#Dilema DS Najib dalam menentukan winnable candidate untuk BN bukan dalam memilih calon muka baru (kalau ada pun tak sesusah mana).
Tapi kesukaran bagi DS Najib dalam menggugurkan YB sedia ada dan tidak mencalonkan mereka yang menjawat jawatan Ketua Bahagian!
Ada yang perasan dan terlalu berperasaan bahawa mereka segala-galanya. Ada YB sedia ada, selama lebih 4 tahun sejak menang pada PRU12 yang lalu asyik tutup pintu dan buat bodoh dengan rakyat, sekarang tak cukup tangan dan kaki untuk hadir apa jua majlis samada dijemput mahupun tidak...dialah kononnya pemimpin berjiwa rakyat!
Kita doakan DS Najib diberi kekuatan dan ketenangan serta panduan oleh Allah s.w.t dalam membuat apa jua keputusan demi agama, bangsa dan negara....Insha Allah!
WT berkongsi pendapat dan bersetuju dengan apa yang ditulis oleh Sdr Zaini Hassan (Utusan Malaysia) dibawah:-
PRU-13 akan diadakan bila-bila masa sahaja dari sekarang, sebaik-baik sahaja Parlimen dibubarkan, juga pada bila-bila masa ini.
Ada muka baru dan lama yang sudah mendapat isyarat awal bakal dicalonkan.
Ada yang sudah turun padang memperkenalkan diri dan berceramah di kawasan tersebut saban malam.
Ada yang sudah mula bergegas balik kampung menemui ibu dan bapa untuk
mendapatkan perkenan. Yang ibu bapa sudah meninggal dunia, mahu
pulang menziarahi pusara masing-masing untuk mendapatkan restu.
Macam-macam fiil mereka ini. Ada juga yang sudah lama menjadi wakil rakyat berangan-angan mahu terus menjadi calon.
Difahamkan ada calon yang sudah berkali-kali menjadi MP (Ahli
Parlimen) terus mendabik dada mengatakan dia masih winnable candidate
(calon sahih menang).
Sama ada benar atau tidak kisah ini, pucuk pimpinan sendiri pernah
menasihatkan orang yang mendabik dada" itu supaya berundurlah, tetapi
dia tetap mengatakan dia boleh menang.
Sehinggakan kononnya, mahu ditukar dengan anaknya juga, dia masih mengatakan saya boleh menang".
Itulah akibatnya jika warlord ini sudah terlalu kebal dan menganggap
dia sahaja yang hebat. Samalah juga seperti warlord Nik Aziz yang mahu
terus bertanding pilihan raya sampai bila-bila.
Ada juga yang sudah berkira-kira mahu menukar kerusi Parlimen kerana
bimbang kalah setelah mendapati sokongan semakin lari ke lain. Antaranya
ialah Anwar Ibrahim. Beliau sedar sokongan kepadanya di Pematang Pauh
sudah jatuh. Petunjuknya ialah: Majlis ceramahnya hampir kosong.
Konon kata ada juga pemimpin besar UMNO bertaraf menteri yang akan turut sama berbuat demikian.
Apa pun kita berharap PM bertegas membuat keputusan dalam menentukan
calon. Ini soal penting dan paling penting dalam PRU-13 ini.
Namun, berbagai usaha sedang dijalankan oleh para strategis untuk
menentukan warlord ini, yang kebanyakan ketua bahagian, terus membantu
dan merestui calon-calon baru sekiranya mereka tidak terpilih kelak.
Setakat ini percaturan itu berjalan lancar. Difahamkan yang paling
sukar ditangani ialah di Kelantan. Selangor boleh ditangani dan begitu
juga di Kedah.
Formulanya ialah keluarkan mereka melalui satu tawaran perjanjian
lain. Formula seterusnya ialah ada yang akan ditukar ke Parlimen atau
sebaliknya, mengikut kesesuaian. Nampak di atas kertas percaturan ini
diterima.
Realiti politik menunjukkan warlord ini harus dipelihara dan dijagai,
terutama di saat-saat ini bagi mengelakkan masalah yang lebih besar
tercetus.
Jika kita menganggap pilihan raya kali ini sebagai ibu kepada segala
pilihan raya (mother of all elections) maka semua pihak harus sedar
diri.
Letak ke tepi kepentingan diri dan beri sepenuh kepercayaan kepada pucuk pimpinan, iaitu PM yang juga Presiden parti.
Ingatlah rakyat selaku pengundi sedang mengikuti perkembangan ini
dengan cukup teliti. Di tangan mereka hidup dan mati calon-calon itu.
Saya amat percaya pengundi sekarang sudah cukup bijak membuat
keputusan. Jangan diperlihatkan kekalutan dalaman ekoran pemilihan dan
pengumuman calon itu kelak. Jangan buat pengundi meluat dan menyampah
dengan gelagat-gelagat yang ditunjukkan.
Saya percaya di saat ini, mungkin senarai calon sudah disiapkan.
Sesiapa yang terpilih maka tahniahlah, dan sesiapa yang terlucut
terimalah hakikat dan sesiapa yang menawarkan diri tidak mahu dicalonkan
lagi kerana merasakan sudah terlalu tua dan lama, terima kasih
banyak-banyak.
Kita mahu melihat nisbah antara yang baru dan lama memihak kepada muka-muka baru dan segar. Baru tidak semestinya muda.
Saya pernah cadangkan nisbah 80 peratus baru: 20 peratus lama. Angka
ini mungkin agak keterlaluan walaupun ada yang bersetuju, tapi jika
60:40 baru:lama pun sudah memadai.
Ingatlah wahai bangsaku, beristiqamahlah. Cabaran politik semasa cukup getir bagi kita.
Sesungguhnya, rakyat sudah tidak sabar untuk mengundi demi agama, bangsa dan negara.