26 Jun 2010, Sabtu
Nota: Mudah-mudahan semua pihak `berhenti' sekurang-kurangnya seketika dalam `membicarakan' soal judi sukan atau lebih khusus judi bolasepak...berbicaralah soal-soal yang lebih relevan dan berfaedah. Masih adakah yang mempersoalkan tindakan kerajaan tidak memgeluarkan lesen judi sukan? Rasanya juak-juak Pakatan Rosak, tentu tidak gembira dengan keputusan kerajaan Barisan Nasional ini...
KUALA LUMPUR 25 Jun – Kerajaan membuat keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) atas pertimbangan agama dan kesan politik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, pendirian itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti masyarakat yang secara jelas tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan di peringkat dasar untuk memberi kelulusan sebelum ini.
“Walaupun ada pihak menyokong dan menentang perkara itu, kerajaan mendapati secara jelas majoriti masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut dikeluarkan.
“Oleh itu dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan,” katanya.
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mengumumkan keputusan berkenaan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di sini malam ini.
Polemik isu itu bermula apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek membuat kenyataan di Dewan Negara pada 6 Mei lalu bahawa kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen judi bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian haram di negara ini.
Pengumuman berkenaan mendapat bantahan pelbagai pihak antaranya Badan Perhubungan UMNO Johor, Perak dan Kedah, Pergerakan Pemuda UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu menegaskan, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada Ascot Sports untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.
Mengulas lanjut, Najib berkata, keputusan berkenaan disokong sepenuhnya MT UMNO dalam perbincangan malam ini.
“Keputusan itu dibuat sebulat suara, walaupun ada satu dua pendapat berbeza pada peringkat awal tetapi semua akur dan menerima,” katanya.
Mengenai lesen yang pernah dikeluarkan kepada Ascot Sports, Perdana Menteri berkata, ia diluluskan pada 1989 tetapi syarikat tersebut telah menyerahkannya semula pada 1990 kerana menghadapi kerugian besar.
Katanya, sejak tarikh itu Ascot Sports beberapa kali cuba memperbaharuinya dan baru-baru ini kerajaan pada dasarnya memberi kelulusan dengan syarat tertentu yang perlu dipenuhi.
“Selain itu, kerajaan pada masa sama ingin mendapatkan pandangan umum sebelum lesen dikeluarkan memandangkan masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai pandangan mereka sendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen dari sudut agama, ekonomi dan sosial
“Walaupun niat kerajaan selama ini adalah untuk mengawal aktiviti haram dan pertaruhan sukan haram yang ditaksirkan begitu besar sehingga ada yang kata perjudian haram itu melebihi RM10 bilion dan melibatkan kegiatan jenayah yang lain” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut menjelaskan, kerajaan juga mengambil keputusan bahawa dalam apa keadaan sekalipun, orang Islam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi lembaga pengarah dalam syarikat berkaitannya.
“Syarat-syarat ini adalah sesuatu yang begitu tegas ditentukan kerajaan,” katanya.
Mengenai reaksi parti komponen Barisan Nasional (BN), Najib berkata, beliau percaya keputusan itu dapat diterima kerana ia lebih mengutamakan rakyat.
Beliau turut memberitahu, Ascot Sports juga tidak akan diberikan sebarang pampasan kerana di bawah akta yang diperuntukkan, Menteri Kewangan pada bila-bila masa mempunyai kuasa untuk menarik balik lesen pertaruhan itu.
No comments:
Post a Comment