Saturday, May 15, 2010

Melangkaui Kebiasaan...

Warisan Tamar
16 Mei 2010, Ahad


Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di Malaysia. Ucapan ikhlas ini sebagai tanpa penghargaan saya kepada semua guru. Tanpa insan bernama cikgu mungkin kita tidak mengenal huruf dan angka seperti hari ini. Mungkin ada yang belajar tanpa `khidmat’ insan bernama guru, namun pada saya itu adalah kes terpencil jika ada sekalipun. Semoga semua guru terus ikhlas berkhidmat tanpa jemu mendidik anak Malaysia untuk masa depan yang lebih gemilang. Kepada guru-guru yang culas dengan tanggungjawab mereka, sedarlah….bahawa anda adalah insan amat mulia jika melaksanakan tugas dengan sejujur dan sebaiknya.

Disamping itu juga saya ingin menyentuh tentang bermacam polemik dan isu berkaitan pihak PDRM kebelakangan ini. Sebagaimana saya menyanjung insan bernama guru, saya juga menghormati insan bernama polis. Kita seringkali lupa bagaimana mereka menjalankan tugas siang dan malam. Justeru, apabila pelbagai pihak mengasak pihak polis pada ketika pihak polis melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian, saya mula terfikir bahawa memang benar ramai diantara kita hanya mengambilkira satu kesalahan berbanding seribu kebaikan yang dilakukan seseorang. Mengapa kita tidak `membiarkan’ kes berkaitan `kesalahan dan kesilapan’ pihak polis kepada perundangan yang kita junjung. Ramainya cuba bertindak sebagai `hakim’ dan `mengarahkan’ itu dan ini. Termasuklah meminta pihak polis meminta maaf…..Pernahkah kita `mengasihani’ keluarga anggota polis yang ditimpa malang semasa bertugas malah juga ada yang menemui ajal?

Saya tidak mengatakan guru dan polis adalah insan yang `maha istimewa’ lantas `maksum’ dari segala `salah dan silap’. Realitinya mereka adalah manusia biasa, ada hati dan perasaan. Daripada ratusan ribu guru dan polis, mana mungkin tidak ada `spesis’ guru dan polis yang `gagal’ sebagai guru dan polis yang sebenarnya! Pada saya, usahlah kita `menghukum’ profesion yang sangat berjasa dan berguna kepada pendidikan dan keselamatan kita selama ini hanya kerana `satu dua orang’ yang melakukan silap dan salah…..

Baru-baru ini dipaparkan isu berkenaan tugas guru yang sangat banyak dan agak membebankan…antaranya beban tugas hakiki mengajar dan melaksanakan tugas-tugas pentadbiran. Ada yang bimbang profesion perguruan ini akan menimbulkan masalah guru yang memiliki level of tension/stress yang tinggi. Baru-baru ini juga saya dimaklumkan oleh perunding kesihatan di sebuah hospital swasta terkemuka bahawa apabila dilakukan pemeriksaan kesihatan terhadap majority guru-guru didapati ramai yang mempunyai tahap kolestrol yang tinggi, tekanan darah tinggi dan mempunyai pelbagai symptom penyakit yang membimbangkan. Walhal kata beliau lagi, guru-guru ini menganggap mereka berada dalam keadaan `sihat’. Saya akui beban kerja seorang guru amatlah besar. Demikian juga saya percaya beban kerja dan tanggungjawab seorang polis juga semakin berat di era millineum ini. Ibubapa inginkan pencapaian anak-anak dalam pelajaran yang terbaik begitu juga kita inginkan persekitaran yang selamat untuk dinikmati.

Saya suka menyarankan walaupun ia sangat subjektif dan berbeza persekitarannya supaya Kementerian Pelajaran Malaysia mencontohi atau menghalusi langkah yang diambil oleh pihak polis. Apabila ramai mempersoalkan keadaan keselamatan bilamana banyaknya kejadian jenayah dimerata tempat, sudah pasti masalah kekurangan keanggotaan untuk melakukan tugas rondaan dan pencegahan timbul. Langkah yang diambil oleh pihak PDRM, dan saya sangat bersetuju adalah `mengerahkan’ seluruh anggotanya yang sebelum ini bertugas waktu pejabat dan di dalam pejabat untuk `turun padang’. Apa gunanya kerajaan menggunakan berbillion wang rakyat untuk melatih polis mahupun guru, jika akhirnya ada polis yang tidak tahu bagaimana menulis laporan polis atau apabila ada guru yang tidak tahu mengajar! Apalah kiranya jika kerja-kerja pentadbiran sekolah mahupun pejabat diserahkan kepada kakitangan awam yang lain yang lebih spesifik. Biarlah guru diberikan sepenuh masa melaksanakan tugasnya untuk mengajar dan mendidik anak bangsa…..

Ada seorang mat dispatch bertanya `kenapa tidak ada Hari Penghantar Surat @ Mat Despatch?’ Apa kami tidak pentingkah? Kalau kami tak hantar surat/dokumen…amacam? Saya kata kan ada Hari Pekerja. Tapi tak mengapa, kita ada 365 hari setahun…masih banyak hari lagi yang belum `diisytiharkan’…jadi pilihlah tarikh mana yang sesuai untuk dijadikan hari untuk mengingati kerjaya anda, kasih anda atau apa saja….

Yang maha penting, kita yakin dan percaya kita mampu melangkaui kebiasaan yang kita lakukan selama ini. Bukan mudah tapi tiada yang mustahil…melainkan kita terus berlapikkan pelbagai alasan!

1 comment:

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) said...

Kepada semua guru.."SELAMAT HARI GURU".

Sehingga kini saya hormat kepada guru-guru yang pernah mengajar saya di KE VII, Taiping.

...TO SIR...WITH LOVE