Monday, June 28, 2010

Argentina Lebih Baik Daripada Manusia Bernama KJ!



Warisan Tamar
29 Jun 2010, Selasa

ARGENTINA selesa melayakkan diri mereka ke kelompok lapan pasukan (suku akhir) terbaik Piala Dunia Bolasepak 2010. Setakat tulisan ini, tinggal satu slot lagi untuk perlawanan suku akhir yang belum diisi (Paraguay vs Japan & Sepanyol vs Portugal). Perlawanan suku akhir ini yang didominasi oleh pasukan dari benua Amerika Selatan, membuktikan semangat dan sikap patriotisme bermain untuk negara adalah segala-galanya. Berbeda dengan permainan ketika bersama kelab. Sudah pasti perlawanan suku akhir antara Belanda vs Brazil dan Argentina vs Germany bakal menjadi tumpuan.

Semalam rasanya ramai penyokong pasukan England kecewa. Saya tidak menafikan saya merupakan peminat Liga Perdana England (EPL) dan Manchester United adalah pasukan kegemaran saya. Wayne Rooney merupakan ikon dan bintang Man Utd. Namun, melihat pasukan England - pelbagai persepsi diutarakan. EPL merupakan liga bolasepak yang berprestij tinggi dan menjana pendapatan berbillion pound sterling. Para pemain seantero dunia dikumpulkan di EPL atas tuntutan `cari makan' atau perkataan canggih sedikit ialah kerjaya profesional sebagai pemain bolasepak. Demikianlah uniknya, tanpa tahap akademik melangit dan cukup sekadar skil serta `keupayaan' memikat pengurusan kelab, seseorang pemain mampu meraih pendapatan sebesar pendapatan sesebuah negara. Positifnya, ia juga telah membawa ramai pemain keluar dari hidup susah dan miskin. Nelson Valdez (Paraguay) misalnya antara pemain dari benua Amerika Selatan yang telah mengubah kehidupan miskin dan kini bersama kelab Borussia Dortmund dengan gaji mencecah 7 angka!

Pada saya, England tidak mempunyai aura langsung dalam edisi Piala Dunia 2010. Nama-nama besar kerana gah-nya EPL bukan tiket untuk menjuarai Piala Dunia. Piala Dunia bolasepak merupakan medan menangguk pemain-pemain baru oleh pengurusan kelab. Para pemain dari Mexico dan Slovakia misalnya bakal dipancing selepas ini. Mereka bermain demi negara mereka. Pemain England bermain tanpa kesatuan dan semangat. Pemain pertahanan England memalukan. Wayne Rooney tidak `mengejar' bola seperti beliau lakukan untuk Man Utd. Benarlah kata ramai orang, England `jaguh kampung'. Demikian juga dengan pasukan Perancis dan Itali. Himpunan pemain bintang dan liga domestik mereka yang hebat tidak digambarkan dalam permainan untuk negara mereka!

Sebagaimana PM Najib `menggunakan' suasana kemeriahan Piala Dunia bolasepak dalam ucapan pembentangan RMK10 baru-baru ini, bahawa pasukan yang berjaya perlu melakukan serangan yang berkesan. Bertahan dan bermain secara selamat (playsafe) tidak mampu membawa pasukan ke peringkat yang lebih jauh. Ekonomi negara harus dipacu dengan corak `menyerang', kreatif `mengaut' peluang ekonomi domestik dan antarabangsa akan mendorong prestasi ekonomi yang lebih mantap. Justeru, permainan secara menyerang sudah tentu mengundang risiko. Bak kata orang, higher risks, higher returns! Jadi, no risk maka no return? Yang penting risks management yang baik juga hendaklah disediakan. Agar sebarang `conter attack' dapat dipatahkan dan tidak mengundang musibah.

PM Najib juga mengingatkan dan menyeru semua pemimpin dan ahli UMNO dan BN agar bertindak lebih proaktif melakukan serangan balas terhadap pihak lawan. Maknanya kini bukan masa untuk playsafe atau bermain secara bertahan! Bagaimana pula dengan respons pemimpin dan ahli? Bloggers pro UMNO/BN, sudah banyak kali menulis tentang layunya `semangat' sebilangan pemimpin dan ahli UMNO/BN. UMNO/BN khususnya di negeri dimana mereka adalah pembangkang, dianggap tidak proaktif dan lembab! Pihak lawan (Pakatan Rosak) sudah `mendedahkan' banyak kelemahan tapi dilihat masih `ampuh' bertahan kerana jentera UMNO/BN tidak proaktif dan kreatif melakukan serangan. Sindrom `skuad England' yang asyik berbangga dengan nama besar dan kejayaan silam, tidak akan membawa kejayaan kepada UMNO/BN. Justeru, UMNO/BN harus bingkas dan mengambil kesempatan semaksima mungkin dalam kekalutan pihak lawan.


Malangnya, cabaran PM Najib supaya serangan balas yang berkesan harus dilakukan sekarang nampak tidak berbalas. Manakan tidak, jika UMNO sendiri mencipta masalah sendiri dan masih tidak sedarkan diri. Misalnya, UMNO Bahagian Rantau Panjang yang buat `lawak bodoh' baru-baru ini! Ketua Pemuda UMNO, YB KJ pun dua kali lima sama! Jangan jadikan diri anda liabiliti. Lebih baik diam daripada bersuara. Alahai KJ... Semoga jangan ada lagi yang suka melakukan tindakan `ekstrem' yang kononnya mereka hebat. Lihat KJ1, KJ2, Si Kitol

Akhir kalam, ada pemimpin UMNO yang melakukan serangan seperti gesaan PM Najib. Tapi serangan yang tidak `berkesan' terdedah kepada `counter attack' dan tidak akan membawa apa-apa perubahan. Seorang sahabat berkata wang / duit boleh membeli kejayaan! KJ ada resepi sebenarnya...KJ memang boleh. KJ Boleh! Boleh Blah...

Viva Argentina...
adios amigos!


Friday, June 25, 2010

PM Najib: Tiada Lesen Pertaruhan (Judi) Sukan!


Warisan Tamar
26 Jun 2010, Sabtu

Nota: Mudah-mudahan semua pihak `berhenti' sekurang-kurangnya seketika dalam `membicarakan' soal judi sukan atau lebih khusus judi bolasepak...berbicaralah soal-soal yang lebih relevan dan berfaedah. Masih adakah yang mempersoalkan tindakan kerajaan tidak memgeluarkan lesen judi sukan? Rasanya juak-juak Pakatan Rosak, tentu tidak gembira dengan keputusan kerajaan Barisan Nasional ini...


KUALA LUMPUR 25 Jun – Kerajaan membuat keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) atas pertimbangan agama dan kesan politik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pendirian itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti masyarakat yang secara jelas tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan di peringkat dasar untuk memberi kelulusan sebelum ini.



“Walaupun ada pihak menyokong dan menentang perkara itu, kerajaan mendapati secara jelas majoriti masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut dikeluarkan.



“Oleh itu dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mengumumkan keputusan berkenaan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di sini malam ini.

Polemik isu itu bermula apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek membuat kenyataan di Dewan Negara pada 6 Mei lalu bahawa kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen judi bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian haram di negara ini.

Pengumuman berkenaan mendapat bantahan pelbagai pihak antaranya Badan Perhubungan UMNO Johor, Perak dan Kedah, Pergerakan Pemuda UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).



Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu menegaskan, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada Ascot Sports untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.



Mengulas lanjut, Najib berkata, keputusan berkenaan disokong sepenuhnya MT UMNO dalam perbincangan malam ini.



“Keputusan itu dibuat sebulat suara, walaupun ada satu dua pendapat berbeza pada peringkat awal tetapi semua akur dan menerima,” katanya.

Mengenai lesen yang pernah dikeluarkan kepada Ascot Sports, Perdana Menteri berkata, ia diluluskan pada 1989 tetapi syarikat tersebut telah menyerahkannya semula pada 1990 kerana menghadapi kerugian besar.

Katanya, sejak tarikh itu Ascot Sports beberapa kali cuba memperbaharuinya dan baru-baru ini kerajaan pada dasarnya memberi kelulusan dengan syarat tertentu yang perlu dipenuhi.



“Selain itu, kerajaan pada masa sama ingin mendapatkan pandangan umum sebelum lesen dikeluarkan memandangkan masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai pandangan mereka sendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen dari sudut agama, ekonomi dan sosial

“Walaupun niat kerajaan selama ini adalah untuk mengawal aktiviti haram dan pertaruhan sukan haram yang ditaksirkan begitu besar sehingga ada yang kata perjudian haram itu melebihi RM10 bilion dan melibatkan kegiatan jenayah yang lain” katanya.



Dalam pada itu, Najib turut menjelaskan, kerajaan juga mengambil keputusan bahawa dalam apa keadaan sekalipun, orang Islam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi lembaga pengarah dalam syarikat berkaitannya.



“Syarat-syarat ini adalah sesuatu yang begitu tegas ditentukan kerajaan,” katanya.



Mengenai reaksi parti komponen Barisan Nasional (BN), Najib berkata, beliau percaya keputusan itu dapat diterima kerana ia lebih mengutamakan rakyat.

Beliau turut memberitahu, Ascot Sports juga tidak akan diberikan sebarang pampasan kerana di bawah akta yang diperuntukkan, Menteri Kewangan pada bila-bila masa mempunyai kuasa untuk menarik balik lesen pertaruhan itu.

Piala Dunia 2010 - Fasa Pertama : Penuh Drama Yang Realistik!


(Video Clip WAKA WAKA - This Is For Africa by SHAKIRA)

Warisan Tamar
26 Jun 2010, Sabtu

SELESAI sudah `fasa pertama' Piala Dunia. Malam nanti bermulanya `fasa kedua'. Beberapa keputusan `tidak dijangka' juga berlaku. Pasukan France diselubungi kemelut dalaman dan sudah mengucapkan selamat tinggal Afrika 2010! Demikian juga skuad Azzuri, juara bertahan yang tewas dan gagal melepasi pusingan awal atau `fasa pertama' edisi Afrika 2010.

Ternyata pasukan dari benua Amerika Selatan menguasai kelompok `fasa kedua' dengan diketuai oleh Brazil dan Argentina. Malang buat benua Afrika! Harapan untuk melangkah lebih jauh tersandar dibahu skuad Ghana...mungkin mampu ke peringkat suku akhir kerana lawan selepas ini USA, kalau pun tidak lemah mungkin setara dengan keupayaan Ghana!

Beberapa pasukan pilihan seperti England, Sepanyol dan Germany akhirnya melepasi `fasa awal' edisi kali ini walaupun amat menyesakkan dada para penyokong pasukan-pasukan ini. Pada `firasat' saya...berdasarkan prestasi di `fasa awal', mereka tidak mungkin menjadi juara edisi Piala Dunia 2010!!!...Maaf! Jangan marah para penyokong England, Sepanyol, Germany.....

Dua pasukan Asia - Korea Selatan dan Jepun tidak menghampakan. Lihat bagaimana 3 gol yang dihasilkan pasukan Jepun ketika menewaskan Denmark! Itu bukan gol-gol nasib...Tidak mustahil pasukan dari Asia menjejakkan kaki hingga ke fasa separuh akhir...kenapa tidak?

Perlawanan menarik perhatian di fasa kedua ini tentunya Germany vs England...Sepanyol vs Portugal. Demikian juga perlawanan Brazil vs Chile, harus diingat kedua-dua pasukan Amerika Selatan ini sudah acap kali bertemu dan bukanlah asing bagi Chile menewaskan Brazil...Brazil mungkin kurang selesa bertemu Chile!

Telahan saya pasukan berikut akan sampai ke peringkat Separuh Akhir - Semestinya Argentina, Portugal, Uruguay dan Brazil/Holland. Namun ianya sekadar suka-suka, jangan ada kaki judi mempertaruhkan `perkiraan' saya ini...

Judi bolasepak dikhabarkan `TIDAK' akan dilesenkan. Pelbagai pro dan kontra sudah dilontarkan. Dari segi politik, ia sangat baik untuk kerajaan dan parti pemerintah - Barisan Nasional! Puak-puak Pakatan Rosak sudah tentu `tidak gembira' dengan langkah ini kerana modal ceramah bawah pokok sudah `ditiadakan'. Dari segi ekonomi, kerajaan akan berbelanja lebih untuk memerangi kegiatan judi haram yang `menyedut' berbillion ringgit...dan menyedihkan ia keluar dari putaran ekonomi negara kita. Dari segi moral, judi memang `tiada' kebaikannya pun...malah ia sudah banyak menghancurkan kehidupan seseorang manusia...Ini kerana aktiviti judi akan `melahirkan' dua bentuk insan - pihak yang menang dan pihak yang kalah! Biasanya lebih ramai yang kalah sebab seperti juga Piala Dunia bolasepak, hanya ada satu pasukan akan bergelar Juara!

Memang terlalu `banyak' perdebatan dan pendapat tentang lesen judi bolasepak...Bagi saya, pada ketika ini keputusan kerajaan amatlah bersesuaian dan tepat. Melesenkan judi bolasepak tidak mungkin akan menghapuskan kegiatan sindiket haram judi! Ia juga bukan alasan untuk `memperlahankan' usaha untuk memerangi aktivitinya. Bukan mudah memerangi sindiket haram ini, tapi saya yakin pasukan Polis kita mempunyai kepakaran dan keupayaan asalkan jangan kelabu mata dengan `duit kopi' dari tangan mafia sindiket judi! Benar kita rugi berbillion ringgit jika tidak dilesenkan...biarlah! Asalkan kita masih ada nilai-nilai murni dan harga diri dan membuktikan bahawa kerajaan dan negara Malaysia tidak bergantung semata-mata kepada hasil judi untuk membawa Malaysia ke mercu jaya.

Akhir kalam, mampukah kita memperjudikan nasib diri kita? Hidup amat subjektif. Apa dirancang tidak semestinya akan berlaku. Kita merancang Allah jua Maha Mengetahui!

Politik itu juga serba mungkin (politic is the art of possible!). Tiada sahabat dan musuh politik yang berkekalan. Tiada yang mustahil jika itu sudah ditakdirkan Ilahi...

Salam Transformasi...

WAKA WAKA...THIS IS FOR MALAYSIA!!!
Adios Amigos...

Monday, June 21, 2010

Tayang Semula: Azizah Tahu Tabiat Luar Biasa Anwar

PRU13: Zaman Letak Songkok Pun Boleh Menang Sudah Berlalu...

Warisan Tamar
21 Jun 2010, Isnin


Nota: Adakah `tunggul kayu' yang jadi YB/ Wakil Rakyat Barisan Nasional? Kalau ada, saya tumpang sedih...Tapi ramai juga beritahu, YB/ Wakil Rakyat `Lembu/Kerbau' memang ada sebab tak kisah dicucuk hidung dan ditunda kesana kemari...asalkan Yes Boss!! Mana-mana sajalah...


Sepanjang minggu lalu topik pilihanraya boleh dikatakan hangat. Hangat sebab Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kata akan umum tarikh pilihanraya negeri pada Sabtu, tetapi entah Sabtu bila.

Ianya juga hangat sebab Tun Dr Mahathir Mohamad andaikan ini masa terbaik Datuk Seri Najib Tun Razak buat pilihanraya umum kerana ada kajian menunjukkan 72 peratus puashati prestasi Najib sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, berucap di Bagan Datoh Ahad,Najib mengakui jentera BN setakat ini masih belum berjaya menangkis persepsi negatif terhadap pelbagai isu yang dimainkan pembangkang terhadap kerajaan.

"Bukan Barisan Nasional atau UMNO tidak baik, tetapi mainan persepsi pembangkang menyebabkan rakyat menjauhkan diri,”katanya.

Tambah hangat bila keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kes Tian Chua yang seterusnya polimek sama ada denda RM2,000 yang dikenakan terhadap pemimpin PKR itu menyebabkan kelayakkannya sebagai ahli parlimen Batu gugur.

Maka kerana hangat pasal pilihanraya, mungkin sudah ada pemimpin-pemimpin parti sama ada pembangkang dan komponen BN sudah mengatur langkah untuk jadi calon bertanding.

Tentu paling ghairah pemimpin pembangkang jika ambil kira kedudukan mereka yang berjaya mengurangkan dua pertiga kerusi BN pada pilihanraya umum lalu.

Lagipun ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilabelkan Ketua Pembohong oleh bekas wakil rakyat PKR, tidak pernah putus asa mendendangkan lagu ‘Perjalanan ke Putrajaya’ yang mula diciptanya ketika mahu bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh dahulu.

Ramai tahu, Anwar dan pemimpin veteran termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Datuk Nik Aziz Nik Mat mengharapkan pilihanraya ke 13 yang lebih awal sebagai ‘bas terakhir’ membawa mereka ke Putrajaya.

Cakap-cakap politik yang popular mengatakan bagi Anwar, kes dakwaan liwat ke atas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan boleh tutup fail jika beliau jadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun soalan yang paling kritikal sekali ialah apakah komponen BN sendiri sudah siap siaga berdepan PRU 13 lebih awal? Dan apakah BN boleh kekal memerintah negara atau terima kejutan jadi pembangkang buat pertama kalinya?

Ini tidak mustahil jika melihat sindrom selesa yang masih dinikmati sesetengah pemimpin komponen BN khususnya UMNO termasuk di negeri dikuasai pakatan rakyat.

Ada blog yang pro BN mulai bertanya, hidupkah lagi UMNO di Kedah dan apa sudah jadi dengan UMNO di Selangor mahupun di Pulau Pinang.

Tidak hairan ramai bloggers meramalkan pembangkang akan terus mengekalkan kuasa di dua negeri ini selain selesa di Kelantan, Pulau Pinang dan bakal menguasai sepenuhnya Wilayah Persekutuan pada PRU 13.

Melihat senario sekeliling,banyak punca yang dikatakan bakal mengundang kekalahan BN jika pilihanraya umum diadakan dalam tempoh terdekat.

Malah, sebagai Pengerusi BN, Najib terpaksa beri ingatan supaya tidak bertelagah sesama sendiri secara terbuka sebaliknya mesti fokus untuk menghadapi cabaran musuh politik sebenar iaitu parti pembangkang.

Jarang beliau mengeluarkan kenyataan tegas, “Musuh kita ada di luar sana, musuh kita mahukan kerusi kita dalam kerajaan dan musuh kita mahu ke Putrajaya. Kita mesti pastikan BN terus berkuasa. Kenapa perlu kita dedahkan masalah kita sendiri. Beritahu saya kenapa kita perlu mencari masalah,”.

Pasti ada sebab Najib berkata demikian. Mustahil beliau suka-suka mendedahkan sikap bermusuhan dalam komponen BN.

Kegusaran Najib turut dikongsi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa bekerja keras memastikan dasar negara dan politik yang ditegaskan jadi realiti.

Memutar ke belakang dan mengimbas kembali ke semua pilihanraya kecil selepas PRU 12, jelas nampak seperti Najib dan Muhyiddin yang bersungguh-sungguh mahu BN menang manakala sesetengah pemimpin parti dan jentera komponen bersikap acuh tak acuh.

Hampir keseluruhan jentera digerakkan oleh UMNO manakala parti komponen bergerak hidup segan mati tak mahu walaupun kerusi yang ditandingi diwaliki calon parti mereka.
Mereka hanya tahu melenting jika ada pihak desak kerusi itu diserahkan kepada UMNO.

Bagi sesetengah pemimpin komponen, soal kerusi lebih penting daripada kemenangan dan kuasa yang diperlukan oleh BN untuk terus memerintah negara.

Sebab itu Najib memberikan analogi bahawa jenis seekor kucing itu tidak penting asalkan ia dapat memburu tikus.

Pertelagahan ini sudah jadi ‘duri dalam daging’ pada komponen BN kerana akan ada yang bertindak memboikot calon dan tidak keluar membuang undi gara-gara tidak puashati dengan pemilihan calon serta parti yang bertanding.

Amaran Najib dan Muhyiddin sepatutnya jadi wisel membangkitkan semangat semua pemimpin dan jentera BN dari sindrom selesa.

Ketika zaman BN menang selesa dulu ada ungkapan, jika letak songkok bertanding dengan lambang dacing pun boleh menang.

Kata orang tak payah nak berangan…zaman itu sudah berlalu.

Melihat pada trend beberapa pilihanraya kebelakangan ini jelas sekali popular atau tidak seseorang calon menjadi faktor penentu yang besar.

Makanya sebelum nak ‘ tempah bush jaket’ mereka yang memasang cita-cita nak mewakili rakyat juga perlu belajar ukur sendiri bush jaket tu.

Jika tidak ia boleh membawa bencana.

Ada kalangan pemerhati politik yang berpendapat sebelum Najib-Muhyiddin mengambil kira tentang taikh pilihanraya soal gandingan barisan calon yang paling mantap baik untuk kerusi parlimen maupun dewan undangan negeri harus settle dulu....

Sunday, June 20, 2010

Masa Untuk Melakukan Serangan!!!

Warisan Tamar
21 Jun 2010, Isnin


BAHANG kerancakan dunia bolasepak Piala Dunia 2010 semakin dirasakan. Ia terjadi setiap 4 tahun sekali, sudah pasti ia ditunggu oleh seluruh warga dunia. Ini kerana pelbagai warna dan peristiwa akan tercatat. Yang akhirnya, hanya akan ada satu pemenang.

Setakat tulisan ini dibuat, perlawanan-perlawanan bagi pusingan pertama di peringkat kumpulan sudah lebih kurang 70% diadakan dan diketahui keputusannya. Yang nyata, pasukan dari benua Eropah termasuk juara bertahan Itali manakala pasukan dalam kategori elit seperti England, France dan Sepanyol masih bergelut untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Manakan tidak, pasukan elit tersebut dibarisi oleh para pemain yang mempunyai pendapatan tinggi yang sebenarnya mengatasi pendapatan beberapa negara dunia ketiga. Namun ia tidak menjamin bahawa mereka sentiasa menang meskipun menentang pasukan kerdil yang tidak memiliki pemain ternama. Pasukan dari benua Afrika juga gagal menyerlah setakat ini termasuklah Algeria, Ivory Coast malah Cameroon yang mempunyai penyerang terbilang di pentas bolasepak Eropah (Samuel E'to) telah mengesahkan diri terkeluar dari pusingan seterusnya.

Tumpuan sekarang adalah kepada pasukan daripada benua Amerika Selatan. Argentina dan Brazil rasanya mempamerkan konsistensi dan mutu permainan yang menarik. Saya merupakan `penyokong' pasukan Argentina bukan kerana Lionel Messi mahupun Mascherano tetapi kerana Diego Maradona yang dianggap legenda dan `gila-gila'. Maradona membuktikan kepada dunia bolasepak bahawa bertubuh kecil bukan halangan untuk menjadi superstar bolasepak dunia! Saya juga tertarik dengan persembahan pasukan Paraguay dan Mexico.

Demikian juga prestasi pasukan dari Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan Korea Utara tidaklah terlalu menghampakan. Mereka juga membuktikan bahawa kita manusia dari benua Asia tidaklah lemah untuk berhadapan pasukan yang lebih gergasi dari kita! Itulah yang harus kita tanamkan dalam jiwa sanubari kita - bahawa tiada yang mustahil bagi kita. Disebabkan itu, mengapa kita menganggap negara kita Malaysia tidak akan layak ke pentas Piala Dunia? Benar, kita banyak `mengadu' terdapatnya begitu banyak lompong-lompong kelemahan dalam organisasi pentadbir sukan bolasepak negara dan negeri. Saya masih mendengar pemilihan pemain secara pilih kasih dari peringkat kejohanan sekolah dan daerah lagi. Saya cuma mampu menggelengkan kepala kerana jika pemilihan pemain pun kita masih bergelut dengan kepentingan diri sendiri, maka tidaklah salah apabila sebahagian besar daripada kita masih terus-terusan menganggap mustahil untuk kita beraksi di pentas Piala Dunia! Mungkin kita hanya akan `berbangga' menghantar wakil sebagai petugas atau sebagai pengadil, itupun cuma sebagai pengadil ke4 perlawanan.

Lupakan seketika soal kelemahan pengurusan dan pentadbiran persatuan bolasepak. Kita juga harus melihat strategi dan cara bermain pasukan kita. Cara bermain dengan bertahan sudah jarang-jarang diamalkan oleh pasukan elit. Cara bermain di era sekarang adalah bercorak menyerang dan bermain pantas. Corak permainan ini memerlukan skil tinggi, kecergasan, disiplin, komitmen dan keinginan mahu menang! Mentaliti pemain kita harus berubah atau jika tidak kita tidak akan berubah...sekadar menjadi tuanrumah dan melayakkan diri atas tiket tuanrumah. Bila pula Malaysia akan menjadi negara tuanrumah Piala Dunia?

Berkaitan suasana politik, DS Najib pada hujung minggu lepas mengingatkan pemimpin UMNO dan BN bahawa kini adalah masa untuk melakukan `serangan balas' kepada dakyah pasukan pembangkang yang bergelar Pakatan Rakyat. Ini bukan masanya untuk mengamalkan corak bertahan. Bak kata orang `do or die' atau `kill or to be killed'. Namun demikian, sedar atau tidak masih ramai pemimpin BN yang lebih gemar menyerang balas rakan sepasukan sendiri berbanding `mematikan' langkah pihak lawan. Malah lebih sadis, ramai yang masih dibuai mimpi!

Bloggers yang pernah dipandang enteng oleh pemimpin tertentu di dalam BN, sudah lama melakukan corak `permainan' menyerang. Kesannya, kalau pun tidak diiktiraf memenangi `perlawanan' tetapi pihak lawan juga tidak lagi memonopoli ruang maklumat maya untuk memfitnah dan menyebarkan dakyah. Bloggers pro BN/UMNO sudah bersaing di pentas penuh cabaran dengan pihak lawan. Bloggers ini rata-rata meletakkan kepentingan alif ba ta (agama, bangsa dan tanahair) sebagai asas `perjuangan' tanpa mengira pengiktirafan mahupun imbuhan! Rakyat mahukan BN/UMNO yang menjadi hero rakyat...bersuara lantang mempertahankan yang hak dan melakukan tindakan penyelesaian semaksima mungkin. Tidak cukup setakat program Juara Rakyat yang kadang kala menjadi bahan lelucon sesetengah pihak...manakan tidak, program Juara Rakyat sudah menjadi satu program kepesta-pestaan dan dianggap program yang serupa seperti acara Jom Heboh, Gempaq Astro dan sebagainya.

Apa sekalipun, serangan tanpa strategi yang betul...tanpa sasaran tepat, tanpa kewibawaan juga tidak bermakna. Pasukan Sepanyol menguasai segenap penjuru posisi namun tewas dengan jaringan tunggal Switzerland. Kata orang biar tanpa gaya dan nama besar...yang penting menang. Kerana saya selalu mengingati, bahawa realiti kehidupan - hanya yang menang akan diingati!

Salam Transformasi...

ps - Saya belajar menerima realiti bahawa tiada yang mustahil...sejarah mungkin boleh berulang! Kita akan terus berusaha untuk merealisasikan nya...