Warisan Tamar
04 Febuari 2011, Jumaat
1) Rasa simpati saya kepada semua mangsa banjir yang melanda baru-baru ini terutama di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Tentu sekali sukar menjalani kehidupan apabila musibah sedemikian terjadi kepada kita. Semoga semua mangsa bersabar dan memperoleh hikmah dari kejadian yang ditakdirkan.
2) Bersyukurlah negeri Johor kerana keprihatinan DS Muhyiddin Yassin yang `bijak' menggunakan sepenuhnya kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri yang mahu projek mendalamkan dan meluruskan sungai sebagai langkah mengatasi banjir jangka panjang diberi keutamaan oleh Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar. Maka sudah pasti Menterinya Datuk Douglas Unggas akan mendengar dengan teliti `permintaan' tersebut. Apa agaknya `perhatian' Datuk Douglas jika yang `meminta' dan `mahu' agar keutamaan projek berkenaan hanya berstatus Ahli Parlimen Pagoh atau mana-mana Parlimen atau mana-mana ADUN? Adakah akan dianggap `high priority' atau `low/less priority'? Kenyataan DS Muhyiddin dicatatkan di akhbar BH Online dan Utusan Online untuk makluman semua. [Melalui Utusan Online dinyatakan bahawa DS Muhyiddin mengarahkan agar projek berkenaan diberikan keutamaan]
3) Saya secara peribadi amat menyokong cadangan meluruskan dan mendalamkan sungai sebagai usaha untuk mengatasi musibah banjir dalam jangka panjang. Meskipun kos projek berkenaan akan mencecah berbillion ringgit. Demikian juga saya berpendapat masalah banjir di daerah Beaufort Sabah dimana projek seumpamanya haruslah juga dilaksanakan.
4) Banjir di daerah Beaufort dimana mangsa-mangsanya termasuk didalam Parlimen Beaufort dan Sipitang. Malah sebahagiannya dibawah Parlimen Tenom. Musibah banjir bagi rakyat di kawasan ini sudah menjadi `acara tradisi tahunan' dan saya rasa rakyat dikawasan terbabit sudah `bosan' dan `mangli' hingga akhirnya menerima musibah tahunan itu dengan hati yang terpaksa untuk terbuka. Penyelesaiannya juga serupa seperti `permintaan' DS Muhyiddin kepada Sg Muar dan yang sewaktu dengannya iaitu dalamkan dan luruskan Sg Padas.
5) Apakah wakil rakyat di kawasan yang terlibat dengan Sg Padas tidak bersuara? Saya ambil pandangan positif yakni mempercayai bahawa mereka (samada bekas YB-YB mahupun YB-YB sedia ada) sudah menyuarakan permasalahan rakyat di sepanjang Sg Padas. Apakah Menteri yang berkaitan memekakkan telinga atau meletakkan keutamaan menyelesaikan masalah banjir ini sebagai `low/less priority'? Atau keutamaan penyelesaian akan bertukar menjadi `high priority' hanya apabila dikalangan YB di Beaufort atau Sipitang atau Tenom menjadi Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri? Persoalannya sampai bila pula ia akan terjadi?
6) Apakah rakyat atau penduduk atau pengundi atau pembayar cukai di sepanjang Sg Padas tersebut tidak perlu diberikan keutamaan dalam pelaksanaan projek `mega' mendalamkan dan meluruskan Sg Padas? Atau atas kealpaan saya sendiri, projek tersebut sudah pun dirancang dan dimasukkan dalam rancangan pelaksanaan? Soalnya adakah ia juga mendapat keutamaan sepertimana sungai-sungai di Johor? Jika sebaliknya, saya bersedih dan bersimpati kerana sebagai anak Sabah, pengundi, pembayar cukai malah pernah menjadi mangsa banjir Sg Padas sejak zaman persekolahan lagi rupanya tidak mendapat keutamaan. Sedihnya nasib orang-orang kampung di sepanjang Sg Padas kerana projek berkaitan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan mereka mungkin cuma direalisasikan entah pada tahun bila, mungkin puluhan tahun lagi dan mungkin pada ketika itu seorang Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dari kawasan Sg Padas dilahirkan? Itu cuma mungkin dan kemungkinan yang agak mustahil!
7) Saya tidak pasti apakah langkah berani YB-YB sedia ada khususnya dikawasan yang terlibat dengan Sg Padas untuk `meminta' dan `mengarahkan' agar projek mendalamkan dan meluruskan Sg Padas dipercepatkan dan diberi keutamaan? Atau mereka sedang dalam tempoh permainan yang memerlukan mereka bermain secara `playsafe' dan mungkin juga menjanjikan jika mereka terpilih dan menjadi YB untuk penggal seterusnya maka mereka akan menyingsing baju untuk bertindak lebih jantan dan `bermain kasar' supaya masalah rakyat di sepanjang Sg Padas diberi keutamaan dan disegerakan?
8) Saya pendekkan `pertanyaan' saya agar ada pihak yang prihatin sebagaimana prihatinnya DS Muhyiddin terhadap masalah dan musibah banjir di Johor. Saya mungkin juga mahu melihat reaksi dan maklumbalas YB-YB dikawasan berkaitan Sg Padas. Cuma persepsi saya setakat ini tetap sama. Jawapan dan permainan `playsafe' akan diberikan atau kalau selebriti menjawab soalan yang disoal, mereka akan menjawab `No Komen'! Maka jawapan yang saya andaikan akan diberi adalah `No Komen'!
# Saya belanja sekeping roti canai banjir kepada YB-YB berkenaan jika projek meluruskan dan mendalamkan Sg Padas juga diberikan keutamaan sama seperti Sg Muar!
Nota: Terimakasih kepada YB Tuan Kamarlin Hj Ombi, ADUN Lumadan yang memberi respons segera berkenaan isu Sg Padas [beberapa jam selepas tulisan ini diterbitkan].
komen YB ADUN Lumadan [melalui FB];-
Salam sdra aziz untuk pengetahuan tahun lepas satu kajian telah dibuat oleh agensi pusat selama 3 bulan untuk mendalam ,melurus sungai padas..agensi ini berpusat di kg Lupak..kajian dibuat dari [sungai] batu 65 sehingga ke kuala sungai padas..jadi diharap kajian tersebut akan dapat membantu masalah banjir di Beaufort..ada juga cadangan dalam kertas bahawa kehadiran air berlebihan dikawasan terbabit boleh dijadikan industri air iaitu membekal air ke daerah lain..tetapi ia masih dalam peringkat kajian.terima kasih