Warisan Tamar
21 Jun 2010, Isnin
BAHANG kerancakan dunia bolasepak Piala Dunia 2010 semakin dirasakan. Ia terjadi setiap 4 tahun sekali, sudah pasti ia ditunggu oleh seluruh warga dunia. Ini kerana pelbagai warna dan peristiwa akan tercatat. Yang akhirnya, hanya akan ada satu pemenang.
Setakat tulisan ini dibuat, perlawanan-perlawanan bagi pusingan pertama di peringkat kumpulan sudah lebih kurang 70% diadakan dan diketahui keputusannya. Yang nyata, pasukan dari benua Eropah termasuk juara bertahan Itali manakala pasukan dalam kategori elit seperti England, France dan Sepanyol masih bergelut untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Manakan tidak, pasukan elit tersebut dibarisi oleh para pemain yang mempunyai pendapatan tinggi yang sebenarnya mengatasi pendapatan beberapa negara dunia ketiga. Namun ia tidak menjamin bahawa mereka sentiasa menang meskipun menentang pasukan kerdil yang tidak memiliki pemain ternama. Pasukan dari benua Afrika juga gagal menyerlah setakat ini termasuklah Algeria, Ivory Coast malah Cameroon yang mempunyai penyerang terbilang di pentas bolasepak Eropah (Samuel E'to) telah mengesahkan diri terkeluar dari pusingan seterusnya.
Tumpuan sekarang adalah kepada pasukan daripada benua Amerika Selatan. Argentina dan Brazil rasanya mempamerkan konsistensi dan mutu permainan yang menarik. Saya merupakan `penyokong' pasukan Argentina bukan kerana Lionel Messi mahupun Mascherano tetapi kerana Diego Maradona yang dianggap legenda dan `gila-gila'. Maradona membuktikan kepada dunia bolasepak bahawa bertubuh kecil bukan halangan untuk menjadi superstar bolasepak dunia! Saya juga tertarik dengan persembahan pasukan Paraguay dan Mexico.
Demikian juga prestasi pasukan dari Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan Korea Utara tidaklah terlalu menghampakan. Mereka juga membuktikan bahawa kita manusia dari benua Asia tidaklah lemah untuk berhadapan pasukan yang lebih gergasi dari kita! Itulah yang harus kita tanamkan dalam jiwa sanubari kita - bahawa tiada yang mustahil bagi kita. Disebabkan itu, mengapa kita menganggap negara kita Malaysia tidak akan layak ke pentas Piala Dunia? Benar, kita banyak `mengadu' terdapatnya begitu banyak lompong-lompong kelemahan dalam organisasi pentadbir sukan bolasepak negara dan negeri. Saya masih mendengar pemilihan pemain secara pilih kasih dari peringkat kejohanan sekolah dan daerah lagi. Saya cuma mampu menggelengkan kepala kerana jika pemilihan pemain pun kita masih bergelut dengan kepentingan diri sendiri, maka tidaklah salah apabila sebahagian besar daripada kita masih terus-terusan menganggap mustahil untuk kita beraksi di pentas Piala Dunia! Mungkin kita hanya akan `berbangga' menghantar wakil sebagai petugas atau sebagai pengadil, itupun cuma sebagai pengadil ke4 perlawanan.
Lupakan seketika soal kelemahan pengurusan dan pentadbiran persatuan bolasepak. Kita juga harus melihat strategi dan cara bermain pasukan kita. Cara bermain dengan bertahan sudah jarang-jarang diamalkan oleh pasukan elit. Cara bermain di era sekarang adalah bercorak menyerang dan bermain pantas. Corak permainan ini memerlukan skil tinggi, kecergasan, disiplin, komitmen dan keinginan mahu menang! Mentaliti pemain kita harus berubah atau jika tidak kita tidak akan berubah...sekadar menjadi tuanrumah dan melayakkan diri atas tiket tuanrumah. Bila pula Malaysia akan menjadi negara tuanrumah Piala Dunia?
Berkaitan suasana politik, DS Najib pada hujung minggu lepas mengingatkan pemimpin UMNO dan BN bahawa kini adalah masa untuk melakukan `serangan balas' kepada dakyah pasukan pembangkang yang bergelar Pakatan Rakyat. Ini bukan masanya untuk mengamalkan corak bertahan. Bak kata orang `do or die' atau `kill or to be killed'. Namun demikian, sedar atau tidak masih ramai pemimpin BN yang lebih gemar menyerang balas rakan sepasukan sendiri berbanding `mematikan' langkah pihak lawan. Malah lebih sadis, ramai yang masih dibuai mimpi!
Bloggers yang pernah dipandang enteng oleh pemimpin tertentu di dalam BN, sudah lama melakukan corak `permainan' menyerang. Kesannya, kalau pun tidak diiktiraf memenangi `perlawanan' tetapi pihak lawan juga tidak lagi memonopoli ruang maklumat maya untuk memfitnah dan menyebarkan dakyah. Bloggers pro BN/UMNO sudah bersaing di pentas penuh cabaran dengan pihak lawan. Bloggers ini rata-rata meletakkan kepentingan alif ba ta (agama, bangsa dan tanahair) sebagai asas `perjuangan' tanpa mengira pengiktirafan mahupun imbuhan! Rakyat mahukan BN/UMNO yang menjadi hero rakyat...bersuara lantang mempertahankan yang hak dan melakukan tindakan penyelesaian semaksima mungkin. Tidak cukup setakat program Juara Rakyat yang kadang kala menjadi bahan lelucon sesetengah pihak...manakan tidak, program Juara Rakyat sudah menjadi satu program kepesta-pestaan dan dianggap program yang serupa seperti acara Jom Heboh, Gempaq Astro dan sebagainya.
Apa sekalipun, serangan tanpa strategi yang betul...tanpa sasaran tepat, tanpa kewibawaan juga tidak bermakna. Pasukan Sepanyol menguasai segenap penjuru posisi namun tewas dengan jaringan tunggal Switzerland. Kata orang biar tanpa gaya dan nama besar...yang penting menang. Kerana saya selalu mengingati, bahawa realiti kehidupan - hanya yang menang akan diingati!
Salam Transformasi...
ps - Saya belajar menerima realiti bahawa tiada yang mustahil...sejarah mungkin boleh berulang! Kita akan terus berusaha untuk merealisasikan nya...
No comments:
Post a Comment