Dipetik dari Utusan Malaysia
27 Jun 2009, Sabtu
JUMAAT 26 Jun 2009: Kematian Raja pop, Michael Jackson, diratapi peminat industri hiburan di seluruh dunia yang terkejut dengan pemergian penghibur serba boleh itu. Jackson, 50, disahkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang waktu tempatan (5.26 pagi waktu Malaysia), selepas jantungnya gagal berfungsi.
Raja Pop itu dilapor tidak sedarkan diri di rumah mewah yang disewanya di Holmby Hills, di sini, sebelum dikejarkan ke sebuah hospital oleh sepasukan paramedik. Jurucakap Pejabat Koroner Wilayah Los Angeles, Leftenan Fred Corral berkata, proses bedah siasat ke atas mayat Jackson akan dijalankan hari ini bagi mengetahui punca kematiannya.
Biarpun terkenal kerana keunggulannya dalam legasi muzik sepanjang karier selama empat dekad, kehidupan selebriti itu turut dicemari dengan kelakuan pelik serta skandal seks yang mengaitkannya dengan pencabulan ke atas kanak- kanak.
Beliau menggemparkan dunia pada 2002 apabila dirakam sedang menghayunkan bayi lelakinya yang berusia sembilan bulan di sebuah balkoni hotel di Berlin. Pada 2003, beliau dituduh mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun di Belanda, namun pendakwaan itu digugurkan dua tahun kemudian.
Kehidupannya turut dibayangi masalah kewangan pada 2006, membuatkan beliau terpaksa melepaskan hak ke atas rumahnya di ladang ternak Neverland dengan keluasan 1,052 hektar, selain terpaksa memberhentikan kebanyakan pekerjanya selepas bersetuju membayar beribu-ribu dolar bagi mengelakkan tuntutan mahkamah oleh pegawai buruh negeri.
Jackson pernah berkahwin dengan Lisa Marie Presley, anak kepada ikon rock n roll, Elvis Presley pada 1994, namun bercerai pada 1996. Jodohnya dengan seorang jururawat, Debbie Rowe, 37, juga hanya bertahan hampir tiga tahun apabila mereka bercerai pada Oktober 1999. Bersama Rowe, beliau dikurniakan dua anak lelaki, Prince Michael dan Paris Michael Katherine.
Pada 2001, beliau dikurniakan anak ketiga, Prince Michael II, daripada seorang ibu tumpang.
Kematian Jackson itu berlaku ketika penyanyi itu merancang membuat kemunculan semula dalam satu konsert siri jelajah di London bermula 13 Julai depan, yang juga persembahan pertamanya selepas lebih 10 tahun.
Kematian Jackson itu berlaku ketika penyanyi itu merancang membuat kemunculan semula dalam satu konsert siri jelajah di London bermula 13 Julai depan, yang juga persembahan pertamanya selepas lebih 10 tahun.
Jackson mencapai kemuncak kariernya pada tahun 1980-an, apabila muncul sebagai penghibur serba boleh, selain menjadi faktor kepada penyatuan masyarakat kulit hitam dan putih, sekali gus memecahkan jurang antara dua kaum itu di MTV.
Album ‘Thriller’ pada tahun 1982 yang memuatkan lagu hit ‘Beat It’, ‘Billie Jean’ dan ‘Thriller’, muncul sebagai album terlaris sepanjang zaman dengan penjualan sebanyak 50 juta salinan di seluruh dunia.
Jackson pernah datang untuk menghiburkan peminat di Malaysia dalam siri jelajah HIStory World Tour di Stadium Merdeka pada 27 Oktober 1996 dan 29 Oktober 1996, yang berjaya mengutip RM1.2 juta hasil jualan tiket.
Konsert yang berlangsung selama dua jam 15 minit itu dibanjiri lebih 80,000 peminatnya dengan dendangan lagu Scream, They Don‘t Care About Us, Wanna Be Starting Something, Stranger In Moscow dan Smooth Criminal dengan gimik berbeza pada setiap lagu.
Walau apapun, Jackson yang mula membuat penampilan di dunia hiburan melalui kumpulan Jackson Five tetap menjadi ikon bukan sahaja dalam dunia muzik tetapi juga dalam menyatukan kulit putih dan kulit hitam melalui ‘muzik’.
WT- Remaja 80an, melalui suasana Jacko menjadi ikutan. Tarian breakdance menjadi popular. Dia dikenali oleh remaja 80an. Didakwa beliau memeluk Islam. Jika beliau mati sebagai Muslim, syukur alhamdullilah. Apapun, Michael Jackson berakhir secara fizikal dan jasadnya. Yang tinggal hanyalah lagu-lagu dan memori kehidupan hitam putih beliau.
No comments:
Post a Comment