Oleh Warisan Tamar
24 Julai 2008
Seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri MOSTI di Dewan Negara hari ini (24 Julai 2008), YB Fadillah Yusof menyatakan bahawa Sabah mempunyai ancaman gempa bumi (earth quake) iaitu beberapa garis gempa dikenalpasti masih aktif. Bagi rakyat Sabah, kenyataan ini perlu diperhalusi dan dipastikan segala bentuk persediaan dalam keadaan terbaik dan bersedia. Bukan meminta atau mendoakan gempa bumi itu berlaku tetapi ada baiknya kenyataan ini dipandang positif iaitu pihak berwajib harus melihat (review) segala prosedur dan persediaan menghadapi bencana seumpamanya agar jika ditakdirkan ianya benar—benar berlaku, kita tidak bertempiaran dan persediaan yang ada cuma di atas kertas sahaja.
Amat perlu dipastikan semua pihak berkaitan terutamanya pelan bertindak yang teruji dan siap sedia digerakkan sekiranya bencana terjadi. Jangan bila sudah berlaku baru kita terkapai-kapai membuka buku. Teori dan praktikal harus seiring dan kajian lebih mendalam ke atas lokasi yang dikenalpasti akan mengalami kejadian gempa bumi hendaklah dijalankan.
Saya mendoakan tiada perkara buruk seperti gempa bumi akan berlaku kepada bumi tercinta Sabah. Kesan dan impak pasca bencana berkenaan teramat memeritkan dan menakutkan. Lihat sahaja apa yang berlaku ke atas beberapa negara yang telah mengalaminya. Janganlah ada pihak yang bertegang leher menafikan dan menentang kenyataan pihak MOSTI ini. Yang penting kesiapsiagaan menghadapinya hendaklah ditahap amat cemerlang.
No comments:
Post a Comment