Warisan Tamar
15 Disember 2009, Selasa
`Strategy without tactics is the slowest route to victory. Tactics without strategy is the noise before defeat.’ (Sun Tzu’s The Art of War)
MENCAPAI kejayaan adalah impian semua orang. Tiada siapa yang mahukan kekecewaan dan kekalahan. Semalam pasukan bolasepak Malaysia melakar tempat di perlawanan akhir Sukan SEA Laos 2009 setelah menewaskan dengan penuh gaya pasukan tuanrumah Laos dan akan menentang pasukan Vietnam pada aksi final 17 Disember 2009 ini. Kejayaan ini tidak datang bergolek. Pasukan bolasepak Malaysia sudah mangli dengan pelbagai kata negative susulan dari aksi yang langsung tidak memberangsangkan sebelumnya. Apabila kejayaan dicapai, nikmatnya amat melapangkan dada bukan sahaja pasukan bolasepak tersebut tetapi juga rakyat Malaysia termasuk mereka yang suka mengkritik negative selama ini. Lupakan sebentar cerita kejayaan skuad bolasepak negara kita…
Hampir 2 bulan tidak menulis di blog sendiri memang detik yang agak mengecewakan diri sendiri. Namun, demikianlah realitinya. Kita tidak mampu untuk memuaskan hati setiap masa. Kita juga tidak akan mampu menurut kata hati setiap masa. Kesabaran adalah kunci ketabahan untuk menghadapi apa jua rintangan. Dan yang amat penting adalah sentiasa mengingati-Nya.
Perjalanan menuju kejayaan bukan mudah. Lazimnya, kita melihat kejayaan seseorang tanpa mengetahui dan menyelami kepayahan yang dilalui oleh mereka yang berjaya. Seringkali juga kejayaan seseorang dilihat dari perspektif negative oleh orang lain sedangkan mereka sendiri tidak tahu atau buat tidak tahu bahawa kejayaan itu diperolehi setelah melalui pelbagai rintangan dan dugaan. Lantas usaha untuk meruntuhkan kejayaan seseorang cuba direncanakan. Tabiat buruk ini berlaku kerana kita tidak mempunyai positive esteem di dalam diri. Kita tidak mensyukuri nikmat Allah kepada kita sebelum ini.
Kita juga sering merasakan diri kita lebih pandai dan lebih berkelayakan daripada orang lain. Sehinggakan kita beranggapan orang lain tidak layak dan tidak mampu mencapai sesuatu kejayaan. Apabila seseorang itu berjaya, kita cuba menipu diri sendiri. Menipu diri dari mempercayai bahawa seseorang itu berkemampuan dan layak berada ditempatnya.
Barangkali lebih baik kita bermuhasabah diri daripada bertali arus berpandangan negative dan berusaha merencanakan kejatuhan orang lain. Kita harus menerima hakikat bahawa hidup umpama roda. Kita tidak selamanya sihat walafiat. Sama juga kita tidak selamanya menguasai sesuatu bidang perniagaan. Persaingan merupakan putaran roda. Dengan adanya persaingan maka perubahan seringkali berlaku walaupun tidak memuaskan hati kita! Justeru, semasa kita berada di atas usahlah kita lupa bahawa ada masanya kita akan berada dibawah.
Jika kita mengekalkan keupayaan dan kemampuan kita dengan positif, kita akan mampu bertahan di puncak. Bagaimana mungkin kita akan kekal di puncak jaya jika kita sering mengabaikan kemampuan persaingan dan gagal mempertahankannya. Mana mungkin juga kita ingin kekal di puncak dengan memperkudakan orang lain sedangkan semasa kita di puncak, kita tidak pula menjemput dan menggamit orang lain duduk bersama di atas singgahsana. Bila kita berada dibawah, bagaimana pula kita mahu agar orang lain membawa kita bersama di puncak. Walhal kita tidak pernah pun mengingati orang lain semasa berada di puncak.
Sesungguhnya kita harus akur bahawa tidak selamanya kita berada di atas jika kita tidak menjaga posisi kita dengan sebaik-baiknya. Ayuh kita berprasangka baik, mungkin jika pun kita tidak bersama di puncak kejayaan, lambat laun putaran roda juga akan menganjak kita ke atas. Mungkin bersama dengan orang yang berjaya menjaga posisi mereka di puncak atau kita menguasainya! Akhir kalam, kita adalah manusia biasa.
`Allah menganugerahkan hikmat kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesiapa yang dianugerahinya hikmat dia benar-benar dianugerahi kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran.’ (Al-Baqarah, 269)
SALAM TRANSFORMASI…`Allah menganugerahkan hikmat kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesiapa yang dianugerahinya hikmat dia benar-benar dianugerahi kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran.’ (Al-Baqarah, 269)
No comments:
Post a Comment