Tuesday, October 7, 2008

SELAMAT BERSIDANG UMNO BAHAGIAN

Warisan Tamar
08 Oktober 2008 Rabu
UPDATE: (9hb Oktober) Hari pembuka tirai mesyuarat dan pemilihan Pemuda UMNO, Bahagian Machang telah mencalonkan Sdr Khairy Jamaluddin manakala Bahagian Kimanis (Sabah) mencalonkan YB Datuk Mukhriz Tun Mahathir bagi persaingan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Suasana ini akan bertambah hangat dari hari ke hari termasuk perebutan jawatan Timbalan dan Naib Presiden UMNO.

UMNO sekali lagi akan berhadapan dengan badai pemilihan peringkat berikutnya. Pelbagai bentuk persepsi dan hipotesis telah dihujahkan berkaitan proses pemilihan kepimpinan parti tatkala ramai berpendapat bahawa UMNO sudah semakin layu. Ini semua natijah daripada keputusan negatif pada PRU12 Mac 2008. Dari malam 8 Mac 2008 lagi berbagai nada suara berkumandang di mana-mana mengulas secara professional mahupun secara amatur prestasi Barisan Nasional khususnya UMNO selaku tunjang kekuatan BN selama ini. Suara-suara itu mengandungi intonasi yang berbeza-beza. `Pitching’nya juga semakin lari tempo.

Demokrasi dalam UMNO masih bernyawa. Meski ada bersuara bahawa birokrasi dalam UMNO khususnya kuota untuk bertanding adalah `racun’ kepada prinsip demokrasi dalam UMNO. Namun, ada juga beranggapan ia adalah `madu’ untuk memastikan demokrasi dalam UMNO terus bernyawa. Nyata, kebebasan bersuara dan berkata tidak mahupun ya masih wujud di dalam kamus hidup UMNO.

Mesyuarat dan pemilihan peringkat UMNO cawangan sudah pun berlalu. Sepanjang ianya berjalan, macam-macam perkara berlaku. Ada yang hangat, hangit, pelik, jelik, lucu dan sebagainya. Menjadi lumrah alam, apabila ada yang menang dan kalah sebagai Ketua di peringkat cawangan. Malah ada yang dicalon, tidak dicalon dan tidak cukup pencalonan untuk bertanding ke peringkat seterusnya. Apapun, masih ada (kalaupun tidak banyak) ketirisan dalam menangani sesebuah mesyuarat agar ia berjalan dengan lancar, telus dan jujur. Ramai merungut (jikapun tidak mahu atau belum mengusulkan aduan) bahawa mereka mempunyai cukup pencalonan yakni melepasi kuota ditetapkan tetapi tersingkir sebelum masuk ke dalam gelanggang hatta disebabkan oleh masalah teknikal, langgar syarat dan sebagainya. Yang menang dan layak bertanding ke peringkat berikutnya sudah tentu mampu tersenyum tapi mana mungkin yang kalah dan gagal akan bersorak riang ria meraikan ketewasan mereka apalagi gugur sebelum berjuang di dalam gelanggang! Mimpi sudah tentu amat berbeza.

Ramadan yang kita tinggalkan setelah menunaikan perintah-Nya amatlah menyedihkan. Ini kerana kita harus ingat mengingati sesama kita mudah-mudahan kita semua dapat bertemu lagi dengan bulan penuh barakah itu di tahun akan datang. Ramadan sentiasa membawa banyak hikmah kepada umat manusia. Mudah-mudahan yang menang akan bersyukur dengan apa yang telah diperolehi dan yang kalah pula akan bersabar dengan apa yang terjadi. Bersyukur dan bersabar adalah sifat mulia yang wajib ada pada setiap insan. Itulah hakikatnya…

Tanggal 9hb Oktober 2008 maka bermulalah pula mesyuarat dan pemilihan kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian. Ada yang kekal menang tanpa bertanding dan ada yang perlu menghadapi hakikat kuasa undi ditangan perwakilan dari cawangan-cawangan. Sudah tentu ada muka lama yang berundur (juga yang terpaksa atau dipaksa berundur) dan muka baru yang bakal menyemarakkan lagi suhu hangat suasana mesyuarat itu kelak. Adalah diharapkan bahawa semua yang terlibat secara langsung apatah lagi secara tidak langsung dengan mesyuarat serta pemilihan di peringkat ini agar mengambil sepenuh natijah dan iktibar daripada bulan Ramadan yang telah kita lalui. Usahlah perkara remeh, memualkan dan tidak masuk akal dibiarkan berterusan berlaku. Cukuplah apa yang terdedah dan terjadi semasa mesyuarat dan pemilihan diperingkat cawangan tempohari. Anda mampu mengubahnya!

Mesyuarat di peringkat bahagian kali ini juga amat besar ertinya kepada survival politik UMNO khususnya bagi menghadapi PRU13 akan datang. Pemimpin yang bakal dicadang dan kelak disokong oleh perwakilan bahagian ke Persidangan Agung UMNO pada Mac 2009 akan menjadi teraju dan diibaratkan hidup mati UMNO adalah di bawah bahu mereka. Kesilapan memilih pemimpin dan kegagalan pemimpin berfungsi memungkinkan UMNO ditalqinkan pada PRU13 kelak. Mungkin agak pesimis nadanya tetapi dalam politik apa jua perkara boleh berlaku.

Sesungguhnya perlu dingat dan diperingatkan kepada pemimpin dan ahli UMNO bahawa jika pemilihan ini kesudahannya adalah perpecahan maka jangan disalahkan parti lawan apabila tewas dalam mana-mana pertandingan tapi salahkan diri sendiri.

Renungkan juga kata-kata yang biasa kita dengar selama ini – Yang menang tidak akan mendapat segalanya, Yang kalah tidak akan kehilangan semuanya!

SELAMAT BERSIDANG…..

No comments: