Friday, June 26, 2009

MICHAEL JACKSON (1958-2009)

Dipetik dari Utusan Malaysia
27 Jun 2009, Sabtu

JUMAAT 26 Jun 2009: Kematian Raja pop, Michael Jackson, diratapi peminat industri hiburan di seluruh dunia yang terkejut dengan pemergian penghibur serba boleh itu. Jackson, 50, disahkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang waktu tempatan (5.26 pagi waktu Malaysia), selepas jantungnya gagal berfungsi.


Raja Pop itu dilapor tidak sedarkan diri di rumah mewah yang disewanya di Holmby Hills, di sini, sebelum dikejarkan ke sebuah hospital oleh sepasukan paramedik. Jurucakap Pejabat Koroner Wilayah Los Angeles, Leftenan Fred Corral berkata, proses bedah siasat ke atas mayat Jackson akan dijalankan hari ini bagi mengetahui punca kematiannya.


Biarpun terkenal kerana keunggulannya dalam legasi muzik sepanjang karier selama empat dekad, kehidupan selebriti itu turut dicemari dengan kelakuan pelik serta skandal seks yang mengaitkannya dengan pencabulan ke atas kanak- kanak.


Beliau menggemparkan dunia pada 2002 apabila dirakam sedang menghayunkan bayi lelakinya yang berusia sembilan bulan di sebuah balkoni hotel di Berlin. Pada 2003, beliau dituduh mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun di Belanda, namun pendakwaan itu digugurkan dua tahun kemudian.


Kehidupannya turut dibayangi masalah kewangan pada 2006, membuatkan beliau terpaksa melepaskan hak ke atas rumahnya di ladang ternak Neverland dengan keluasan 1,052 hektar, selain terpaksa memberhentikan kebanyakan pekerjanya selepas bersetuju membayar beribu-ribu dolar bagi mengelakkan tuntutan mahkamah oleh pegawai buruh negeri.


Jackson pernah berkahwin dengan Lisa Marie Presley, anak kepada ikon rock n roll, Elvis Presley pada 1994, namun bercerai pada 1996. Jodohnya dengan seorang jururawat, Debbie Rowe, 37, juga hanya bertahan hampir tiga tahun apabila mereka bercerai pada Oktober 1999. Bersama Rowe, beliau dikurniakan dua anak lelaki, Prince Michael dan Paris Michael Katherine.

Pada 2001, beliau dikurniakan anak ketiga, Prince Michael II, daripada seorang ibu tumpang.
Kematian Jackson itu berlaku ketika penyanyi itu merancang membuat kemunculan semula dalam satu konsert siri jelajah di London bermula 13 Julai depan, yang juga persembahan pertamanya selepas lebih 10 tahun.


Jackson mencapai kemuncak kariernya pada tahun 1980-an, apabila muncul sebagai penghibur serba boleh, selain menjadi faktor kepada penyatuan masyarakat kulit hitam dan putih, sekali gus memecahkan jurang antara dua kaum itu di MTV.


Album ‘Thriller’ pada tahun 1982 yang memuatkan lagu hit ‘Beat It’, ‘Billie Jean’ dan ‘Thriller’, muncul sebagai album terlaris sepanjang zaman dengan penjualan sebanyak 50 juta salinan di seluruh dunia.


Jackson pernah datang untuk menghiburkan peminat di Malaysia dalam siri jelajah HIStory World Tour di Stadium Merdeka pada 27 Oktober 1996 dan 29 Oktober 1996, yang berjaya mengutip RM1.2 juta hasil jualan tiket.


Konsert yang berlangsung selama dua jam 15 minit itu dibanjiri lebih 80,000 peminatnya dengan dendangan lagu Scream, They Don‘t Care About Us, Wanna Be Starting Something, Stranger In Moscow dan Smooth Criminal dengan gimik berbeza pada setiap lagu.


Walau apapun, Jackson yang mula membuat penampilan di dunia hiburan melalui kumpulan Jackson Five tetap menjadi ikon bukan sahaja dalam dunia muzik tetapi juga dalam menyatukan kulit putih dan kulit hitam melalui ‘muzik’.


WT- Remaja 80an, melalui suasana Jacko menjadi ikutan. Tarian breakdance menjadi popular. Dia dikenali oleh remaja 80an. Didakwa beliau memeluk Islam. Jika beliau mati sebagai Muslim, syukur alhamdullilah. Apapun, Michael Jackson berakhir secara fizikal dan jasadnya. Yang tinggal hanyalah lagu-lagu dan memori kehidupan hitam putih beliau.

Monday, June 22, 2009

KITA HARUS BERANI BERUBAH...

Warisan Tamar
22 Jun 2009

HARI ini wabak H1N1 semakin menular. Walaupun kelihatan umpama ia terkawal di Malaysia tetapi hakikatnya beberapa sekolah sudah mula menerima akibatnya. Malangnya tidak ramai berminat untuk berbicara tentangnya. Mungkin lontaran ide-ide boleh membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan untuk sama-sama menanganinya. Kita yakin pihak kerajaan sentiasa dihadapan untuk memastikan virus ini tidak merebak dan terus menghantui rakyat Malaysia.

Isu kerajaan perpaduan juga seakan tiada redanya. Pakatan pembangkang kononnya sebulat suara menolak idea kerajaan perpaduan yang dicadang dan disokong oleh Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Nik Aziz pula nampak melatah tidak berkesudahan. UMNO khususnya `dipersalahkan' atas idea kerajaan perpaduan ini sedangkan sekian lama ia dimulakan dan dicanangkan oleh pihak PAS sendiri. Ia bukan hadir dari pihak UMNO. Namun kebencian Nik Aziz meluap-luap bila ia dibabitkan dengan UMNO. Nik Aziz lebih jijik kepada seekor kucing daripada seekor babi yang menjadi penyebab virus H1N1. Realitinya pula penyokong tegar pembangkang amat taksub kepada apa saja yang dikatakan oleh Nik Aziz. Mungkin beliau maksum daripada dosa!

Ahli akademik berpendapat bahawa kerajaan perpaduan yang diutarakan oleh Hj Hadi dan disokong oleh Ust Nasaruddin adalah baik jika kita melihat positif ke arahnya. Ia tidak semestinya dilihat dari segi politik tetapi lebih jauh melihat implikasinya dari segi perpaduan rakyat dan keutuhan bangsa Melayu/Bumiputera itu sendiri. Hj Hadi dan Ust Nasa melihat idea kerajaan perpaduan jauh di luar kotak pemikiran Nik Aziz.

Sejak tamat musim EPL 2009/2009, spekulasi perpindahan bintang MU Cristiano Ronaldo ke Real Madrid telah menjadi kenyataan. Menjadi pemain bolasepak termahal dimuka bumi ini dan laba diperolehi MU tidak dapat dinafikan. Meskipun Carlos Tevez juga kelihatan tidak mahu kekal bersama MU walaupun ditawarkan gaji mingguan tertinggi kelab sepertimana diminta. MU ternyata terus mewarnai persada bolasepak Eropah malah seantero dunia.

Lain ceritanya MU di Malaysia. MU juga menarik perhatian kita dan ia juga bakal menyaksikan apakah warna landskap politik negara khususnya di Kelantan selepas keputusan diperolehi kelak. MU di Malaysia adalah merujuk kepada Manik Urai dimana letaknya PRK antara UMNO dan PAS. Rakyat dan pengundi MU juga akan menentukan siapakah pilihan mereka. Adakah kekal bersama wakil rakyat PAS atau beralih angin kepada UMNO? Saya tidak terlalu over confident dengan kemenangan UMNO. Namun, optimis UMNO juga mampu menawan hati para pengundi di MU. Ada yang berkata UMNO akan lebih tertekan jika kalah. Saya tidak merasakan demikian. Kita sering menggunakan keputusan sesuatu PRK sebagai sampling process kepada kehendak rakyat Malaysia secara keseluruhan. Saya percaya kemenangan kepada mana-mana pihak akan memberikan kelebihan psikologi. Dalam perang psikologi terhadap kekuatan parti, kemenangan amatlah penting waima dengan 1 undi sekalipun. Ia tidak dinafikan akan menyuntik semangat ahli-ahli parti walaupun ia bukanlah tiket untuk mencipta kejayaan seterusnya tanpa usaha berterusan.

Perspektif pendidikan juga tidak kurang hangatnya. Dari isu PPSMI, kini cadangan menghadkan subjek peperiksaan yang telah pun dipersetujui dan langkah mewajibkan lulus matapelajaran Bahasa Inggeris hangat diperbualkan. Ada yang mempersoalkan kewajarannya, tidak kurang yang menyambut positif. Saya secara peribadi menganggap cadangan dan tindakan ini harus dilihat secara positif. Kerajaan berulang kali menyatakan bahawa kepentingan dan `keagungan' Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan serta Artikel 153 khususnya tidak akan seinci pun digadaikan. Kita lihat isu pendidikan juga sering diambil peluang untuk dipolitikkan dan dipolemikkan oleh segelintir manusia yang kononnya berjuang untuk rakyat. Macam di muka bumi ini, hanya mereka yang berjuang untuk rakyat, hanya mereka yang baik hati...

Saya setuju, bahawa usaha dan tindakan lebih proaktif dan lebih tuntas diambil supaya tenaga pengajar subjek Bahasa Inggeris wajiblah diperkasakan lagi. Bukan setakat teknik pengajaran, pembelajaran dan bahan sokongan tapi juga soal kebajikan mereka juga harus diutamakan. Janganlah pula cikgu Bahasa Melayu merasa terpinggir!

Saya baru `terjumpa' blog yang memaparkan aktiviti ADUN di kawasan saya di dalam blog ini. Terimakasih atas usaha ini. Saya tujukan kepada mereka yang berada di belakang tabir blog tersebut. Mana mungkin YB Kamarlin mengetuk keyboard dan menggerakkan tetikus untuk `mneghidupkan' dan mengemaskini blog tersebut. Tapi saya harap, seharusnya blog tersebut diupgradekan menjadi laman web yang lebih dedikasi. Yang maha penting juga ia harus dipertingkatkan lagi dan disaratkan dengan segala bentuk info, aktiviti dan jangan lupa berilah ruang kepada pengunjung untuk berkata sesuatu...Jika ada 1000 komen, mungkin ada 1 yang amat berkesan dan baik untuk DUN Lumadan dan YB Kamarlin. Jika mereka yang `bertugas' dibelakang tabir blog tersebut membaca pandangan ini, saya mohon mencadangkan!!!

SALAM TRANSFORMASI...

Saturday, June 13, 2009

MELAYU & BUMIPUTERA TERUS DITEKAN


Warisan Tamar
13 Jun 2009, Sabtu

ADA beberapa perkara yang berlaku mutakhir ini. Bahkan rasanya setiap hari ada saja peristiwa besar yang berlaku. Selain isu virus H1N1 yang sudah diisytiharkan sebagai pandemic apabila penularannya yang semakin jauh ke serata dunia termasuk Malaysia. Isu bangunan lama runtuh di PJ dan pelbagai interpretasi konsep 1Malaysia juga hangat dibicarakan. Demikian juga isu Chin Peng, yang mana amat menusuk luka para pejuang anti komunis. Saya tidak lahir di zaman komunis mengganas. Tapi saya memahami kesakitan dan keperitan keluarga dan mereka yang dilahirkan sebelum saya. Mereka yang `pro-Chin Peng' cuba mengusik sarang tebuan.

Isu politik juga tidak kurang hangatnya.
Baru-baru ini PAS juga baru selesai dengan Muktamarnya. Dikatakan puak pro Anwar a.k.a Erdogan ramai tersungkur. Apapun, demikianlah realiti politik. Apabila PAS untuk semua maka pintu dibuka kononnya untuk semua. Justeru, dikhabarkan dan ditanggapi bahawa kemasukan berduyun-duyun ahli baru ke dalam PAS kerana slogan baru mereka dan dikaitkan pula dengan `kejayaan' Pakatan Rakyat pada PRU12 yang lalu. Apabila `keterbukaan' itu dianggap pintu ke arah kejayaan yang lebih besar, PAS `lupa' ia juga pintu menuju kehancuran. Kerana dengan pintu itu juga anasir tertentu menerjah masuk dan menyelinap ke segenap penjuru batang tubuh PAS. Pesan saya kepada para sahabat saya yang berada dalam PAS Untuk Semua...saya selalu berkata jangan taksub kepada pemimpin, hinggakan pemimpin salah pun kita katakan mereka tetap betul. Bawa2lah berfikir di luar kotak pemikiran. Sesekali berfikiran negatif mungkin ada hikmahnya jua!

Beberapa jam yang lalu, Zaid Ibrahim sah menyertai PKR. Saya tidak terkejut. Malah ternanti-nanti bilalah dia ni nak join parti lawan BN. Saya ada membaca buku `Saya Pun Melayu' tulisan beliau. Saya bangga anak orang susah seperti beliau akhirnya menjadi peguam dan pernah memiliki firma guaman yang terkenal. Tapi yang saya tidak bangga dan tidak bersetuju bilamana dia tidak menganggap kejayaan beliau kerana bantuan dan sokongan kerajaan iaitu BN. Pada saya, bantuan dan sokongan kerajaan BN bukan sekadar kita lihat dari segi material seperti penganugerahan projek jutaan ringgit tetapi hamparan platform ekonomi dan persekitaran negara yang stabil, harmoni dan memberangsangkan adalah faktor makro yang menyumbang kepada sesuatu kejayaan. Bagaimana agaknya nasib Zaid Ibrahim & Co. kalau firma mereka berada di sesebuah negara yang tidak aman, bergolak dan tahap ekonomi yang perlahan?

Petang Jumaat yang lalu saya menyertai rombongan Dewan Muda DPMM Selangor di majlis Dialog bersama Dato Mukhriz Tun Mahathir dipejabat beliau di MITI. Saya berharap isu dan permasalahan usahawan muda Melayu dan Bumiputera yang disuarakan akan menemui jalan penyelesaian. Dasar kerajaan untuk membantu usahawan Melayu dan Bumiputera sudah amat baik. Namun masalahnya bila pelaksana dasar yang diadakan gagal malah bertindak anti clockwise maka dasar kerajaan itu menemui jalan kegagalan. Akibatnya, PRU12 dijadikan pentas meluahkan rasa amarah, tidak puas hati dan kecewa. Saya cukup berpendapat dan amat bersetuju bahawa masalah struktural adalah antara punca utama kegagalan dasar kerajaan khususnya dalam membantu anak muda yang berinovasi dan ingin berjaya dalam perniagaan. Amat penting individu yang mempunyai aspirasi seiring dengan kerajaan serta memahami kehendak dan keperluan usahawan Melayu dan Bumiputera perlu diposisikan agar pelaksanaan dasar kerajaan lebih berjaya dan impaknya berkesan kepada ekonomi serta politik.

Dalam menyelusuri laman web dan blog rakan-rakan blogger, saya juga ternanti-nantikan tarikh 1 Julai akan datang. Saya berharap Anwar Ibrahim tidak lagi berdolak dalih dengan pelbagai alasan teknikal demi untuk melengahkan dan menafikan keadilan kepada pengadu. Buktikan segala kebenaran di lapangan keadilan. Jangan asyik mengatakan keadilan tidak ada di mahkamah dalam negara ini. Sedangkan Anwar dan ramai lagi pemimpin pembangkang lain sering meraih kemenangan di pentas mahkamah Malaysia. Jangan perbodohkan rakyat Malaysia. Saya faham dan memahami bahawa rakan dan saudara yang tegar menyokong Anwar akan marah dan tidak bersetuju. Pada saya, kalian boleh saja mengkritik UMNO dan BN. Saya juga bersikap terbuka asalkan ia konstruktif serta membina. Mudah-mudahan ia boleh digunakan untuk memperbaiki mana yang kurang. Itu lebih baik dari bersikap `hanya saya/kami yang betul'. Siapalah kita untuk menentukan dosa pahala seseorang. Waima serban dililit seluruh badan pun tidak akan menentukan syurga untuknya. Fikir-fikirkan....

Tuesday, June 9, 2009

Al Fatihah...

Warisan Tamar
09 Jun 2009, Selasa

HARI ini sepupu saya Allahyarham Al-Aksah Hj Ismail telah kembali ke rahmahtullah disebabkan kecederaan teruk akibat kemalangan jalanraya pagi tadi. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al Fatihah....
Dikesempatan ini juga takziah dan al-fatihah kepada arwah bapa Sdr Ludi Sidup, AJK Pemuda UMNO Bahagian Sipitang yang juga kembali ke rahmatullah tengahari ini. Al Fatihah...