Thursday, December 30, 2010

Harimau Malaya VS Harimau Borneo


Warisan Tamar
30 Disember 2010, Khamis

SELURUH negara masih lagi meraikan kemenangan skuad bolasepak negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010. Indonesia benar-benar terluka! Ada peminat bolasepak bukan Malaysia berkata rakyat Malaysia menyambut kejuaraan ini bagaikan menjulang Piala Dunia! Kerajaan `menghadiahkan' cuti umum kepada rakyatnya. Kata saya, Apabila Malaysia menjulang Piala Dunia kelak...percayalah sambutan dan kemeriahannya pasti amat jauh lebih hebat dari sekarang. Rakyat Malaysia memang sangat hebat dalam meraikan sesuatu kemenangan dan juga amat hebat dalam mengkritik sesuatu kekurangan! Uniknya Malaysia...

Dalam pada kita bergembira sambil bercuti ekstra (walaupun ramai juga yang terpaksa bekerja!) ada pelbagai suara sumbang. Antaranya kewajaran cuti umum diberikan, sikap sesetengah warga Malaysia yang tidak habis-habis meludah tanahair sendiri dan sebagainya. Saya lebih tertarik kepada isu Harimau Malaysia lebih sesuai daripada gelaran Harimau Malaya. Ini disuarakan oleh YB Jahid Jahim, Pembantu Menteri Belia Sukan Negeri Sabah. Baca Disini! Saya secara peribadi menyokong bahawa usahlah digelar Harimau Malaya! Mengapa?

~ Kita kan menguar-uarkan 1Malaysia...Apakah kurang dan cacat celanya nama Malaysia?

~ Menyebut Malaya sebenarnya membawa kepada persepsi dan memori yang kurang menyenangkan kepada penduduk warganegara Malaysia di negeri Sabah & Sarawak. Apabila kita mengatakan kejayaan skuad bolasepak ini adalah kejayaan pasukan Harimau Malaya maka ia mungkin menyentuh sedikit perasaan penduduk di Malaysia Timur.

~Rakan dan saudara-saudara di Malaysia Barat usahlah mengganggap bahawa penduduk Sabah & Sarawak terlalu emosional dan terlalu sangat berkira! Pada saya tidak...Sebenarnya rakyat Sabah & Sarawak mungkin tanpa disedari oleh sebahagian besar penduduk di Malaysia Barat sudah `mengorbankan' sebahagian besar hasil bumi mereka untuk kesejahteraan seluruh negara. Pada ketika Semenanjung Malaysia belum mencapai kemakmuran seperti sekarang khususnya diawal kemerdekaan, kutipan hasil untuk membangunkan negara banyak diperolehi daripada hasil bumi Sabah & Sarawak. Kejayaan Malaysia sekarang pastinya disebabkan oleh faktor-faktor di Sabah & Sarawak.

Justeru, usahlah pula bilamana kita semakin maju dan mengecapi rangkaian lebuhraya hebat serta pelbagai infrastruktur jauh lebih baik daripada apa yang penduduk Sabah & Sarawak nikmati ketika ini maka kita terlalu pantas melabel rakyat Malaysia di Sabah & Sarawak terlalu demanding dan emosional. Dan soal sensitiviti dan pentingnya mengambil kira perasaan orang lain diketepikan!

Adakalanya saya terfikir perlukah kita mewujudkan dua pasukan bolasepak atau apa jua sukan negara iaitu pasukan Malaysia Barat dan pasukan Malaysia Timur? Mungkin partisipasinya lebih meluas dan semua pihak tidak perlu merasa kecil hati dan merasa dipinggirkan! Maka tidak akan timbul lagi sebarang `kesulitan' sekiranya sesiapa jua mahu menggunakan gelaran Harimau Malaya dan Harimau Borneo!

Sesekali sebelum kita melabuh tirai 2010 dan membuka lembaran Masihi yang baru, mencuit sedikit apasalahnya...

Malaysia! Tanah Tumpah Darahku....


No comments: