Warisan Tamar
13 Mei 2009, Rabu
13 Mei 2009, Rabu
HARI ini genap 40 tahun selepas negara dilanda peristiwa hitam yang membawa kepada banyak bentuk pengenalan dan pelaksanaan dasar-dasar baru kerajaan. Ia semata-semata bagi memenuhi keperluan dan kepentingan rakyat terutamanya pada masa tersebut. Biarpun segelintir pihak terutamanya parti-parti pembangkang sentiasa menafikan kejayaan dasar-dasar awam tersebut namun hakikatnya mereka juga tidak terlepas daripada menikmati kemakmuran yang dikecapi negara sehingga hari ini. Kita mengakui terdapat kelemahan yang sebenarnya mengkhusus kepada persoalan relevansi dasar-dasar tersebut pada era kini. Pihak kerajaan yang diterajui parti UMNO sedar dan memahami aspirasi tersebut. Malah tidak menafikan betapa perlunya transformasi terhadap beberapa perkara dan isu. Kita seharusnya bertambah matang dalam menangani apa jua isu. Mengaplikasikan metodologi berunsur `kasar' dan `biadap' bukan mencerminkan kematangan kita dalam menuntut sebarang perubahan.
Saya `senyap' dalam beberapa minggu tanpa apa-apa tulisan. Tapi saya masih mengikuti perkembangan politik, ekonomi dan sosial khususnya di dalam negara kita. Bermacam acara politik telah berlangsung malah dijangka akan banyak lagi acara politik akan memenuhi taqwim politik negara. Syukur pemimpin kerajaan khususnya diperingkat Persekutuan masih matang dan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap usaha mengekang masalah ekonomi global dan menangani pelbagai lagi isu sosial.
Namun isu politik jua yang tidak lekang dibibir rakyat. Ternyata usaha pihak tertentu untuk terus menyemarakkan suhu politik `amat berjaya' hanya kerana memastikan mereka mendapat kuasa melalui apa jua cara. Mereka juga inginkan suhu politik itu terus panas dikalangan rakyat agar mereka terus relevan ketika PRU13 akan datang. Mereka sedar jika suhu politik itu semakin menyejuk, mereka juga akan `membeku' dari menerima sokongan rakyat.
Kini, krisis politik dan dikaitan dengan perlembagaan di negeri Perak masih menyala. Ramai rakan blogger memberi info kemaskini khususnya pandangan mereka daripada perspektif mereka sendiri. Saya menerima dan membacanya dengan hati terbuka. Sudah tentu mereka termasuk saya akan dilihat pro terhadap platform politik dan pemikiran yang didukungi masing-masing. Janganlah bersikap `autokratik' terhadap pandangan yang berbeza. Pihak yang pro kepada pembangkang / Pakatan Rakyat jangan juga menafikan `hak' mereka yang pro kerajaan BN. Mengapa kita berterusan mengganggap kita maksum dari kelemahan? Misalnya dalam ketelusan UMNO untuk menangani permasalahan politik wang, mengapa mereka yang bukan dari parti UMNO tidak mengakui secara jujur bahawa pemimpin dan parti mereka juga mempunyai `virus' yang serupa? Waima, jika kita kononnya mengakui sebagai parti yang adil dan saksama serta berlandaskan Islam juga tidak terlepas dari sindrom penyakit politik wang. Janganlah kita berlagak sombong dan mengganggap kita maksum dari dosa-dosa. Iman seseorang bukan terletak pada janggut yang panjang atau pakaian kita.
Dikesempatan ini juga saya ingin merakamkan perasaan simpati terhadap keluarga Ustaz Syahrin Md Jamaluddin, EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Pemuda UMNO Tebrau atas kejadian rompakan awal pagi hari ini. Beberapa jam sebelumnya saya bersama seorang sahabat baru sahaja bersembang dengan beliau di Putrajaya. Namun, tindakan pantas pihak Polis harus juga diberi kredit walaupun sesetengah pihak seringkali menafikan keupayaan anggota keselamatan kita. Kita seharusnya bersama-sama berganding bahu membantu pihak keselamatan dalam mencegah dan menangani permasalahan berkaitan keselamatan rakyat dan negara. Janganlah asyik kecoh dengan isu ISA.
Di Sabah, PM DS Najib telah melakukan lawatan rasmi di awal bulan Mei tempohari. Saya sebagai anak kelahiran Negeri Dibawah Bayu juga berbangga dengan kunjungan rasmi beliau sebagai antara negeri terawal beliau kunjungi selepas dinobat menjadi PM ke6. Sabah sudah melalui suasana yang berlaku di Perak. Tapi para pemimpinnya bertindak matang dan mendahulukan kepentingan rakyat sehingga proses peralihan kuasa antara pihak yang hilang suara majoriti kepada pihak yang memperolehi suara majoriti. Kini mereka semua berada di dalam sebuah kapal besar yang sama. Itulah uniknya Barisan Nasional di Sabah. Isu Timbalan Ketua Menteri tanpa parti (partyless DCM) sudah diselesaikan dengan berhemah oleh BN. Kita sebenarnya mampu bertindak lebih berhemah jika kita menggunakan akal fikiran yang matang dalam menanganinya. Tidak perlu berbaring di atas jalan raya atau berdiri diatas meja hanya semata-mata untuk menyatakan bahawa kitalah yang paling betul dalam sesuatu hal.
UMNO juga sudah mencecah usia 63 tahun pada 11 Mei lepas. Semoga dengan usia sedemikian ahli parti dan para pemimpin akan semakin matang dan berlapang dada untuk meniti arus transformasi. Berani berubah untuk menjadikan parti UMNO terus relevan dengan persekitaran semasa tanpa mengorbankan nilai-nilai dan norma murni yang sudah sedia ada. Janganlah kita menjadi sombong dan bongkak. Biarlah mengikut resmi padi makin berisi makin merendah diri. UMNO bukan parti yang tua dimamah usia tapi harus menjadikannya satu kekuatan untuk generasi berikutnya menggalas tanggungjawab parti.
Sebagai rakyat Malaysia, saya berharap para pemimpin akan lebih mendahulukan kepentingan rakyat dan memastikan prestasi mereka sebagai pemimpin diutamakan. Kita harus lebih bersatu dalam menghadapi suasana ekonomi global yang kurang memberangsangkan.
Salam Transformasi....
No comments:
Post a Comment