Wednesday, October 29, 2008

MENGANGKASA PEMIKIRAN MEMPERKASA PEMUDA


29 Oktober 2008, Rabu

SELESAI sudah mesyuarat dan pemilihan bagi Pemuda UMNO Bahagian Sipitang yang telah diadakan di Dewan Serbaguna SFI, Sipitang pada 25 Oktober 2008 (Sabtu). Mesyuarat bermula agak lewat pada jam 4.20 petang dan ditangguhkan kira-kira pada jam 12.00 malam. Secara umumnya, mesyuarat dan pemilihan tersebut berjalan dengan lancar walaupun terdapat perbezaan pendapat dan prinsip dalam beberapa perkara terutama dalam memutuskan 10 wakil Pemuda ke Mesyuarat Bahagian Sipitang dan siapakah calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Namun ia selesai tanpa tercetusnya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada barisan kepimpinan Pemuda UMNO yang telah terpilih dan diberi kepercayaan oleh para perwakilan. Kepelbagaian latar belakang dan kepakaran sudah tentu akan memberi manfaat kepada semua. Lebih 2/3 dari barisan kali ini adalah merupakan muka baru dan mempunyai kekuatan tersendiri dalam meniti liku-liku perjuangan. Kita lupakan kehangatan pemilihan dan bak kata orang carik-carik bulu ayam akhirnya tercantum jua. Maka, ayuh kita bersatu semula dan seiring bergerak untuk memajukan dan memperkasakan Pemuda UMNO khususnya di Bahagian Sipitang.

Banyak agenda yang perlu ditangani dan dilaksanakan seperti penambahan ahli Pemuda, penyusunan semula cawangan, perpaduan Pemuda, transformasi minda dan sebagainya. Sesungguhnya apa jua yang ingin dilaksanakan perlulah dilakukan dengan kerjasama para Pemuda. Mudah-mudahan perjalanan perjuangan untuk memartabatkan dan memperkasa Pemuda mendapat berkat dan redha-Nya. Kita akan terus berusaha namun Allah jua yang menentukannya.

Meniti arus transformasi, mengangkasa pemikiran, memperkasa Pemuda
- Salam Transformasi….!


BARISAN KEPIMPINAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN SIPITANG (2008)

KETUA PEMUDA
Sdr Hj Hafiz Yamani Datuk Seri Panglima Musa

NAIB KETUA
Sdr Matbali Hj Musah

AJK DIPILIH (15)
Jakaria Jaidin
Zulhelmi Asbi
Mohd Yunus Juisin
Mohd Fauzi Hj Salleh
Nizam Arsad
Hj Adnan Osman
Abd Aziz Taip
Mohd Fariez Ruslan
Mohd Sufri Omarali
Jaffar Hj Jalaf
Mohd Sani Hj Mukjin
Maslee Jahar
Paridin Sitem
Helmi Saidin
Aineh Abdul Rahman

Thursday, October 9, 2008

MENITI ARUS TRANSFORMASI !!!

Warisan Tamar
09 Oktober 2008, Khamis

SAYA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada cawangan-cawangan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang yang telah mencalonkan saya untuk bertanding dalam perebutan AJK Pemuda UMNO Bahagian Sipitang (Sabah) yang dijangka diadakan pada 25 Oktober 2008 nanti. Saya menerima pencalonan tersebut dengan penuh rasa rendah diri dan berharap akan diberikan peluang untuk memberikan khidmat kepada parti. Seandainya saya diberi peluang dan tanggungjawab tersebut, sudah pasti saya akan bekerjasama dengan barisan kepimpinan Pemuda UMNO yang akan dipilih oleh para perwakilan kelak.

Bagi saya, sekiranya menang ia adalah satu cabaran untuk meneruskan agenda perjuangan pimpinan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang yang lalu serta sama-sama memperkasakan lagi Pemuda UMNO sedia ada. Jika ditakdirkan kalah dalam pertandingan ini saya terima dengan hati terbuka dan ia merupakan satu pengalaman berharga untuk saya dalam meniti arus kehidupan seterusnya.

Dalam hal pemilihan seumpama ini saya sudah bersedia untuk menerima apa jua keputusan yang bakal diterima. Saya amat menghormati kebijaksanaan para perwakilan dalam menunaikan tanggungjawab memilih barisan kepimpinan yang efektif dan effisien untuk Pemuda UMNO Bahagian Sipitang.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sipitang iaitu Sdr Hj Hafiz Datuk Musa yang telah menang tanpa bertanding. Manakala bagi jawatan Naib Ketua Pemuda, diharap para perwakilan akan memilih secara bijaksana dan matang iaitu antara Sdr Matbali Musah atau Sdr Duahim sebagai regu kepada Sdr Hj Hafiz. Calon yang berpengalaman dalam pengurusan parti dan hiruk pikuk Pemuda sudah tentu amat sesuai untuk menjadi orang no.2 dalam Pemuda UMNO Bahagian Sipitang. Tepuk dada tanya minda!

Akhir kalam, terima kasih sekali lagi. Saya amat menghargai sokongan kalian!

Salam Transformasi untuk semua…

Tuesday, October 7, 2008

SELAMAT BERSIDANG UMNO BAHAGIAN

Warisan Tamar
08 Oktober 2008 Rabu
UPDATE: (9hb Oktober) Hari pembuka tirai mesyuarat dan pemilihan Pemuda UMNO, Bahagian Machang telah mencalonkan Sdr Khairy Jamaluddin manakala Bahagian Kimanis (Sabah) mencalonkan YB Datuk Mukhriz Tun Mahathir bagi persaingan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Suasana ini akan bertambah hangat dari hari ke hari termasuk perebutan jawatan Timbalan dan Naib Presiden UMNO.

UMNO sekali lagi akan berhadapan dengan badai pemilihan peringkat berikutnya. Pelbagai bentuk persepsi dan hipotesis telah dihujahkan berkaitan proses pemilihan kepimpinan parti tatkala ramai berpendapat bahawa UMNO sudah semakin layu. Ini semua natijah daripada keputusan negatif pada PRU12 Mac 2008. Dari malam 8 Mac 2008 lagi berbagai nada suara berkumandang di mana-mana mengulas secara professional mahupun secara amatur prestasi Barisan Nasional khususnya UMNO selaku tunjang kekuatan BN selama ini. Suara-suara itu mengandungi intonasi yang berbeza-beza. `Pitching’nya juga semakin lari tempo.

Demokrasi dalam UMNO masih bernyawa. Meski ada bersuara bahawa birokrasi dalam UMNO khususnya kuota untuk bertanding adalah `racun’ kepada prinsip demokrasi dalam UMNO. Namun, ada juga beranggapan ia adalah `madu’ untuk memastikan demokrasi dalam UMNO terus bernyawa. Nyata, kebebasan bersuara dan berkata tidak mahupun ya masih wujud di dalam kamus hidup UMNO.

Mesyuarat dan pemilihan peringkat UMNO cawangan sudah pun berlalu. Sepanjang ianya berjalan, macam-macam perkara berlaku. Ada yang hangat, hangit, pelik, jelik, lucu dan sebagainya. Menjadi lumrah alam, apabila ada yang menang dan kalah sebagai Ketua di peringkat cawangan. Malah ada yang dicalon, tidak dicalon dan tidak cukup pencalonan untuk bertanding ke peringkat seterusnya. Apapun, masih ada (kalaupun tidak banyak) ketirisan dalam menangani sesebuah mesyuarat agar ia berjalan dengan lancar, telus dan jujur. Ramai merungut (jikapun tidak mahu atau belum mengusulkan aduan) bahawa mereka mempunyai cukup pencalonan yakni melepasi kuota ditetapkan tetapi tersingkir sebelum masuk ke dalam gelanggang hatta disebabkan oleh masalah teknikal, langgar syarat dan sebagainya. Yang menang dan layak bertanding ke peringkat berikutnya sudah tentu mampu tersenyum tapi mana mungkin yang kalah dan gagal akan bersorak riang ria meraikan ketewasan mereka apalagi gugur sebelum berjuang di dalam gelanggang! Mimpi sudah tentu amat berbeza.

Ramadan yang kita tinggalkan setelah menunaikan perintah-Nya amatlah menyedihkan. Ini kerana kita harus ingat mengingati sesama kita mudah-mudahan kita semua dapat bertemu lagi dengan bulan penuh barakah itu di tahun akan datang. Ramadan sentiasa membawa banyak hikmah kepada umat manusia. Mudah-mudahan yang menang akan bersyukur dengan apa yang telah diperolehi dan yang kalah pula akan bersabar dengan apa yang terjadi. Bersyukur dan bersabar adalah sifat mulia yang wajib ada pada setiap insan. Itulah hakikatnya…

Tanggal 9hb Oktober 2008 maka bermulalah pula mesyuarat dan pemilihan kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian. Ada yang kekal menang tanpa bertanding dan ada yang perlu menghadapi hakikat kuasa undi ditangan perwakilan dari cawangan-cawangan. Sudah tentu ada muka lama yang berundur (juga yang terpaksa atau dipaksa berundur) dan muka baru yang bakal menyemarakkan lagi suhu hangat suasana mesyuarat itu kelak. Adalah diharapkan bahawa semua yang terlibat secara langsung apatah lagi secara tidak langsung dengan mesyuarat serta pemilihan di peringkat ini agar mengambil sepenuh natijah dan iktibar daripada bulan Ramadan yang telah kita lalui. Usahlah perkara remeh, memualkan dan tidak masuk akal dibiarkan berterusan berlaku. Cukuplah apa yang terdedah dan terjadi semasa mesyuarat dan pemilihan diperingkat cawangan tempohari. Anda mampu mengubahnya!

Mesyuarat di peringkat bahagian kali ini juga amat besar ertinya kepada survival politik UMNO khususnya bagi menghadapi PRU13 akan datang. Pemimpin yang bakal dicadang dan kelak disokong oleh perwakilan bahagian ke Persidangan Agung UMNO pada Mac 2009 akan menjadi teraju dan diibaratkan hidup mati UMNO adalah di bawah bahu mereka. Kesilapan memilih pemimpin dan kegagalan pemimpin berfungsi memungkinkan UMNO ditalqinkan pada PRU13 kelak. Mungkin agak pesimis nadanya tetapi dalam politik apa jua perkara boleh berlaku.

Sesungguhnya perlu dingat dan diperingatkan kepada pemimpin dan ahli UMNO bahawa jika pemilihan ini kesudahannya adalah perpecahan maka jangan disalahkan parti lawan apabila tewas dalam mana-mana pertandingan tapi salahkan diri sendiri.

Renungkan juga kata-kata yang biasa kita dengar selama ini – Yang menang tidak akan mendapat segalanya, Yang kalah tidak akan kehilangan semuanya!

SELAMAT BERSIDANG…..

Saturday, October 4, 2008

PERUTUSAN KETUA PEMUDA SEMPENA MESYUARAT AGUNG PEMUDA UMNO PERINGKAT BAHAGIAN 2008


Bismilahi Rahmani Rahim, Assalammu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT, sesungguhnya dengan izin, limpah dan kurnia Nya, kita dapat terus mengecapi nikmat keamanan dan kemakmuran berkat kesatuan dan semangat perpaduan di kalangan kita.

Saya amat bersyukur kerana sepanjang diberikan amanah besar menerajui Pergerakan Pemuda, Allah SWT sentiasa memberikan petunjuk, hidayah, keberanian dan kekuatan kepada saya dan rakan-rakan seperjuangan di dalam melalui pasang surut, pahit getir dan cabaran perjuangan.

Walaupun ada ketikanya kita diuji hingga ke satu sudut, diejek, dimaki, diperlekehkan dan diminta membuat pilihan, namun dengan petunjuk dan hidayah Allah SWT, kita kembali pada landasan perjuangan sebenar dan berpegang teguh dengannya, tanpa meletakkan kepentingan-kepentingan lain.

Hanya demi masa depan anak bangsa; demi kemakmuran negara; dan demi kesucian syiar agama. Alhamdulillah Pergerakan Pemuda terus kukuh dan kuat berkat kesepakatan dan sokongan di akar umbi.

Kita berjaya menempuhi cabaran dan tidak mudah dirapuhkan oleh sebarang kegoyahan atau leka.

Terima kasih, atas segala sokongan padu, kematangan dan kerjasama setiap peringkat Pemuda, dari akar umbi hingga kepimpinan bahagian dan negeri, banyak agenda bangsa dapat diperjuangkan, banyak sejarah telah dicipta oleh Pemuda sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan.

Kini Pemuda sudah berada pada tahap yang cukup mantap. Justeru saya telah umumkan, bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan ini.

Saya berharap kepimpinan baru dengan kepimpinan yang lebih muda akan lebih memahami golongan muda dan terus membuat perubahan. Sesungguhnya usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO begitu penting.

Semangat setia kawan, Pemuda berani dan sifat berani berubah akan menjadi elemen dan pemangkin dalam gerakan memperkukuh Pemuda pada masa hadapan.

Insya Allah selagi kita berpegang kepada asas dan prinsip perjuangan; memahami realiti di akar umbi; meletakkan kepentingan Parti lebih utama dari segala-galanya; maka saya akan berbangga untuk melihat Pemuda akan lebih kuat dari zaman saya.

Pemuda yang bakal menjadi pemacu kepada kejayaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang, insya Allah.

Akhirnya, saya dan seluruh Barisan Kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan Selamat Bersidang kepada seluruh warga Pemuda. Semoga perjalanan mesyuarat saudara berjalan dengan lancar dan Parti kita akan terus kuat dan relevan.

Salam Perjuangan dan Selamat Bersidang.


Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walilahilhamd.



BERSATU – BERSETIA – BERKHIDMAT
DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN