Oleh : Warisan Tamar
19 Julai 2008
19 Julai 2008
Pada 17hb Julai maka bermulalah secara rasminya mesyuarat atau persidangan UMNO diperingkat lebih 20,000 cawangan UMNO diseluruh Malaysia kecuali Sarawak. Ironisnya persidangan tahun ini adalah adanya pemilihan kepimpinan dari peringkat cawangan, bahagian dan pusat. Bahangnya sudah terasa sejak sebelum PRU12 yang lalu dan bahangnya juga semakin hangat lebih-lebih lagi dengan `prestasi' buruk BN khususnya UMNO sehinggakan `kehilangan' beberapa negeri. Walaupun isu `kekalahan dan prestasi buruk' semasa PRU12 seakan pasti dibahaskan pada persidangan kali ini namun bahang panas pemilihan nampaknya lebih terasa.
Sejak berbulan-bulan lalu cerita pemilihan UMNO memang hangat walaupun pemimpin utama parti cuba meredakannya dan mengajak ahli parti menumpukan kepada bicara soal `pemulihan' parti yang dilanda badai kekalahan semasa PRU12 yang lalu. Bagi saya, persidangan kali ini telah menampakkan kecenderungan ramai pimpinan UMNO bertanding jawatan Naib Presiden. Setakat ini tidak kurang daripada 9 orang telah menawarkan diri. Saya menjangkakan lebih 10 calon akan bertanding jawatan Naib Presiden tersebut. Mengapa menarik benar jawatan itu? Oleh kerana jawatan Timbalan Presiden akan `kosong' pada bulan Jun 2010 dan bermakna jawatan Timbalan Perdana Menteri juga akan kosong. Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO bahawa peralihan kuasanya kepada Timbalannya akan berlaku pertengahan 2010.
Justeru jika anda merupakan antara 3 Naib Presiden yang menang pada pemilihan tahun ini maka anda mempunyai peluang. Jika anda mendapat undi tertinggi di kalangan Naib Presiden tersebut maka peluang anda amatlah besar untuk mewarisi tampuk no.2 UMNO dan negara. Seterusnya berpeluang juga menduduki tampuk utama teraju pemerintahan negara dan UMNO. (Secara optimis bahawa Pakatan Rakyat tidak berjaya dalam PRU akan datang). Walaupun jawatan Presiden dan Timbalannya juga tidak kurang panasnya tetapi hanya mereka yang tertentu sahaja yang `berani' untuk bertarung dalam jawatan tersebut.
Apapun saya juga amat yakin banyak pertandingan akan berlaku di peringkat cawangan dan bahagian. Banyak ura-ura dan persepsi telah dilontarkan sejak beberapa bulan yang lalu. Ramai sebenarnya sudah mula berkempen sejak berbulan lalu. Walaupun kod etika calon dikeluarkan bagi mengelakkan perbuatan salah terutama dalam meraih undi tetapi bak kata orang `pandai makan pandailah simpan'. Pemilihan UMNO sememangnya sentiasa hangat. Cuma lagi diharap dalam pada demokrasi pertandingan disuburkan, perpaduan dikalangan ahli dan pemimpin hendaklah diutamakan selepas selesai pertandingan. Acapkali berlaku dan sering dibimbangi adalah soal perpecahan dalam parti. UMNO tidak mampu untuk berpecah pada saat ini. Perpecahan kelak akan membawa bala malapetaka khususnya kepada orang Melayu termasuk bumiputera Islam di Sabah.
Saya berharap pertandingan yang berlaku haruslah dipandang secara positif dan menjadi satu proses pendemokrasian dalam parti. Usahlah menyempitkan pemikiran dengan isu `orang baru’ dan sebagainya. Rasanya di kala UMNO agak goyah ketika ini dan sesetengah kepimpinan terutamanya di peringkat bahagian yang semakin `berkarat’ maka eloklah ditransformasikan kepimpinan tersebut agar UMNO terus segar dan relevan kepada rakyat.
SELAMAT BERSIDANG KEPADA SEMUA AHLI UMNO!!!
No comments:
Post a Comment