Monday, September 15, 2008

HENTIKAN BERDEBAT SOAL POLITIK


15 September 2008
Isnin



WT- Satu saranan yang harus dipandang serius oleh semua ahli UMNO dimana jua anda berada...

Sungai Petani -- Semua pihak disaran menghentikan perdebatan mengenai hal-hal politik dengan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan agenda yang lebih penting baik di peringkat kementerian atau pun parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan berkenaan tidak membawa sebarang faedah malah boleh menjejaskan pelaksanaan agenda yang lebih penting untuk kepentingan semua pihak.

Menurut beliau sekiranya isu politik menjadi keutamaan dan setiap masa dibelenggu dengan perkara-perkara politik peribadi, individu, atau puak-puak tertentu akhirnya agenda lebih besar tidak selesai.

''Sekarang banyak masa terbuang kerana kita memikirkan politik, peralihan kuasa dan seumpamanya. Walhal banyak kerja yang perlu dilakukan sama ada di peringkat kementerian atau parti sendiri.

”Kita juga merasakan sudah 'keterlaluan' bagi kebanyakan pihak yang mahu mementingkan isu politik daripada tugas hakiki.

"Pilihan raya pun sudah berlalu enam bulan dan kita masih bincang secara terus-menerus, sampai bila masa kita nak buat kerja?," soalnya.

Hishammuddin berkata demikian pada majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim anjuran Pertubuhan Belia Nur Kasih dan Pergerakan Puteri UMNO Kedah di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd. Rawi Abd. Hamid dan Ketua Puteri UMNO Kedah, Shahanim Mohd. Yusof.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) menasihatkan semua pihak agar tidak terikut-ikut dengan rentak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mahu mengubah kerajaan dalam tempoh terdekat.

Tegasnya, orang ramai tidak perlu terpengaruh dengan dakyah Anwar yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak dapat mengotakannya.

"Kenapa hendak menari ikut rentak Anwar?. Dulu kata nak tukar kerajaan sebelum Parlimen bersidang.

"Sekarang 16 September pula dan nampak tak menjadi sehingga terpaksa dianjak-anjak. Ramalan demi ramalan dibuat tapi tidak menjadi kenyataan.

''Bila jadi begini, usahlah kita percaya dengan kredibiliti orang seperti itu," katanya

No comments: