Friday, February 3, 2012

Seksa & Azab Meninggalkan Solat


# Bersempena menjelang kehadiran hari kelahiran Rasullah S.A.W pada 12 Rabiul Awal 1433H / 5hb Feb 2012, sama-sama kita ingat mengingati betapa pentingnya kita menjaga solat kita. Artikel dibawah adalah sekelumit maklumat yang mampu memberikan gambaran yang lebih baik betapa azabnya seksaan bagi mereka yang meninggalkan solat.

Selamat membaca...

Orang yang meninggalkan solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali, malahan ianya terlebih keji daripada iblis.

Ini kerana si iblis hanya enggan sujud kepada nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk, tetapi orang yang meninggalkan solat adalah seorang yang enggan bersujud kepada Allah s.w.t yang merupakan Khaliq (pencipta). Justeru itu, dosa meninggalkan solat itu amat besar sekali. Di Akhirat nanti seseorang yang meninggalkan solat itu akan dimasukkan ke dalam neraka.

Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran, bahawa ahli syurga (Ashabul Yamiin) telah bertanya kepada penghuni neraka, yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka? Mereka menjawab, kami dahulu bukan daripada golongan orang-orang yang bersolat.  ( Al-Muddaththir: Ayat 42 & 43)


Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:
Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat.
Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan.

Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf. (Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur. (Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).

Ijma’ para ulama mengatakan bahawa hukum orang yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap kewajipannya, adalah jatuh kafir.

Namun, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab malas, tetapi dia tahu dia wajib solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:


  • Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang.
  • Orang itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar terhadap kewajipannya tadi.Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak dan Ishak bin Rahawaih.
  • Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e. Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.

Lihat betapa besarnya solat, dan betapa besar hukum bagi seseorang meninggalkan solat. Orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum menjadi murtad dan berdosa besar.

Andaian berdasarkan hadis-hadis orang-orang yang meninggalkan solat fardhu

Sementara itu setengah para ulama' membuat andaian berdasarkan hadis-hadis orang-orang yang meninggalkan solat fardhu itu sama nilaian dengan dosa seperti berikut:
  • Solat Subuh - Barang siapa yang meninggalkan solat subuh , nescaya Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka selama 60 tahun.
  • Solat Zohor - Barang siapa yang meninggalkansolat zohor dengan sengaja dosanya sama dengan membunuh 1000 orang Islam
  • Solat Asar - Barang siapa yang meninggalkan solat Asar dengan sengaja , dosanya sama dengan seperti ia meruntuhkan Ka'abah (Rumah Allah)
  • Solat Maghrib - Barang siapa yang meninggalkan solat Maghrib dosanya sama seperti ia berzina dengan ibunya atau anak perempuan bagi orang-orang lelaki ataupun berzina dengan bapa atau anak lelaki bagi orang-orang perempuan.
  • Solat Isya' - Barang siapa yang meninggalkan solat Isya', nescaya Allah tidak akan redha ia tinggal di dunia ini ( bumi Allah ) dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah. Segala gerak geri adalah semata-mata dalam keadaan berdosa kepada Allah s.w.t.

Di antara hadis yang menyebut mengenai dosa orang yang meninggalkan sembahyang ialah :

Sabda Nabi s.a.w. :
"Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka ia mendirikan agamanya, dan barang siapa yang meringankan sembahyang maka ia akan diseksa dengan 15 perkara ..
· enam perkara di atas dunia
· tiga perkara sewaktu hendak mati /ketika nazak
· tiga perkara sewaktu di dalam kubur
· tiga perkara sewaktu bertemu dengan Tuhan


Enam perkara seksaan di atas dunia
  1. Dihilangkan berkat sedikit demi sedikit yang ada pada umurnya . (hidup percuma dengan kekosongan, jika hidupan mewah, kemewahan itu hanya istidraj belaka).
  2. Dikurangkan rezeki di dalam usahanya. (rezekinya terbuang sia-sia, walaupun kaya, tetapi kekayaan itu menjadi laknat ke atasnya).
  3. Tiada dipelihara baginya agama Islam. (zahirnya saja Islam tetapi batinnya munafik, malah dia termasuk golongan munafik)
  4. Dikurangkan pengaruh-pengaruh baik pada dirinya
  5. Segala amal kebajikan yang diamalkan dalam dunia ini tiada diberi pahala oleh Allah akan dia.
  6. Tiada diangkat oleh malaikat ke langit akan segala amalnya.
Hadis riwayat Ibnu Abbas, katanya: "Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: "Bermula orang meninggalkan solat itu, bukanlah dia daripada golongan Islam(kafir). Allah tidak terima tauhid dan imannya dan tidak ada faedah sedekah, puasa dan syahadatnya."


Tiga perkara sewaktu hendak mati / ketika nazak
  1. Dimatikan dalam kehinaan.( rohnya dicabut dengan kasar dan tidak ada belas kasihan)
  2. Dimatikan dalam keadaan sangat lapar.( bukan kerana tiada makanan, tetapi nafsunya tiada lagi, perut lapar tetapi tidak dapat makan sesuatu kerana sakit ketika roh akan keluar.)
  3. Dimatikan dalam keadaan sangat kehausan walaupun dituangkan air kekerongkongnya sebanyakmanapun

Tiga perkara sewaktu dalam kubur
  1. Dihimpit tanah dalam kuburnya sehingga keadaan tulang selangkanya remuk sama sekali
  2. Tuhan memerintahkan malaikat Munkar dan Nankir menyiksanya sehingga hari kiamat.
  3. Didatangkan Allah seekor ular besar bernama Shwaun-ra'/ Suja’ull-Akra . yang matanya daripada api, mempunyai tangan dan berkuku besi, dengan membawa alat pemukul dari besi berat.Ia akan berkata, kepada si mati dengan suaranya bagai halilintar: "Aku disuruh oleh Allah memukul engkau sebab meninggalkan solat dari Subuh hingga Zuhur, kemudian dari Zuhur ke Asar, dari Asar ke Maghrib dan dari Maghrib ke Isyak hingga Subuh." Lalu Suja'ul akra' terus memukul mayat orang yang meninggalkan solat dan setiap kali dipukul, mayat itu terbenam ke dalam bumi beberapa ratus hasta.Kemudian dikeluarkan mayat itu dengan kuku besinya lantas ditanya lagi dan dipukul lagi hingga hari kiamat.
tiga perkara sewaktu bertemu dengan Tuhan
  1. Datang malaikat menyeksanya dengan rantai panjang. Rantai itu diikat ke leher orang yang meninggalkan solat serta dimasukkan ke mulutnya dan dikeluarkan melalui duburnya. Kemudian rantai itu ditarik dan disentap. "Malaikat yang menghelanya berteriak: Inilah balasan bagi orang meninggalkan solat yang difardukan. Kemudian orang itu ditarik serta dilemparkan ke neraka bernama Saqar."
  2. Orang yang tidak menunaikan solat tidak akan mendapat keampunan Allah.
  3. ketika dibangunkan semula pada hari kebangkitan, Allah tidak menaruh rahmat dan belas kasihan kepadanya. Firman Allah bermaksud; "Mereka yang mensia-siakan solat dan mengikuti hawa nafsu kepada kejahatan, maka tetaplah mereka jatuh ke dalam satu telaga api neraka." (Surah Maryam, ayat 59)
Kesimpulannya
Meninggalkan solat secara sengaja tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak bukanlah satu perkara yang remeh. Ianya membabitkan status Islam atau Kafir, Neraka atau Syurga. Ketahuilah bahawa solat itu adalah wajib ‘ain dan tiada yang terkecuali darinya walaupun sebesar mana kedudukannya di dunia ini dan di mata masyarakat. Mengabaikannya bermakna anda mengundang kecelakaan yang amat buruk, maka berwaspadalah kalian semua.

8 comments:

maz said...

"Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran, bahawa ahli syurga (Ashabul Yamiin) telah bertanya kepada penghuni neraka, yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka? Mereka menjawab, kami dahulu bukan daripada golongan orang-orang yang bersolat".

Boleh quote surah berapa dan ayat berapa?

warisantamar @ KualaLumpur said...

"Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran, bahawa ahli syurga (Ashabul Yamiin) telah bertanya kepada penghuni neraka, yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka? Mereka menjawab, kami dahulu bukan daripada golongan orang-orang yang bersolat"

Al-Muddaththir: 42 & 43

maz said...

TQ, much obliged

warisantamar @ KualaLumpur said...

maz,
TQ too for the Q. Kdg kita terlepas pandang.

afifah said...

thanks for sharing :D

Bintang ulama said...

nambahin resensi aja dari kitab fathul muin

Tony said...

Amin ya rabbal alamin.

Tony said...

Adakah orang tidak solat akan masuk syurga setelah masuk neraka dengan syafaat nabi.