Monday, March 23, 2009

MUKHRIZ: BERANI BERUBAH [KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA]


1. Bolehkah saudara terangkan latar belakang saudara?


Saya menuntut di MRSM Kota Bharu (kini dikenali sebagai MRSM Pengkalan Chepa), Kelantan 1977-1981 sebelum meneruskan pendidikan di Sophia University, Tokyo, Jepun. Saya kemudiannya ke Boston University, Massachusetts, USA dan pulang ketanahair 1989.Setelah berkhidmat dengan Bank of Tokyo, Ltd selama lima tahun, saya mulai ceburkan diri dalam bidang perkilangan dengan menubuhkan syarikat pembuat kabel gentian optik, OPCOM Cables Sdn Bhd pada tahun 1994.OPCOM telah menyumbang kepada prasarana jalur lebar negara hingga saya berani kata bahawa setiap kali warga kita melayari internet sudah pasti menggunakan kabel gentian optik buatan OPCOM.Kini saya telah mulakan usahasama dengan sebuah institusi penyelidikan dari negara Cuba untuk mendaftarkan vaksin barah paru-paru di Malaysia, ASEAN, OIC dan Eropah.Vaksin yang sedang melalui proses penilaian klinikal dibeberapa hospital tempatan dijangka akan membantu memanjangkan jangka hayat pesakit-pesakit barah yang kian ramai kebelakangan ini.


2. Bilakah saudara mula menceburi politik dan kenapa?


Saya sebenarnya sudah lama berminat untuk menceburi politik.Semasa ayah saya menerajui UMNO, saya cuma terlibat dengan politik secara tidak langsung sahaja terutamanya sewaktu pilihanraya umum kerana ayah saya tidak benarkan sama sekali saya bergiat aktif dalam politik selagi beliau memimpin parti.Oleh kerana saya punyai ramai rakan-rakan lama di Kelantan, dan Kelantan juga saya anggap sebagai garis hadapan dalam persaingan kita dengan pihak pembangkang, maka saya tumpukan masa saya membantu berkempen untuk calon-calon BN disana sejak PRU9 lagi.Hanya setelah ayah saya bersara pada tahun 2003, baru saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Exco Pemuda Malaysia.Walaupun ada beberapa pencalonan bagi saya bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda waktu itu, saya tetap dengan keputusan awal saya untuk bertanding Exco.Dari dulu lagi saya berminat untuk berkhidmat untuk masyarakat. Oleh sebab saya tidak dibenarkan berpolitik, maka saya gunakan pentas NGO untuk membantu masyarakat sedaya yang saya mampu.Sebagai Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara), Presiden Persatuan Francais Malaysia, dan juga Pengerusi Persatuan Sindrom Down Malaysia, saya dapat memenuhi minat saya untuk menyumbang kearah kesejahteraan kumpulan sasar yang diwakili persatuan.Sudah tentu dengan terlibatnya saya dalam politik UMNO (setelah saya lepas dari larangan ayah saya apabila beliau bersara), maka parti menjadi pentas yang lebih bermakna untuk saya mengutarakan pendekatan saya sendiri dalam membela dan memperjuangkan perkara-perkara yang saya anggap penting bagi masyarakat Melayu - iaitu untuk menegakkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu, dan memajukan tanahair.Saya amat berpuashati bahawa segala yang kita usahakan melalui parti benar-benar memberi impak yang kita kehendaki pada masyarakat.Walaupun begitu, saya sedar bahawa golongan muda Malaysia tidak lihat UMNO sebagai relevan kepada mereka, dan ini juga menjadi matlamat saya untuk meyakinkan mereka semula kepada perjuangan Pemuda.


3. Apakah manifesto saudara?


Yang pertama ialah untuk meremajakan dan meramaikan keahlian UMNO melalui pendaftaran ahli yang berkesan.Maksudnya kita tidak lagi boleh menyekat mana-mana pihak yang terbuka hatinya untuk bersama dalam perjuangan UMNO walaupun dilihat mereka berkaliber untuk menyaingi kita diperingkat cawangan mahupun bahagian.Kita mesti sedar bahawa sekiranya sekat-menyekat ini masih diamalkan, orang Melayu boleh pilih untuk menyertai parti lawan yang sudah tentu mengalu-alukan kedatangan mereka.


Yang keduanya ialah untuk memastikan keahlian kita (khususnya Pemuda) memahami sejarah perjuangan UMNO, perjuangan Melayu, perjuangan untuk Kemerdekaan, keadaan Melayu sekarang, dan halatuju Melayu kehadapan.Ini penting bagi menerapkan satu semangat yang jitu dan berasaskan fakta sejarah yang memberikan keyakinan kepada setiap Pemuda apabila berhujah dengan kawan ataupun lawan.Jangan kita hanya pandai beretorik dan menunjukkan sifat keMelayuan kita walhal semangat Melayu kita sebenarnya tidak tebal dalam sanubari kita.


Yang ketiganya ialah peri-pentingnya kita memahami apa masalah yang dihadapi oleh orang-orang muda. Sebagai parti politik, kita seharusnya membantu menyelesaikan masalah jika kita mahu kekal relevan bagi orang muda.Kalau kita dilihat sebagai parti elitis yang tidak pedulikan masalah belia, sudah tentu mereka tidak akan menyokong kita dan ini nanti akan diterjemahkan kepada kekalahan kita di PRU akan datang.Antara masalah-masalah yang kita tahu dihadapi golongan muda ini adalah:
a. pengangguran

b. masalah penjaja dan peniaga yang kerapkali diganggu pihak berkuasa

c. pekerja kilang yang bermasalah dengan majikan

d. pinjaman RM10-20ribu dari bank yang dibelenggu kerenah birokrasi

e. perumahandan banyak lagi masalah-masalah yang sepatutnya diselesaikan oleh kita jika kita mahukan sokongan daripada golongan muda.


Yang keempatnya ialah halatuju jelas yang menepati citarasa dan aspirasi golongan muda zaman sekarang.Dari segi ekonomi kita mesti perjuangkan agar ekonomi orang Melayu bertumbuh seiring dengan kaum lain bagi menjayakan Wawasan 2020, dan memastikan bahawa tahap daya-saing Melayu mampu membawa kita ke pasaran dunia.Kita juga mesti menguasai teknologi yang tercanggih dan terkini untuk menjamin survival bangsa dalam alam yang begitu mencabar ini.Kita harus menerapkan semula nilai-nilai murni berdasarkan agama dan budaya Melayu dalam parti kita supaya jatidiri yang kental tersemat dihati setiap Pemuda. Kita harus menyuburkan pemikiran intelektual supaya bangsa kita dapat membangun bersama atau melebihi saingan.


Saya kira mungkin ini semua akan dilihat sebagai angan-angan idealis yang tidak berpijak dibumi yang nyata.Tapi sekiranya kita tidak berjuang diatas idealisme yang murni, bagaimana kita akan berubah menjadi lebih baik dari keadaan kita sekarang?Tanggungjawab kita sebagai aktivis dan idealis ialah untuk mengubah realiti dunia kita ini supaya menjadi lebih "ideal" atau sempurna - sejajar dengan firman Allah SWT bahawa Ia tidak akan mengubah nasib sesuatu masyarakat sebelum masyarakat itu sendiri berusaha untuk mengubahkannya.Pemuda juga harus bergerak sebagai aktivis masyarakat dan bukan sebagai pendokong kerajaan semata-mata.


Parti politik mesti dilihat sebagai pembela rakyat.Oleh itu, Pemuda mesti hidupkan semula peranannya sebagai pendesak dalam parti. Apabila muncul sebarang isu melibatkan kepentingan orang Melayu, Pemuda harus kedepan untuk membela apa yang hak.Jangan pula Pemuda yang menjadi pembesar suara kerajaan apabila masyarakat Melayu terancam dengan isu yang berbangkit.Pada waktu yang sama, jangan pula mana-mana pihak menganggap Pemuda menjadi musuh dalam selimut apabila pendirian Pemuda berbeza atau bertentangan dengan pendirian Kerajaan dan pucuk kepimpinan.


Yang wajib diutamakan ialah kepentingan kaum Melayu dalam segala hal yang Pemuda ketengahkan walaupun kita sentiasa mengelak dari mencetuskan ketegangan antara kaum.Pada hemat saya, Pemuda mampu mempertahankan hak Melayu tanpa menjejaskan hak bangsa-bangsa lain selagi kita berpegang kepada Perlembagaan.


4. Kenapakah ahli-ahli Pemuda UMNO perlu mengundi saudara?


Saya mewakili pembaharuan yang dituntut oleh Pemuda.Tatkala pelbagai pihak masih "play safe", saya yang paling awal dan lantang menegur pucuk pimpinan parti dan negara agar membuat perubahan yang kini nampaknya berhasil menjadi kenyataan.Segala yang saya perkatakan sejurus selepas PRU 12 melalui surat saya kepada YAB Presiden kini diterima dan dipersetujui ramai ahli dan pemimpin parti - walaupun saya dikatakan akan dikenakan tindakan disiplin seperti digantung atau dipecat dari parti pada waktu itu.Saya yakin prinsip berani kerana benar inilah yang dikehendaki oleh Pemuda UMNO. Selain itu kita juga tahu bahawa sokongan pengundi muda terhadap UMNO dan BN telah merosot hingga telah menjejaskan prestasi keputusan PRU 12 dan PRK Permatang Pauh.


Pada waktu yang sama kita tahu bahawa hampir 1juta orang muda akan mendaftar sebagai pemilih sebelum PRU 13.Kalau sesuatu tidak dilakukan untuk mengubah trend pada masa ini, sudah pasti BN akan gagal mempertahankan majoriti mudah yang kita kuasai di Parlimen. Kita kini umpama telur dihujung tanduk sebenarnya.Saya berpendapat bahawa saya mampu mendekati golongan muda yang telah hilang keyakinan terhadap UMNO dan BN supaya mereka sekurang-kurangnya tidak terus menolak kita sebelum sempat kita bersemuka dengan mereka.


Saya yakin saya bukan liabiliti bagi UMNO, malah saya dilihat sebagai aset. Selain cara kepimpinan yang bakal saya bawa ke Pemuda, saya ingat faktor ini adalah amat penting untuk usaha meyakinkan semula pengundi muda terhadap UMNO dan BN.

No comments: