Hantar surat resign orang yang tidak mahu resign…ingat anda lawyer anda tahu semua undang-undang? Ingat anda YB dan pemimpin PR maka tuhan tidak akan mengurniakan musibah kepada puak-puak PR…dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung! Tuhan baru menguji mereka dengan sedikit musibah tapi kalutnya mereka tiada siapa yang tidak tahu.

Strategi lapuk dan auta yang semakin menjelikkan oleh pemimpin PR dalam menangani masalah pemerintahan mereka ialah menuding jari mencari orang untuk dituduh dan dipersalahkan. Prinsip mereka mudah. Benar atau tidak tuduhan dan adil atau tidak kepada orang yang dituduh, itu bukan persoalan utama dan penting untuk diambil kira. Yang penting ada kambing hitam untuk dipersalahkan. Soal rakyat keliru atau tidak percaya…bukan masalah. Sebab mereka pakar dalam menjadikan sesuatu isu yang tidak benar menjadi benar, tidak diterima rakyat menjadikannya diterima rakyat…Yang penting, ceramah bawah pokok, bawah tangga, bawah jambatan perlu diteruskan. Opps…sekarang sudah naiktaraf sedikit, ceramah di dalam stadium. Dosa dan pahala tolak tepi sebab hanya orang UMNO dan BN sahaja yang akan masuk neraka. Orang PR semua masuk syurga. Mereka maksum dari sebarang dosa. Jadi mereka boleh buat apa saja…

Keputusan SPR untuk mengekalkan kerusi DUN YB-YB dari PKR yang direject oleh PKR semakin menzahirkan betapa hampasnya mereka dalam menangani sesuatu masalah dalaman mereka sendiri. Yang dibimbangi mereka adalah betapa surat aku janji yang kononnya dipercayai akan mengikat kaki dan tangan YB-YB dalam karung PR supaya tidak berganjak untuk terus bersama sehidup semati, kini sudah boleh dipertikaikan kesahihannya. YB-YB sedia ada bukan lagi diikat selepas ini tapi dirantai dan akan dicucuk hidung termasuk seekor YB Katak yang baru memperhambakan diri (baca: memperbodohkan diri) menyertai mereka dalam karung PR. Dari segi ekonomi yang sekarang dalam keadaan tidak menentu, sudah pasti harga-harga katak di pasaran menjadi terlalu mahal!

Sebagai pemerintah sebuah kerajaan yang sangat tidak berpengalaman, sepertimana kata ramai pemerhati, penganalisis politik yang mempunyai kredibiliti mahupun yang diiktiraf di kedai-kedai kopi/mamak – Membubarkan DUN Perak adalah salah satu opsyen supaya mandat baru diperolehi daripada rakyat. Dalam suasana ekonomi sekarang, membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya sudah tentu akan menghambat ekonomi kita yang makin meruncing. Bolehkah pilihanraya diadakan tanpa melibatkan kos? Tak mengapa…apa saja keputusan kerajaan PR semua betul…maaf, saya nak muntah! Kalau sudah terpaksa, inilah masa untuk rakyat khususnya di Perak untuk mengembalikan kuasa kepada mereka yang mempunyai pengalaman mentadbir dan mengurus. (Pencacai kera-jaan PR akan berkata BN berpengalaman menghabiskan harta milik negara dan rakyat) Kawan saya kata kera-jaan PR cukup berpengalaman dalam urusan jual beli kereta baru dan terpakai!!!

Kesimpulannya, saya terfikir satu peribahasa atau perumpamaan. Mungkin tepat atau tidak tapi saya memahaminya dari sudut ini – seseorang yang tidak layak memegang sesuatu kuasa apabila diberi kuasa maka mereka akan terdorong menyalahgunakan kuasa. Mereka berkata kami lah yang paling telus, paling berwibawa, paling adil dan semua yang terbaik. Padahal mereka langsung tidak mempunyai kemampuan dalam mentadbir dan mengurus.

Adakah mereka adalah umpama seekor beruk a.k.a kera yang mendapat bunga?

WT- Persepsi politik kedai kopi dan perihal harga katak di pasaran;-

1) Pemimpin PR yang beriya-iya ingin berjumpa dengan Pak Lah untuk membincangkan peralihan kuasa pada 16 Sept 2008 sebenarnya bernafsu sangat ingin berjumpa Pak Lah bukan sebab pasal peralihan kuasa mengarut tapi nak berbincang macam mana menjadi Raja Katak untuk melompat ke dalam UMNO…
2) YB Katak yang baru sahaja berjaya melakukan lompatan bergaya di Perak pasti akan gigit telo jika kera-jaan yang disertainya runtuh. Katak jenis @ spesies ini biasanya katak expired. Biasanya juga sesiapa yang yang menawarkan harga yang paling rendah akan berjaya memilikinya…berapa harga paling sesuai?
3) Harga katak paling mahal di pasaran dan mungkin sukar dan belumpun ditandingi sehingga kini adalah katak-katak yang berlompatan di Sabah belasan tahun yang lalu sebab dicelah-celah kangkang katak-katak ini terselit berlian yang tidak ternilai harganya…hehehe…saya cuit sikit saja Datuk-Datuk!!!
4) Daging katak amat tinggi permintaannya dan dikira sebagai makanan eksotik. Tapi maaf saya tidak menjamah mahupun makan daging katak…


Salam Transformasi…

No comments: