Saturday, July 11, 2009

100 HARI 1MALAYSIA


Warisan Tamar
11 Julai 2009, Sabtu

100 HARI sudah berlalu. DS Najib menjadi PM ke6. Diumpamakan 1001 macam jua peristiwa yang berlaku dalam tempoh tersebut samada suka mahupun duka. Hari ini tempoh 100 hari yang seringkali dianggap oleh ramai pihak satu tempoh wajar bagi mengukur dan menilai langkah-langkah awal seseorang atau sejauhmana hala tuju digarap. Walaupun kadangkala saya kurang bersetuju dengan penetapan tempoh 100 hari tersebut sebagai satu kaedah untuk melihat dan menilai sejauhmana hala tuju seseorang itu terutamanya dari aspek kepimpinan. Terlalu singkat untuk menilai keupayaan seseorang memimpin hanya dalam tempoh 100 hari. Namun saya tidak juga sama sekali menidakkannya. Yang pasti ada pro dan kontra disebaliknya.


Yang jelas sebagai pemimpin yang mempunyai visi dan misi yang jelas serta objektif dalam melaksanakan hala tujunya, pemimpin berkenaan akan mengambil berat tempoh `keramat' 100 hari pertama tersebut. Saya walaupun kurang bersetuju dengan tempoh singkat penilaian sedemikian tetapi percaya pemimpin yang baik akan sekurang-kurangnya menggunakan tempoh singkat itu (lebih kurang 3 bulan) untuk mewujudkan platform yang kukuh sebagai landasan beliau bergerak terus ke hadapan dan tangkas dalam pelaksanaan agendanya.


DS Najib sebagai PM ke6 Malaysia sudah melakukan apa yang beliau mampu dan yakini dalam tempoh 100 hari pertamanya. Beliau menghargai setiap detik masa tersebut dan mencurahkan iltizamnya bagi mencapai apa yang beliau mahukan sebagai teraju utama kepimpinan negara. Konsep 1Malaysia dengan tagline `rakyat didahulukan, prestasi diutamakan' membuka langkah hari pertama beliau. Kemudian ada banyak lagi perkara dan transformasi yang beliau garapkan. Hari ini, beliau umumkan 11 perkara baik untuk rakyat. Saya tidak berhajat buat masa ini untuk mengulas setiap apa yang beliau rencanakan dan 11 perkara yang beliau umumkan istimewa untuk rakyat jelata. Ada ramai pengulas, pengkritik, penganalisis dan sebagainya yang mampu dan mempunyai hak untuk meluahkan isi hati dan expertise masing-masing dalam membicarakan dan membahaskan perkara-perkara tersebut.


Cuma saya suka menyentuh tentang sikap segelintir rakyat kita sendiri. Mereka tidak pernah bersyukur dengan apa jua kebaikan yang diterjemahkan oleh DS Najib dan kerajaan BN secara umumnya. Setiap apa yang direncanakan atau dilaksanakan oleh kerajaan, ada saja yang tidak kena! Saya terbuka dan menerima realiti bahawa setiap individu mempunyai hak sebagai rakyat untuk mengutarakan isi hati sama ada baik atau tidak baik. Tapi biarlah ia berpada-pada. Misalnya penurunan sebanyak 50% kadar lesen berniaga bagi penjaja-penjaja kecil khususnya di ibunegara dianggap dan dijadikan isu oleh segelintir rakyat bahawa ia harus percuma sepenuhnya. Benar, kalau boleh saya juga sangat suka dengan perkataan percuma atau FOC. Namun, biarlah logik sikit sebab dengan 50% bayaran yang dikenakan itupun tidak mencukupi untuk `melayani' kerenah para penjaja kecil...terutamanya soal kebersihan. Kalau bayar penuh pun sudah tiada sivik untuk menjaga kebersihan, apalagi percuma!


Saya tidak menolak apa jua kritikan membina malah saya juga kadangkala mengkritik tetapi janganlah kita lupa bahawa setiap perkara baik kita terima, ada baiknya kita bersyukur. Mengucapkan syukur di dalam hati bahawa kerajaan BN juga prihatin dan peka terhadap keperluan rakyat. Semoga DS Najib terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin negara kita.


Salam Transformasi...

No comments: