Warisan Tamar
18 Disember 2010, Sabtu
MALAYSIA melayakkan diri ke final Piala Suzuki AFF 2010. Vietnam tersungkur dan tersembam di Hanoi. Ternyata bermain cantik dan menguasai permainan bukanlah jaminan kemenangan. Eloklah kita puji dan beri pujian kepada skuad muda Malaysia ini. Sudah acap kali kita melemparkan segala kekesalan dan kekecewaan kepada pasukan yang ditubuhkan untuk bermain bola bagi mewakili tanahair kita. Kita sudah acap kali juga mengimbau dan konon-kononnya merindui saat-saat indah ditahun 70an khususnya bilamana Malaysia merupakan antara gergasi Asia dalam sukan bolasepak. Dulu Korea Selatan lebih-kurang sahaja tahap dan taraf mutu bolasepak mereka dengan Malaysia. Tapi kini, mereka ada Park Ji Sung di Man Utd dan menjadi hero Asia di Man Utd! Malaysia? Kita masih dibuai mimpi...
Saya berbangga dengan cara bermain dan semangat anak-anak muda dalam pasukan Malaysia ini. Cuma saya bimbang kerana seringkali apabila kita mula mencipta angan-angan dan mula `meriakkan diri' dengan satu dua kemenangan ~ sudahnya kita kembali menghantukkan kepala kita ke dinding konkrit kerana skuad Malaysia kembali kepada penyakit lama...apalagi kalau tewas kepada pasukan kerdil misalnya Timor Leste. Selepas dikritik selumat-lumatnya, apabila skuad Malaysia bermain menentang mana-mana pasukan...waima diberikan tiket percuma sekalipun...rakyat Malaysia seakan-akan meludah dan memperlekeh keupayaan anak muda dalam skuad muda Malaysia. Demikianlah malangnya menjadi pemain dan bermain bolasepak di Malaysia!
Itu belum lagi kita bicara tentang Liga Malaysia...gaji, KWSP dan sebagainya yang tidak berbayar! Bermain bolasepak di Malaysia bukan platform cari makan yang boleh menjamin anak bini pemain selamat daripada kebuluran. Jadi pemain Malaysia...setakat glamer dan dapat cuit-cuit aktress, itu memang biasa berlaku!
Apa sekalipun, tiket final pertama di Bukit Jalil nanti pasti laku selaku-lakunya. Kata orang acara `besar' penutup 2010. Maka ramailah rakyat Malaysia berduyun-duyun memenuhi Stadium Bukit Jalil meskipun ada diantaranya sebelum ini seakan-akan mahu meludah dan merasa loya dengan negara Malaysia itu sendiri. Mereka yang menuduh Malaysia bukan bumi yang bertuah dan memberi tuah kepada mereka juga akan datang ke Stadium. Tidak mengapalah! Bukan ada orang yang tahu :(
Selamat Berjuang ~ Malaysia!
No comments:
Post a Comment