Tuesday, May 13, 2008

BULAN MEI YANG SENTIASA PANAS...

Oleh : Warisan Tamar

13 Mei 1969 telah mencatatkan sejarah pahit dalam takwim tanahair kita. 39 tahun sudah berlalu namun ia masih menjadi igauan di hati sanubari rakyat negara ini. Bagi yang masih belum wujud di muka bumi ini, cerita `ngeri’ 13 Mei itu seumpama menjadi duri dalam daging. Yang melaluinya acap kali mengulangi betapa 13 Mei itu harus tidak dilupakan begitu saja oleh generasi pelapis yang belum lahir di saat genting tersebut.

13 Mei terus menghantui rakyat Malaysia dan akan berterusan dipalu sebagai satu detik hari yang `amat penting’ selepas tarikh keramat 31 Ogos – hari kemerdekaan rakyat di Semenanjung Malaysia dan 16 September pula penubuhan Malaysia sekaligus member `kemerdekaan’ kepada Sabah & Sarawak.

Yang pasti Mei 2008 juga sehangat kalau tidak sepanas 13 Mei 1969. Rasa tidak puas hati dikalangan masyarakat majmuk di Malaysia masih belum padam. Kini rakyat di Sabah dan Sarawak juga menuntut sesuatu yang lebih baik dari pemerintah. Soalnya kenapa? Masalah yang menghimpit manusia yang bergelar rakyat Malaysia di Malaysia Timur sudah berlaku berdekad lamanya. Ia bukan lagi isu tetapi satu permasalahan yang menuntut kesedaran dan perhatian tahap tinggi / maksima daripada mereka yang bergelar pemerintah di Malaysia Barat.

`Keceluparan’ sebahagian ahli Parlimen dari negeri dibawah bayu – Sabah baru-baru ini harus dilihat secara positif dan objektif. Jangan ditanya mengapa dulu sebelum PRU12 ramai ahli Parlimen khususnya dari Sabah membisu...mungkin hidayah untuk benar-benar `menghamburkan’ aspirasi dan permasalahan rakyat marhaen di Sabah belum sampai...Cakaplah apa saja tetapi apa yang dikata kini, itulah yang dituntut dulu, kini dan selamanya. Sabah masih dan tetap sebahagian daripada Malaysia. Jangan habis manis sepah dibuang `berjuritan di siring-siring jalan’!!!


WT- Aduh! Masih bisa tusukan kenangan 13 Mei 1969...Kata seorang penganalisis politik – mengapa kita terlalu `mengagungkan’ peristiwa yang cuma berlaku 2/3 hari di bulan Mei 1969 itu. Saya lebih suka menganggap 13 Mei adalah satu tarikh biasa dalam kehidupan dalam setahun yang mana perlu kita lalui selagi hayat dikandung badan...selebihnya jadikanlah ia pedoman dan panduan agar hidup kita sesama warga Malaysia aman dan damai.

Cuma Mei 2008 ini panasnya lain macam sikit...

No comments: