Oleh Warisan Tamar
5 Sept 2008, Jumaat
5 Sept 2008, Jumaat
HARI ini sudah masuk hari kelima Ramadan dimana semua muslimin muslimat terutamanya di Malaysia menunaikan ibadah puasa. Bulan penuh barakah ini amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam seantero dunia. Hujan hampir di setiap hari sejak hari mula Ramadan cukup menyejukkan dan menyamankan diri. Namun bahang politik tanahair tidak terkesan langsung dengan faktor cuaca tersebut...malah hangat dan terus hangat!
Kita telah selesai meraikan Hari Kebangsaan ke 51 pada 31 Ogos yang lalu iaitu sehari sebelum bermulanya Ramadan. Suasana ceria dan disambut dengan bangga oleh rakyat Malaysia walaupun difahamkan bajet untuk acara sambutan tahun 2008 adalah berkurangan. Ternyata bajet rendah bukanlah masalah besar untuk rakyat Malaysia terus mengingati dan meraikan hari kemerdekaan kita sejak 51 tahun dulu.
Bajet 2009 yang dibentangkan baru-baru ini, dilihat sebagai bajet prihatin kerajaan terhadap permasalahan rakyat walaupun seperti biasa puak pembangkang a.k.a Pakatan Rakyat tidak langsung bersetuju dengan apa yang dibentangkan. PR melalui Datuk Seri Anwar telah mengemukakan bajet `ciptaan’ sendiri PR dan akan membentangkannya apabila mengambil alih tampuk pemerintahan negara yang diuar-uarkan pada 16 Sept ini. Inilah sukarnya apabila menjadi pembangkang bermakna apa saja yang baik yang dicadangkan kerajaan tidak akan diterima hanya kerana kononnya memainkan peranan sebagai pembangkang.
Kita juga telah selesai menyaksikan bagaimana DS Anwar kembali ke Dewan Rakyat sekaligus menjadi Ketua Pembangkang. Beliau menang dengan majoriti cukup selesa di Permatang Pauh. Di pihak Pakatan Rakyat, kemenangan tersebut adalah satu kewajipan besar terutama untuk `menutup dan menjawab’ segala macam isu dan persoalan yang timbul seperti isu bersumpah laknat, isu tanah, isu rasuah EXCO di Perak dan paling utama sebagai `gula-gula keyakinan’ untuk penyokong mereka bahawa DS Anwar akan menjadi Perdana Menteri ke 6 Malaysia pada 16 September kelak!
Di pihak Barisan Nasional pula, kekalahan itu tidak menjejaskan jumlah kerusi Parlimen BN malah banyak pihak `awal-awal lagi yakin’ BN akan tewas di Permatang Pauh. Cuma lagi, kekalahan besar yang dialami amat memerlukan jawapan ampuh pucuk pimpinan parti terutama kepada penyokong BN di seluruh Malaysia. Kata Pak Lah, kekalahan di Permatang Pauh tidak boleh dinilai sama dengan tahap sokongan BN di kawasan Parlimen yang lain. Maksudnya, BN masih kuat di semua kawasan Parlimen kecuali di Permatang Pauh. Tapi benarkah demikian?
Pada 24 Ogos yang lalu maka secara rasminya selesailah mesyuarat dan pemilihan peringkat cawangan UMNO di seluruh negara. Pelbagai cerita kurang enak telah dipertontonkan kepada seluruh warga Malaysia. Paling panas ialah isu rasuah atau politik wang a.k.a rasuah politik dalam perebutan mendapatkan pencalonan daripada cawangan UMNO. Malah sudah ada yang ditangkap dan didakwa di mahkamah oleh BPR disebabkan perbuatan tidak beretika dan tidak bermaruah tersebut. Ada ahli UMNO berkata, secara tidak langsung UMNO telah diheret ke mahkamah oleh kerakusan ahli-ahlinya. Beberapa pemimpin UMNO seperti Datuk Mazlan Harun juga bertindak lebih berani dengan membuat laporan kepada BPR terhadap Pak Lah selaku Presiden UMNO kerana mendakwa Presiden telah bertindak `membeli’ undi untuk mempertahankan jawatan Presiden.
Tidak cukup dengan isu rasuah, beberapa isu lain seperti pergaduhan dan tentangan terhadap pemimpin atasan UMNO di peringkat cawangan juga mewarnai mesyuarat dan pemilihan UMNO kali ini. Dalam politik, segalanya berkemungkinan! Beberapa pemimpin UMNO juga sudah mula mengumumkan secara rasmi hasrat untuk bertanding walaupun kebanyakannya sudah dijangka. Terkini, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sudah mengumumkan secara rasmi hasrat bertanding Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Selain suasana panas pemilihan UMNO 2008, UMNO juga berhadapan dengan isu lain seperti isu kenyataan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang dikatakan telah menguris hati masyarakat Cina. Maka berbondong-bondonglah pemimpin masyarakat Cina dari MCA dan DAP membuat laporan polis. Setakat ini, Datuk Seri Najib telah memohon maaf secara terbuka bagi pihak UMNO dan menjelaskan bahawa ianya bukanlah kenyataan UMNO tetapi kenyataan peribadi Ketua Umno berkenaan. Ia adalah satu langkah merendah diri walaupun dianggap segelintir pihak sebagai langkah negatif oleh seorang pemimpin no. 2 UMNO.
UMNO juga menghadapi `tekanan’ samada secara langsung maupun tidak oleh rakan-rakan komponen BN sendiri. MCA dan GERAKAN sudah beberapa kali samada secara kiasan mahupun terang-terangan meminta perjuangan atas nama ketuanan Melayu oleh UMNO digugurkan dan seumpama mengancam jika tiada perubahan diambil oleh UMNO maka tindakan untuk keluar dari BN mungkin akan diambil. Saya melihat scenario ini berlaku bilamana UMNO itu lemah maka UMNO akan `diarah’ supaya menunaikan dan melakukan pelbagai perkara yang tidak pun dibangkitkan semasa UMNO itu kuat. MCA nampaknya bersungguh-sungguh mahu meraih semula kepercayaan masyarakat Cina terhadap mereka. Justeru, para pemimpin mereka yang juga akan menjalani proses pemilihan parti seakan berlumba-lumba untuk menjuarai dalam menunjukkan ketegasan dan keupayaan masing-masing untuk mendokong dan memperjuangkan nasib masyarakat Cina terutamanya ahli-ahli parti mereka hatta `membelakangi’ BN sekalipun. GERAKAN pula dilihat semakin lemah terutama dengan tindakan keluar parti segelintir pemimpin mereka dan menyertai PR. Sudah ada suara-suara dalam GERAKAN yang mahukan kedudukan parti itu di dalam BN dinilai semula. Ada mengatakan GERAKAN sudah `lari’ dari objektif penubuhan parti itu dimana sentiasa mendepani segala masalah rakyat tidak kira fahaman agama dan bangsa. Benar diawal penubuhannya komposisi pemimpin dan ahlinya terdiri dari orang Melayu, Cina dan India tapi kini hampir 80% adalah orang Cina dan kurang dari 5% terdiri daripada orang Melayu. Adakah GERAKAN akan menongkah arus dengan bertindak keluar BN dan menyertai PR atau akan `menguburkan diri’ dalam arus politik tanahair?
Kembali kepada cerita pemilihan UMNO, pada 9 Oktober nanti akan bermulalah mesyuarat dan pemilihan UMNO peringkat Bahagian. Di peringkat ini, suasana pemilihan akan menjadi lebih panas dan sensasi. Bagi yang sudah mengesahkan diri iaitu menang tanpa bertanding maka tekanan tidaklah dirasakan tetapi tidak bagi mereka yang mempunyai lawan masing-masing. Di peringkat ini juga kita akan menyaksikan adakah laungan untuk melakukan transformasi terhadap kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian mahupun Pusat akan menjadi kenyataan? Secara peribadi, saya berharap suatu transformasi akan berlaku dalam komposisi kepimpinan UMNO. Bukan menafikan keupayaan pemimpin sedia ada tetapi kemunculan nafas baru dan lebih bertenaga amat diperlukan terutamanya dalam menghadapi arus deras politik tanahair. Saya tidak mengatakan semua pemimpin harus digantikan baru tetapi alangkah baiknya jika transformasi kepimpinan UMNO kelak akan menggabungkan tenaga baru dan lama secara saksama supaya UMNO terus relevan dan tidak ketandusan pemimpin untuk masa depan.
Saya cukup yakin ahli UMNO akan lebih kuat untuk menghadapi suasana politik negara ketika ini jika arus transformasi dilaksanakan secara berhemah yakni tanpa unsur rasuah dalam pemilihan. Yang penting apabila selesai sahaja pemilihan kelak, pemimpin yang menang haruslah berusaha dengan lebih keras agar perpaduan parti dikembalikan dan dikukuhkan. Pemimpin yang dipilih kelak sudah pasti akan menerajui barisan hadapan parti dalam menangani dan menepis segala dakyah pihak lawan sekaligus memastikan kemenangan mutlak UMNO dan BN pada PRU13 nanti.
Hanya apabila UMNO itu kuat maka BN akan turut kuat dan tekanan kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera akan dapat diseimbangkan dengan suhu politik semasa. Usaha membela nasib rakyat juga akan dapat dilaksanakan dengan lebih cemerlang. Justeru itu, semoga Ramadan ini akan membuka pintu hati para pemimpin UMNO dan ahlinya agar bermuhasabah diri dan berusaha meninggalkan segala cacat cela tindakan yang telah membuatkan rakyat menjauhkan diri daripada UMNO dan BN. Janganlah Ramadan ini dijadikan gelanggang untuk menganjurkan majlis berbuka puasa kerana meraikan perwakilan supaya mengundi diri masing-masing. Kalaupun ada majlis berbuka puasa, lakukan secara ikhlas untuk mencari keberkatanNya.
Lebih kurang 10 hari lagi maka kononnya kerajaan Malaysia yang diterajui oleh BN akan tumbang bilamana ahli-ahli Parlimennya `melompat’ ke PR. DS Anwar begitu galak untuk menjadi Perdana Menteri walaupun untung nasibnya dalam kes liwat kedua beliau belum diketahui kesudahannya. Mungkinkah dengan menjawat jawatan Perdana Menteri kelak kiranya diizinkan Allah s.w.t maka kes itu boleh ditentukan keputusannya oleh beliau? Berbalik kepada isu 16 Sept nanti DS Anwar kelihatan agak terdesak untuk memastikan ianya menjadi kenyataan atas sebab yang pelbagai. Beliau benar-benar yakin bahawa perubahan tampuk pemerintahan negara itu sudah tertulis takdirnya. Dalam politik, saya percaya segalanya berkemungkinan. Saya juga percaya keyakinan DS Anwar dengan `cita-citanya’ hendaklah dipandang serius oleh pemimpin UMNO/BN. Meskipun pelbagai pendedahan dan `akujanji’ samada bertulis mahupun lisan diberikan oleh ahli Parlimen BN bahawa mereka akan terus setia bersama BN tetapi adakah mata manusia tidak mudah dikelabukan dengan nilai matawang jutaan ringgit sekiranya ditawarkan. Jika itu berlaku, seperti kata Tun Mahathir negara akan hancur jika pembangkang memerintah negara.
Seorang sahabat saya yang tidak menyertai mana-mana parti tetapi pro kepada PR hanya kerana kecewa dengan layanan pemerintahan kerajaan BN dan mendakwa tidak pernah menerima apa-apa bantuan dari kerajaan BN. Apa yang diberikan oleh kerajaan BN selama ini dianggap adalah satu tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan. Kata beliau lagi, cuba kita berikan mereka (PR) sekali peluang untuk memerintah mungkin katanya segalanya akan lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan BN. Saya menyangkal segala pendapat beliau. Adakah beliau sanggup juga memperjudikan nasib anak isteri beliau? Saya percaya ramai anak muda yang berfikiran seperti sahabat saya ini. Kecewa dengan pemerintahan BN dan terlalu terbuka untuk menerima `gula-gula’ pembangkang. UMNO dan BN harus lebih aktif dan berusaha segigihnya untuk menerangkan serta menarik golongan muda seperti ini agar tidak sesekali memperjudikan nasib diri dan keluarga hanya kerana marahkan `kecuaian’ segelintir pemimpin kerajaan BN sedia ada. Saya percaya masih ada sinar untuk UMNO dan BN jika benar-benar mahu `memulihkan’ sokongan terutamanya oleh golongan muda atau golongan atas pagar.
Oleh itu, langkah awalnya adalah bermula dengan melakukan transformasi terhadap parti (UMNO) melalui mesyuarat dan pemilihan tahun ini. Sekiranya peluang ini dipersiakan oleh pemimpin dan ahli UMNO maka mungkin pemimpin dan ahli UMNO seluruh negara perlu membiasakan diri menjadi pembangkang dan membiasakan diri mengadakan ceramah umum di padang-padang bola dan di tapak-tapak kosong. Pilihan ditangan ahli-ahli UMNO. Tersalah pilih, pasti akan membawa padah jangka panjang kepada UMNO/BN malah kepada agama dan bangsa serta negara.
SALAM TRANSFORMASI!
No comments:
Post a Comment