Monday, May 24, 2010

Belasungkawa Allahyarham Taip Putra (1945-1989)



Warisan Tamar
25 Mei 2010 / 11 Jamadil Akhir 1431H

Hari ini genap 21 tahun berlalu, dia yang bernama ayah dan bapa kepada saya dan tiga beradik saya (Haja Rujimah, Abd Adnan dan Asmah) pergi meninggalkan kami di bumi yang fana ini. Menyingkap kembali detik 21 tahun lampau bukanlah sesuatu yang saya inginkan namun ia sentiasa terpahat di dalam sanubari jiwa saya. Bukan lagi untuk bersedih. Ia untuk saya sentiasa mengukuhkan dan memperteguhkan semangat menghadapi perjalanan hidup.

Allahyarham sudah pasti kekal di dalam jiwa saya dan tiga beradik yang lain serta Bonda Mariam yang kami sayangi. Allahyarham telah meninggalkan kami dengan mengajar kami bahawa kemiskinan di dalam hidup hanya akan diatasi jika kita mempunyai ilmu pengetahuan. Selagi kita gagal menjadi insan berilmu, maka kita akan terus berada didalam kedaifan hidup dan menghampiri kekufuran. Allahyarham amat mementingkan ilmu dan pelajaran untuk anak-anaknya. Kini, walaupun Allahyarham telah pergi menemui Ilahi...anak-anakmu sudah menunaikan sebahagian dari impianmu. Mudah-mudahan kami terus diberi kekuatan Ilahi untuk terus mencipta kejayaan.

Hidup ini tidaklah mudah. Saya sentiasa mengingati pesan Allahyarham bahawa kita hidup untuk berjaya. Kejayaan akan menghapuskan segala kedukaan. Saya berusaha keras kearah itu meskipun cabaran dugaan hidup terlalu banyak likunya. Kadangkala kita tidak pasti dari mana datangnya halangan dan dugaan. Hanya pada-Mu (Allah) saya berserah....

Semoga roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Alfatihah.

No comments: