Warisan Tamar
31 Januari 2010, Ahad
KEPIMPINAN baru Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) telah pun dipilih. Lewat malam tadi keputusan pemenang bagi calon-calon yang bertanding telah juga diketahui. Saya dikhabarkan ramai juga muka-muka baru dalam barisan kepimpinan PBBS kali ini. Dalam masa yang sama saya juga maklum bahawa ramai penyandang jawatan di sesi sebelum ini tidak menawarkan diri bertanding. Atas alasan memberi laluan kepada muka baru...dan mungkin juga ada masalah peribadi yang sukar kita persoalkan.
Hari ini mungkin juga para pemenang ada sesi teh tarik bersama penyokong atau masih berselimut di atas katil (almaklumlah hari Ahad!) sebagai meraikan kejayaan diri memenangi jawatan di dalam PBBS. Mesyuarat agung dan pemilihan PBBS mungkin tidak sehebat pemilihan parti mahupun persidangan sesebuah parti siasah seperti UMNO, PAS dll. Namun ia amat penting bagi suku kaum Bisaya iaitu satu etnik Bumiputera Islam di Sabah. Seorang calon tempohari berkata demokrasi dalam PBBS lebih subur daripada dalam UMNO. Mungkin kerana dalam PBBS beliau dapat bertanding dan sebaliknya di dalam UMNO. Tidak kisahlah...Yang penting bagi saya, jangan kita menyamakan atau membandingkan pemilihan kepimpinan persatuan etnik dengan sebuah parti siasah/politik. Kita kena realistik, sesebuah parti siasah tidak mempunyai keahlian terhad untuk satu-satu suku kaum/etnik. Demikian pula, sesebuah persatuan etnik seperti PBBS tidak terhad hanya kepada etnik Bisaya dari sesebuah parti siasah sahaja. Bagi saya `konsep' dan apa yang membezakan antara kedua-duanya hendaklah difahami. Jika tidak, anda akan mengurus parti siasah anda mengikut acuan etnik anda dan sebaliknya juga mengurus persatuan etnik bagaikan sebuah parti politik!
Saya secara peribadi berbangga dengan muka-muka baru yang dipilih di dalam saf kepimpinan PBBS 2010-2012. Walaupun saya kurang mengenali mereka secara individu namun saya percaya perwakilan kali ini sudah membuat keputusan. Apa yang perlu dilakukan selepas ini ialah TINDAKAN. Dengan kehadiran muka baru di dalam PBBS, hendaknya biarlah nafas baru ini mampu membawa transformasi di dalam PBBS. Jangan mengurus PBBS mengikut acuan politik. Ia seharusnya berlandaskan keinsafan dan keinginan serta keyakinan untuk melakukan sesuatu untuk kepentingan suku kaum Bisaya itu sendiri. Tidak kira ideologi politik, kedudukan pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Benar, Presiden @ Janang Gayuh adalah Timbalan Menteri dan orang kuat politik UMNO...namun itu bukan alasan untuk PBBS tidak membantu orang Bisaya yang menyokong dan menyertai PBS,SAPP,UPKO waima PKR sekalipun. Saya tidak mengatakan PBBS selama ini `mengabaikan' ahli dan orang Bisaya yang berpandangan berbeza dengan ideologi politik Janang Gayuh mahupun kepimpinan PBBS. Saya berharap PBBS tidak dilabel sebagai sebuah persatuan yang terlalu condong kepada sesebuah parti politik.
Beberapa rakan dan saudara sebangsa melalui ruang bincang RabasBook, juga ada meluahkan pelbagai perkara untuk direnungi , diperhalusi dan diambil tindakan oleh PBBS. Dalam masa yang sama hanya beberapa kerat sahaja kepimpinan PBBS yang memiliki medium perhubungan maya seperti RabasBook (Facebook) atau mempunyai blog sendiri sebagai platform menyatakan isi hati. Seorang saudara yang juga blogger dan dikhabarkan menang Ahli Majlis Tertinggi PBBS semalam, Ustaz Said mengatakan beliau akan membawa isu ini jika menang. Bagi saya, isu ini kecil dan jangan sampai ada yang mempunyai laman blog atau Facebook hanya kerana kikuman (malu) dan mengalap daguang (mengambil hati) Janang Gayuh. Saya juga berharap pelbagai pandangan dan cadangan samada melalui alam maya (blog, facebook dll) mahupun diluahkan semasa mesyuarat agung malah diperkatakan di kedai `kupi' haruslah diambil berat oleh PBBS. Saya juga secara peribadi kadangkala sedikit kecewa dengan sikap dan cara seseorang yang terlalu sukar menerima kritikan, cepat hilang sabar dan sering mengganggap diri sendiri lebih baik dan hebat daripada orang lain. Jika kita mengkritik dan menegur, kita dikatakan hanya tahu bercakap tapi tidak pandai melaksanakan. Memang mengkritik atau `mengumplin' memang mudah tapi jika ada kebenarannya, PBBS harus menerima realiti itu. Tidak payah lah bagi alasan, kalau pandai sangat cakap...sendiri buatlah! Anda sudah dipilih dan dilantik, maka sewajarnya anda melakukan sesuatu dan mengusahakan tindakan. Jangan menyalahkan ahli mahupun orang Bisaya yang bersuara. Jangan bersilat tidak tentu pasal!!!
Saya berharap kepimpinan PBBS selepas ini akan memikirkan dan melakukan sesuatu yang lebih akademik dan bersifat diskusi dalam pelbagai aspek agama, sosial, ekonomi, pendidikan dan ukhuwah/perpaduan. Pasal politik biar kita cari forum lain. Samada melalui ruang maya mahupun penganjuran bengkel mahupun seminar mungkin lebih bermanfaat. Saya bimbang PBBS dicop persatuan yang terlalu `kepesta-pestaan'. Tidak salah mengadakannya, malah di dalam pesta-pestaan itu pun saya maklum ada pengisian ilmu dan sebagainya. Tapi bila tajuk `Pesta' itu lebih dominan maka pengisian yang lain dianggap program tempelan. Saya berharap pendidikan dikalangan anak-anak orang Bisaya diberi perhatian. Tanpa pendidikan yang baik, bagaimana mungkin kita dapat mengeluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan. Realitinya; masih ramai orang Bisaya dalam kelompok kemiskinan! Kemudian berilah perhatian bagaimana ekonomi orang Bisaya dapat dipertingkatkan. Bukan ekonomi ahli AMT/MT PBBS sahaja difikirkan! Pada saya, jika kita berjaya memakmurkan ekonomi orang Bisaya maka sekurang-kurangnya seorang usahawan/kontraktor/ahli perniagaan berbangsa Bisaya itu sudah mampu membantu diri dan keluarganya seterusnya keluarga terdekat dan akhirnya komunitinya. Mungkinkah satu hari nanti kita / orang Bisaya berbangga mempunyai sekian ramai hartawan dan dermawan seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dll.
Rasanya jika berbicara tentang orang Bisaya dan PBBS persatuan yang `bertanggungjawab' menaungi dan memayungi kepentingan orang Bisaya dalam pelbagai aspek, saya yakin kita mempunyai 1001 macam perkara untuk dibincangkan, diperhalusi dan untuk diambil tindakan seberapa segera. Saya berdoa agar kepimpinan baru PBBS ini diberikan kekuatan oleh Ilahi agar mendepani arus transformasi dan menjunjung serta menongkah segala cabaran dalam misi suci untuk memartabatkan masyarakat Bisaya. Akhir kalam, mungkin juga tagline `Basatu Tokou Tumidong' perlu digagahkan atau diperbaharui...?