Monday, January 19, 2009

PRK KT: IMPAK MAKSIMA?

Warisan Tamar
18 Jan 2009, Ahad

KEPUTUSAN PRK Kuala Terengganu telahpun diketahui umum. BN kecundang kepada PAS. Saya tidak berhajat untuk mengulas panjang tentang sebab-sebab kekalahan UMNO mahupun kemenangan PAS dalam PRK tersebut. Tapi lebih kepada berkongsi pendapat tentang impak PRK tersebut kepada BN khususnya UMNO. Banyak ulasan baik positif mahupun negative terhadap perjalanan PRK KT samada sebelum pengundian malah selepas keputusan rasmi pengundian diumumkan. Semua ulasan mempunyai kredibiliti dan fakta tersendiri. Bagi saya tidak semua boleh diterima tetapi banyak yang boleh dipelajari, diperhalusi dan diperbaiki. Atau bahasa mudah, banyak juga ulasan positif dan negative itu khususnya kepada BN yang boleh dan seharusnya diambilkira dan dipandang berat oleh ahli dan pemimpin BN/UMNO.

Kekalahan UMNO kepada PAS, akan menimbulkan banyak impak secara langsung mahupun tidak langsung. UMNO dilihat semakin lemah, PAS pula dilihat semakin diterima rakyat, golongan muda dikatakan memihak kepada PAS, UMNO salah pilih calon dan sebagainya adalah antara penilaian dan persepsi umum oleh pelbagai pihak. Benar bahawa UMNO harus menilai semula banyak aspek. Bukan setakat pemilihan calon dan strategi kempen tetapi lebih dalam daripada itu. Perihal tentang keutuhan parti dari segi kualiti pemimpin, iltizam ahli dan hala tuju parti perlu diperkemaskan. Selagi UMNO dan BN amnya tidak kembali kepada asas politik dan parti, maka selagi itu pihak lawan akan mudah meratah kelemahan yang ada.

Apabila bercakap berkenaan asas politik dan parti, UMNO jangan pula hanya memikirkan pembaharuan dari segi ideology yang akhirnya menguntungkan pihak lain iaitu pihak lawan malah parti komponen lain dalam BN. Perhimpunan dan pemilihan parti UMNO pada Mac ini adalah satu platform terbaik untuk memulakan anjakan paradigma dikalangan ahli dan pemimpinnya. Pemimpin yang dipilih kelak bagi saya akan mencerminkan peluang UMNO pada pilihanraya akan datang samada dalam PRK jika ada atau PRU13. Amat membimbangkan apabila ahli UMNO dan rakyat umumnya, merasa kecewa jika ada wajah pemimpin yang dipilih kelak tidak dapat diterima oleh semua iaitu bukan sahaja ditolak secara senyap oleh ahli UMNO tetapi juga tidak membangkitkan rasa keyakinan rakyat terhadap UMNO. Akhirnya sepertimana kata TPM, DS Najib `suara rakyat suara keramat’ dan kata-kata Tun Mahathir bahawa ramai pengundi di PRK KT juga tidak suka kepada PAS dan calonnya tetapi rasa tidak suka itu lebih tinggi darjahnya kepada UMNO/BN. Mengapa? Jawapannya, jangan dipandang serong dan diperkecilkan kata-kata Tun Mahathir tadi.

Persepsi penolakan terhadap UMNO/BN atas faktor bahawa parti lawan dan calon lawan bukanlah yang terbaik tetapi parti dan calon UMNO/BN adalah lebih tidak baik amatlah perlu dipandang serius. `The opponent is worse but UMNO/BN is the worst’.

Dalam pada kita mempertikai dan memperkatakan bahawa pakatan pembangkang semakin longgar, janganlah lupa bahawa ikatan di dalam BN juga pada hakikatnya sudah ada ruang-ruang kosong. Kekalahan UMNO di Kuala Terengganu sebenarnya pada saya bukan sahaja akan dipergunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak lawan sebagai modal politik mereka dalam menunjukkan bahawa mereka semakin kuat. Tetapi kekalahan itu juga bakal dipergunakan oleh rakan komponen UMNO di dalam BN. Bukan mahu memanaskan hubungan dalam BN tetapi jika UMNO `dipersalahkan’ atas kekalahan dibanyak kerusi dan kehilangan kuasa dibeberapa negeri dalam PRU12 yang lalu. Maka, kekalahan di KT akan dianggap sebagai peng-iya kata-kata/tuduhan/persepsi tersebut.

Saya tidak akan terkejut jika akan ada lagi desakan dan permintaan oleh rakan UMNO di dalam BN supaya dasar dan asas UMNO itu perlu diubah dan sebagainya. Apakah UMNO akan berada di dalam dilemma? Atau buku tulisan Malay Dilemma tulisan Tun Mahathir perlu dibaca semula? Oleh sebab itu, bagi saya Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan kepimpinannya pada bulan Mac nanti akan menentukan hala tuju dan gambaran kekuatan UMNO itu kelak terutamanya dalam mendepani PRU13 akan datang. Jika UMNO tidak kuat maka BN juga tidak akan kuat. Parti komponen BN juga sebenarnya secara tidak langsung bergantung kepada kekuatan UMNO untuk dapat duduk ditampuk kuasa kerajaan. Namun hakikatnya, dimana ada gula lazimnya disitu ada semutnya. Maka, bukanlah pelik jika UMNO lemah dan kalah maka akan ada lagi parti komponen yang berhasrat untuk berpaling tadah atau meletakkan pra-syarat untuk kekal dalam BN.

UMNO lemah dan tidak kuat apabila ahli dan pemimpinnya juga lemah dan tidak kuat. Jika ahli UMNO memilih pemimpin yang mempunyai rekod buruk samada dalam soal politik, ekonomi malah moral maka ahli UMNO jugalah yang memilih supaya UMNO dihikayatkan sebagai satu sejarah! Rakyat sebenarnya sudah jelak dengan segelintir pemimpin UMNO yang terpalit dengan pelbagai skandal dan isu moral tetapi masih berada di tampuk kuasa. Sebab itu, rakyat khususnya anak muda sebenarnya menghantar mesej bahawa UMNO akan ditolak jika mempunyai barisan pemimpin yang ada rekod buruk sebelum ini terutamanya moral. Maaf! Anda tahu siapa pemimpin dalam UMNO yang mempunyai kes-kes moral dan rasuah. Selagi mereka ini ada dan menjadi pemimpin dalam UMNO, rakyat dan anak muda tidak akan mengundi UMNO/BN walaupun parti lawan pun sebenarnya bukanlah bagus sangat!

Terlepas daripada hukuman mahkamah dunia samada kurang bukti atau mempunyai peguambela yang hebat sepatutnya bukanlah tiket untuk kembali ke arena politik dan menjawat jawatan tinggi dalam politik atau kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Akan ada yang berkata, amalan demokrasi membenarkannya. Malah prinsip keadilan di mahkamah juga menjadi tanda aras bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak didapati bersalah / dijatuhkan hukuman bersalah. Benar, kita tidak boleh menjatuhkan hukum sesuka hati. Setiap insan dan rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan. Tetapi dalam politik, persepsi memainkan peranan yang amat besar. Apakah persepsi anda jika seseorang pemimpin itu (Melayu dan Islam) didakwa dan diketahui oleh ramai orang bahawa dia adalah peminum arak dan suka meraba punggung wanita!!? Atau apa pula persepsi anda jika pemimpin itu pernah dikaitkan dengan isu membawa wang tunai yang banyak ke luar negara!!? Jika ahli UMNO menganggapnya perkara biasa, rakyat dan pengundi muda di era millineum ini tidak menganggapnya perkara biasa! UMNO akan dianggap `kotor’ selagi mempunyai kepimpinan seperti ini.

Pemimpin UMNO yang `bermasalah’ dan mengambil keputusan untuk `bersara’ dari politik sebenarnya telah juga mengurangkan banyak bebanan kepada UMNO. Tetapi mereka yang `bermasalah’ dan masih aktif dalam UMNO adalah merupakan beban yang amat berat kepada UMNO. Siapa pula pemimpin yang mahu mengaku bahawa beliau adalah beban kepada UMNO? Yang ada pun, mereka yang mengaku dialah pejuang UMNO yang setia, yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Lucu juga mendengar bila merekalah yang pukul canang mahu menjadi pemimpin besar!

Untuk berkuasa, UMNO bukan setakat memerlukan ahlinya untuk mengundi tetapi juga rakyat yang dilabel sebagai pengundi atas pagar, pengundi muda malah perlu `mencuri’ pengundi dikalangan ahli parti lawan. Tiada siapa boleh menafikan kalau ada ahli UMNO yang mengundi calon parti lawan kerana `benci’ calon dan pemimpin UMNO! Untuk menjadi yang terbaik dihati rakyat dan pengundi, UMNO janganlah samakan dengan situasi pemimpin dengan DVD panas atau pemimpin yang suka main belakang itu! Mereka mungkin spesies `istimewa’ dalam kelas dan kelompok kepartian mereka. Kalau kita canangkan pemimpin mereka suka main belakang (yang memang haram) tetapi mereka pula canangkan pemimpin UMNO suka main depan (yang haram)! Sebenarnya kedua-dua spesies pemimpin ini pun tidak sepatutnya dipilih menjadi pemimpin negara!

Memang bukan mudah untuk UMNO kembali bertakhta dihati rakyat. Malah ahli UMNO pun ada yang talam dua muka! Lebih baiklah ahli UMNO yang kritis dan lepas cakap tetapi tetap mengundi dacing. `Pembersihan’ pemimpin yang dianggap `kotor’ oleh rakyat dan pengundi terletak ditangan ahli UMNO. Jika pemimpin `kotor’ itu, dipilih oleh ahli UMNO pada bulan Mac nanti maka tidak mustahil impak PRK KT tempohari akan ditunjukkan pada PRU13 kelak! Percayalah, pengundi muda semakin bertambah jumlahnya dan semakin kritis dalam pemikiran. Mereka percaya bahawa sejarah UMNO yang berbakti untuk kemajuan negara selama ini hanyalah satu sejarah tetapi untuk mencipta sejarah baru mereka akan menolak UMNO kerana pemimpin yang `kotor’. Jika `pembersihan’ pemimpin yang `kotor’ oleh ahli UMNO berjaya dilakukan dengan penuh bermaruah, pihak lawan akan lebih terdesak sebab pemimpin mereka pun ramai yang `kotor’ dan mereka tahu pengundi akan menunjukkan jalan keluar kepada parti mereka jika pemimpin mereka yang `kotor’ tidak mahu keluar.

WT- Nasib baik pemimpin yang ada hutang judi di luarnegara tewas dalam perebutan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO tempohari. Kalaulah dia menang, entahlah apa akan jadi?


Salam Transformasi….

No comments: