Saturday, May 29, 2010

Singapura Subsidi Samy Si-Pari-pari...

Warisan Tamar
29 Mei 2010, Sabtu

Ada tiga perkara yang menarik perhatian saya dalam tempoh seminggu yang lalu. Dalam ketiga-tiga perkara yang menjadi isu yang agak `besar' ini juga telah menggamit pelbagai reaksi. Sudah tentu reaksinya berbeza-beza. Seperti lazimnya, pihak pro kerajaan dan pro pembangkang tidak senada dalam memperkatakan isu singapura dan subsidi. Demikian pula dengan isu samy vellu yang semakin dihimpit dengan tekanan penurunan `nilai / value' sebagai pemimpin utama kaum India.

SINGAPURA
Singapura, sejarahnya adalah bersama Malaysia. Agak panjang cerita sejarah disebalik apa yang sudah berlaku sekarang yakni antara Malaysia dan Singapura. Sejak 1965, banyak pertikaian dari bermacam aspek antara Malaysia dan Singapura. Dari isu air, tanah KTMB dan kedaulatan sehinggalah isu-isu sekunder yang lain terus `menghantui' kedua-dua negara.

Baru-baru ini, DS Najib (DSN) dan Lee Hsien Loong (LHL) sudah sepakat untuk `meleraikan' segala kekusutan yang memakan tempoh masa yang cukup lama - pada saya bukan sejak 20 tahun dulu tapi sejak tahun 1965 lagi! Namun ada pelbagai persoalan dan kemusykilan dikalangan ramai pihak. Yang pasti ramai tertanya-tanya adakah Malaysia dipihak yang rugi meskipun DSN dan LHL sudah `mengesahkan' kesepakatan mereka adalah atas dasar menang-menang. Saya yakin rakyat tidak mahu Malaysia `tertipu' atau `terpedaya' sepertimana berakhirnya alkisah Pedra Branca.

Pembangkang sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk memanipulasi isu yang sedang bermain difikiran rakyat. Anwar sendiri sudah menyuarakan bahawa tindakan kerajaan itu akan menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negara. Kalau Anwar bersuara mana ada yang orang lain betul, hanya dia yang betul dan maksum. Cuma dalam kes liwat, Anwar hampir `check mate'. Hanya masa menentukannya! Pendapat YB Datuk Shahrir Samad mungkin harus dibaca. Demikian juga pendapat-pendapat lain. Kita tidak seharusnya `taksub' kepada pemikiran pembangkang bahawa asalkan sesuatu perkara itu dibangkang maka tindakan kerajaan langsung tidak boleh dipertimbangkan dan diterima.

SUBSIDI
Alkisah subsidi juga merupakan satu perkara yang sensitif dan amat menarik perhatian rakyat. Realitinya kita sudah lama hidup dialaskan dengan `tilam empuk' subsidi. Mana mungkin semudah itu kita bersedia menerima hakikat tilam empuk itu ditarik balik....kita akan memberi 1001 alasan agar tilam empuk itu kekal menjadi alas tidur lena kita. Subsidi bernilai lebih RM74 billion pada tahun lepas telah digunakan dan ia akan meningkat dari setahun ke setahun.

Secara peribadi, saya tidak dapat menafikan dan menolak bahawa kita perlu belajar berjinak-jinak hidup tanpa atau kurang subsidi. Saya sedar `majoriti' tidak bersetuju. Seperti kata saya tadi, kita sudah lama tidur beralaskan tilam empuk. Saya faham dan memahami kalaupun ada yang tidak bersetuju dengan saya dan istilah `tilam empuk'. Langkah kerajaan untuk `perlahan-lahan' menarik `tilam empuk' ini memang satu tindakan `paling tidak popular' dari segi politiknya. Pihak pembangkang dan yang pro pembangkang akan memainkan sentimen dan memanaskan isu ini disetiap sudut ruang ceramah mereka.

Tindakan ini memang memerlukan keberanian politik. Ia bukan mudah tetapi kita biasa mendengar bahawa `ia umpama ubat pahit yang perlu ditelan'. Masih ingatkah kita dengan polemik tambatan nilai matawang pada nilai RM3.80 /1USD oleh Dr Mahathir. Ramai meraguinya pada ketika itu. Apa sekalipun pendapat terutamanya yang membantai dasar tersebut, ternyata ia adalah `ubat pahit yang perlu ditelan'. Yang hebat mengkritik juga mendapat manfaat dari `formula' tidak popular Dr Mahathir itu. Bukan mudah membuat sesuatu keputusan!

SAMY SI-PARI-PARI
Era kepimpinan diktator di muka bumi ini semakin lenyap. Ramai pemimpin yang mengamalkannya jatuh secara terhina. Secara mudah, cara pentadbiran diktator adalah menggunakan akal dan kuasa satu kepala sahaja! Di Malaysia, manusia bernama Samy jikapun bukan diktator secara rasminya mungkin `menghampiri' isi makna seorang diktator itu sendiri.

Segalanya kerana kuasa politik. Saya kurang setuju amalan menggunakan kuasa politik sewenang-wenangnya. Jika berpolitik tanpa kuasa pun tidak kena juga tapi eloklah kena pada tempatnya! Tindakan anak kesayangan ex-YB Samy mempertahankan beliau bersesuaianlah. Inilah masanya mempertahankan kuasa yang ada sekaligus mempertahankan bapa sendiri. Kata Vell Pari, dulu Mukhriz pun mempertahankan Dr Mahathir juga semasa Dr Mahathir dihentam kiri kanan. Jadi Vell Pari pun mempertahankan ex-YB Samy sebab anak lebih tahu susah senang bapa. Tidaklah menghairankan kalau ex-YB Samy berkata `Vell Pari adalah seekor anak yang bagitu taat dan setia kepada bapanya'. Suka hati kamulah Vell Pari...tapi Vell Pari memang biadap. Selang beberapa hari kemudian, Vell Pari a/k Samy Velu tampil semula dengan muka ikan sadin meminta maaf atas keceluparan dan kebiadapan beliau menuduh UMNO dalang dalam gerakan menjatuhkan bapanya. Ini betul-betul filem Tamil.

Pelakon tambahan T.Mohan, apa cerita? Letak jawatan dan keluar dari BN, kata berani sangat. Tanpa MIC, mudahlah IPF diterima ke dalam BN. MIC bolehlah mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor yang `dibangga-banggakannya' walaupun selalu lupa undi orang-orang UMNO di Hulu Selangor.

Gerakan Anti Samy (GAS) bakal dilancar esok (30 Mei 2010) di Seri Kembangan. Ada baiknya ex-YB Samy dapat hadir melancarkannya sekali...skrip filem boleh tukar walaupun last minit, kalau tidak orang tidak kata ini filem Tamil...kena gilis dengan lori 10tan pun masih boleh bertarung. Filem Tamil memang hebat! Saya mencadangkan ex-YB Samy boleh menceburi bidang perfileman sebagai produser selepas `dipencenkan' dari jawatan Presiden MIC seumur semati.

AKHIR KALAM
Lupakan cerita ex-YB Samy yang semakin jatuh nilainya. BN seharusnya tidak perlu ambil kisah sangat dengan ugutan atau sandiwara MIC. IPF dah lama menanti dipintu masuk bilik mesyuarat BN!

Kerajaan sepatutnya menjelaskan dengan terperinci berkenaan tindakan yang diambil berhubung perkara-perkara dengan Singapura dan juga berkaitan penghapusan subsidi jangka panjang dan pengurangan subsidi jangka pendek. Semua komponen BN (tidak termasuk MIC)  juga hendaklah bertali arus menjelaskan kepada rakyat samada secara lisan mahupun bertulis bersama dengan fakta-fakta agar tindakan kerajaan dapat difahami dan diterima. Dalam hal ini, apa khabar Biro Penerangan parti-parti politik dibawah BN? Masih tidur atau malas bangun.

Jika tidak rakyat akan `mengadili' dikedai-kedai kopi, pantri-pantri pejabat dan lebih teruk, hukuman akan dijatuhkan melalui peti undi pilihanraya akan datang.

ps- Saya juga tertanya dan menantikan penerangan dengan fakta lisan dan bertulis kerajaan berkaitan isu dua blok minyak yang diserahkan kepada Brunei. Orang Sabah sudah makan hati ulam jantung! Jangan bicara tentang fix deposit...bimbang kita hilang deposit. Siapa ingin jawab (BN cakap kerajaan kena jawab, kerajaan negeri cakap Federal kena jawab...akhirnya tidak payah jawablah jawapannya!)

No comments: