Tuesday, January 5, 2010

2010 - MEMACU KEJAYAAN...



Warisan Tamar
05 Januari 2010

2009 telah kita tinggalkan dengan pelbagai kenangan dan peristiwa. Baik secara peribadi mahupun yang bersifat domestik serta universal. Kita mungkin masih mengingati bermacam peristiwa dalam arus politik, ekonomi, agama, sosial dan sebagainya di dalam negara kita. Saya tidaklah mahu mengulas satu persatu tetapi sekadar ditintakan sebagai kenangan dan peringatan khususnya untuk diri sendiri.

Kita dihidangkan dengan drama dan kisah politik dengan rentetan pilihanraya kecil samada disebabkan oleh keperluan sebenar perundangan mahupun angkara keperluan pihak tertentu bagi disesuaikan dengan kehendak perundangan. Dalam keghairahan pihak DAP++(PAS & PKR) meyakini setiap kemenangan dalam pilihanraya kecil berkenaan, BN (UMNO) menutup tahun 2009 dengan kejayaan cemerlang di PRK Bagan Pinang. Berdasarkan senario semasa, adalah dijangka 2010 juga akan dihidangkan dengan beberapa PRK samada di peringkat negeri mahupun Parlimen...dimana dan siapa yang akan memenanginya? Kita tunggu dan lihat acara politik 2010 ini.

Ekonomi negara masih tidak segagah sebelum merudumnya ekonomi dunia khususnya di Amerika Syarikat. Namun, dalam pada ramai pihak khususnya pihak yang amat gemar membangkang bersikap pesimistik terhadap kemampuan kerajaan terutamanya Menteri Kewangan a.k.a Perdana Menteri...DS Najib membuktikan bahawa menguruskan ekonomi negara memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang luas. Ekonomi negara bertahan dan bergerak sedikit demi sedikit keluar dari kepompong keresahan. Pada suku ketiga 2009, ada sinar cerah untuk ekonomi negara kembali gagah atau sekurang-kurangnya stabil dari gegaran kemelesetan. 2010 diharap dan dijangka ekonomi negara akan jauh lebih baik dari tahun 2009. Pertumbuhan ekonomi 2010 dirancang untuk dirangsang setinggi 5%. Bagi pihak DAP++ a.k.a pembangkang di Parlimen, kejayaan kerajaan dan DS Najib mengurus ekonomi dan memantapkan ekonomi negara adalah bala dan mala petaka kepada keupayaan politik mereka...Justeru, sudah tentu mereka akan lebih gembira jika Malaysia menjadi sebuah negara bankrap/muflis...Dengan kata kasarnya, jika rakyat susah dan tidak berpendapatan maka mudahlah merangsang rakyat untuk memberontak dan menolak kerajaan BN sepenuhnya samada melalui pilihanraya PRU13 atau sekurang-kurangnya dijadikan modal untuk meracau ditengah-tengah jalanraya serta pentas ceramah bawah pokok!

Sebagai rakyat, kita merasai beberapa tindakan tidak popular kerajaan. Pahit untuk diterima oleh semua pihak. Kenaikan harga barang tentunya amat membebankan. Penstrukturan harga minyak juga menarik perhatian. Paling sadis dan agak mengejutkan adalah kenaikan harga gula walaupun sekecil 20 sen setiap kilogram pada hari pertama 2010. Kakitangan kerajaan pula amat berharap tahun 2009, kerajaan akan memberikan bonus yang lebih baik daripada RM500. Namun realitinya, kerajaan tidak hipokrasi dalam hal-hal ini. Jika hal-hal sebegini tidak dipolitikkan, saya yakin rakyat boleh memahami dan menerima hakikat bahawa kita tidak mampu untuk mengharapkan apa juga harga mahupun keadaan hidup sepertimana orang-orang tua kita lalui puluhan tahun dahulu. Keadaan sudah berbeda dan kos hidup tidak serupa dengan zaman tanpa telefon bimbit!

2010 juga bakal menyaksikan sejauhmana Anuwar Ibrahim mampu untuk terus-terusan melakoni babak penangguhan perbicaraannya. 2009 ditinggalkan tanpa sebutan kes (mention) pun dimahkamah. Ini kerana Anuwar menggunakan segala ruang dan alasan untuk meminta itu dan ini dengan impian agar perbicaraan kes liwat beliau tidak dimulakan. Benar beliau layak dan berhak untuk minta itu dan ini. Bukankah beliau juga mendakwa beliau tidak bersalah...maka ada baiknya perbicaraan disegerakan. Kata orang `justice delayed justice denied'. Ayat spin yang lain yang lazim digunakan bukan sahaja oleh beliau malah pengikut/penyokong tegar beliau adalah meragui ketelusan mahkamah. Mahkamah di Malaysia tidak telus jika keputusan kes tidak menyebelahi mereka. Mahkamah hanya telus bila YB Mahfuz menang kes saman terhadap sebuah akhbar. Susahnya bila mereka yang belajar dan berguru tentang undang-undang menganggap merekalah manusia paling hebat dan tidak boleh disentuh oleh sebarangan undang-undang...Tapi rasanya mungkin bila mereka juga berpolitik maka ilmu perundangan mereka disesuaikan dengan kepercayaan politik mereka! Apapun, jika tiada aral melintang 25 Januari 2010...seperti dijangka pihak pendakwaan, perbicaraan liwat terhebat 2010 hanya akan mengambil masa lebih kurang 30 hari....Lawan Tetap Lawan!

Namun paling meruntun jiwa saya dan majoriti umat Islam di Malaysia (sebab ada yang setuju dan tidak kisah!) adalah keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan arahan Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri yang menghalang dan melarang penggunaan nama ALLAH oleh Majalah Herald Katolik. Semasa bersama KDN beberapa tahun lalu, saya memang mengetahui larangan tersebut malah pernah semeja dengan pimpinan Gereja Sabah yang mempersoalkan tindakan menahan buku-buku agama Kristian yang mempunyai perkataan ALLAH khususnya cetakan dari Indonesia. Sepertimana kata ramai rakan blogger, saya juga tidak menidakkan peranan beberapa individu pelaku politik termasuk yang beragama Islam yang mana mereka ini bagi saya umpama memberi tonik dan kekuatan kepada pihak yang mahukan nama ALLAH digunapakai sewenang-wenangnya oleh bukan Islam. Mereka ini kerap menganggap orang lain jahil dan akan menghuni neraka jahanam meskipun mereka sendiri tanpa ragu-ragu bersetuju bahawa nama ALLAH bukan ekslusif kepada umat Islam. Apalah ertinya berserban berlilit penuh satu badan kalau diri sendiri sebenarnya mempergunakan agama untuk kepentingan diri. Iman bukan diukur dari pakaian atau lagak agama kita!

Pada diri sendiri saya, mudah-mudahan 2010 adalah satu tahun dimana saya mempunyai kekuatan yang paling ampuh untuk memacu kejayaan! Saya akan mengusahakannya sebelum bertawakal kepada-Nya. Semoga kita semua dijauhkan dari perasaan hasad dengki. Sikap menyalahkan kejayaan orang lain sebagai punca kegagalan diri sendiri adalah sikap negatif dan lambang kedunguan. Kejayaan tidak datang bergolek!   Justeru, marilah kita memacu kejayaan 2010...

Akhir kalam untuk kali ini, selamat berjaya untuk semua. Semoga kita diberikan kekuatan untuk menghadapi apa jua cabaran yang mendatang. Kita manusia biasa...

SALAM TRANSFORMASI....

No comments: