Thursday, February 3, 2011

Antara Dr Mahathir, Nik Aziz & Lee Kuan Yew: Dimana Anwar Ibrahim?

Warisan Tamar
03 Febuari 2011, Khamis



Ini posting bertulis saya yang pertama di tahun 2011. Kesempitan masa yang sentiasa mencemburui kita, sukar untuk saya menyediakan masa yang khusus untuk menulis di dalam blog sendiri. Apatah lagi kita bukanlah blogger sepenuh masa hatta bukan juga blogger upahan yang perlu memenuhi kehendak dan telunjuk pembayar upah. Jadi, dalam banyak ketika saya menulis lmengikut gerak hati dan masa yang ada. 

Namun semalam apabila membaca Utusan Malaysia, saya tertarik membaca nukilan Sdr Zaini Hassan di ruangan Cuit beliau yang menyentuh tentang bagaimana tiga insan melihat kepentingan dari sudut agama dan bangsa. Sdr Zaini memetik tulisan Tun Dr Mahathir, saya memetik seluruh tulisan beliau...bukan bermakna saya memplagiat hasil tulisan beliau (saya sertakan pautan artikel berkenaan). Berkenaan Nik Aziz, satu masa dulu saya `menghormati' beliau walaupun tidaklah sampai ke tahap taksub mahupun mentaksubi beliau sepertimana pengikut tegar beliau yang percaya setiap bait bahasa dan doanya teramat mustajab. Saya `menghormati' beliau mungkin disebabkan gaya hidup beliau yang sederhana meskipun bergelar `somebody' dalam politik dan pentadbiran kerajaan yang beliau pimpin. Rasa `hormat' saya kepada beliau sudahpun luntur lantaran sikap dan sekian banyaknya kata-kata azimatnya yang pada saya sudah terpesong. Sudah pasti pengikut beliau dan parti beliau akan mengamuk meroyan mempertahankan bahawa Nik Aziz masih suci dan mustajab doanya. 

Saya yakin iman seseorang bukan terletak pada pakaian mahupun lancarnya seseorang berkata-kata sehinggakan setiap patah perkataannya menjadi fatwa yang wajib diterima oleh semua manusia. Saya amat yakin Nik Aziz juga hamba Allah seperti saya yang bukanlah maksum! 

Demikian juga dengan Anwar Ibrahim...bukanlah mustahil beliau meliwat lelaki jambu yang mencuit nafsu songsang beliau. Jadi, usahlah taksub dengan `pertahanan' kata-kata beliau dan barisan peguam beliau. Fikir saja kenapa terlalu banyak aksi tangguh menangguh perbicaraan beliau...kalau dikatakan kehakiman di Malaysia sudah tidak dipercayai, pelik juga apabila beliau sudah memfailkan ratusan juta saman sivil terhadap ramai orang...kalau sudah tidak percayakan mahkamah dan kehakiman di Malaysia, mengapa percaya saman beliau akan didengar dan dihakimi di Malaysia. Bagaimana Karpal Singh (Nota: baca Kapal Sink) yang sangat yakin berkata bahawa Anwar meliwat di Parlimen satu masa dulu, kini paling beria-ia membela Anwar Ibrahim...Dimana pendirian Nik Aziz dalam hal ini? Apakah Nik Aziz menanti untuk menjadi mangsa liwat Anwar Ibrahim, barulah sibuk berceramah dan memfatwakan bahawa liwat itu haram disisi Islam? Saya percaya kalau Anwar Ibrahim itu masih dalam UMNO/BN, Anwar Ibrahim akan ditelanjangkan dipentas ceramah mereka...

Berbalik kepada artikel Sdr Zaini, bagi rakan-rakan yang belum membaca tulisan Sdr Zaini saya panjangkan tulisan berkenaan untuk semua. Selamat membaca.

SAYA merasakan terlalu rugi jika tidak memetik penuh tulisan Dr. Mahathir Mohamad yang terbaru dalam chedet.co.cc bertajuk “Nik Aziz dan Kuan Yew” bagi tujuan mereka yang tidak boleh mengikutinya melalui Internet.

Dr. Mahathir telah mengulas kenyataan Nik Aziz yang sentiasa diulang-ulangnya mengatakan Islam tidak boleh menerima perjuangan berteraskan Melayu atau kebangsaan. Istilah bangsa atau Melayu bagi Nik Aziz tidak wujud dalam dirinya. Baginya Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali bersatu kerana jika ia bersatu, ia akan menjadi UMNO. Maka sebaliknya, jika Pas pun mengakui kewujudan konsep kebangsaan, maka ia bukan lagi Pas.

Semasa kempen pilihan raya kecil Tenang, Nik Aziz menuduh perjuangan UMNO itu sebagai ‘jahiliyah’. Oleh itu, beliau meminta pengundi supaya jangan sokong UMNO atau orang Melayu kerana mereka itu ialah jahiliyah. Mengundi parti yang berteraskan kemelayuan atau kebangsaan ialah jahiliyah.

Sebaliknya, beliau menyokong dan mempertahankan kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew alias Harry Lee, yang baru-baru ini meminta umat Islam republik itu supaya melonggarkan pegangan agama yang dianuti mereka jika mahu hidup dalam komuniti ultra-moden Singapura. Kuan Yew yang tidak percayakan Tuhan dan agama (agnosticism) cuba menerapkan doktrin itu di kalangan orang Islam Melayu republik itukah? 

Bagi Nik Aziz konsep kepartian adik-beradik – PAP (Singapura) dan DAP (Malaysia) boleh diterima dan berteraskan aliran Islam Pas.

Salah seorang pembaca tulisan Dr. Mahathir itu menghantar satu komen dalam blog tersebut dengan memetik ucapan pengasas parti Pas, Dr. Burhanuddin al-Helmy pada Malam Merdeka 1960 yang berbunyi: “Dalam perjuangan kita (Pas) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus-menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci.” 

Penulis komen itu, satD, mengakhiri tulisannya dengan berkata: Apa sudah jadi sama Pas? (Komen-komen lain ikuti: http://chedet.co.cc)
Bagi saya: Bukan apa sudah jadi sama Pas, tapi apa sudah jadi sama Nik Aziz. Sebenar-benarnya, Nik Aziz ini hanyalah ahli politik bertaraf political animal, yang bermain kata mengikut kesesuaian politiknya.

Semalam semasa berucap di wacana bertajuk “Bangsa Melayu dan Masa Depannya” anjuran Mubarak di Memorial Tun Hussein Onn (bangunan Jabatan Perdana Menteri lama), Dr. Mahathir menegaskan: ‘‘Kali ini jika kita hilang kuasa, saya khuatir kita tidak boleh berdiri atas kaki kita sendiri lagi. Walaupun Hang Tuah telah berkata Melayu Takkan Hilang Di Dunia – namun pada masa itu semasa kita pergi ke kuburnya, kita akan berkata ‘‘maaf, Melayu sudah hilang...”

Berikut ialah petikan penuh tulisan terbaru Dr. Mahathir (bagi pembaca yang tiada talian Internet) bertajuk:

NIK AZIZ DAN KUAN YEW
1. Kata Nik Aziz, “Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kuan Yew”. Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kuan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk keislaman mereka.

2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam? 

3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh Pas dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan Pas itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam. 

4. Pas turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila Pas mengadakan sembahyang Jumaat dua imam, larangan terhadap perkahwinan orang Pas dengan orang UMNO, larangan ahli Pas menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang Pas dari orang UMNO, seolah-olah di akhirat juga Pas ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.

5. Apabila Pas bertanding dalam Pilihan Raya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia. 

6. Kemudian Pas bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihan Raya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan. 

7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO dikeluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.

8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu Pas mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal. 

9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.

10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.

11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

No comments: